Friday 16 November 2012

CATATAN HIDUP NO.9 : SEMPURNA DI MATA MEREKA


 

Saya pernah melalui musim yang muram dalam kerjaya. Begitulah kita sebagai manusia, pasti merasai suka dan duka kerana campuran suka dan duka itulah sebenarnya bahagia. Selalu kita dengar ayat yang melambangkan hidup ini seperti roda. Sentiasa berputar, ada naik dan turun dan adakala di atas dan di bawah.

Kita manusia dibekalkan dengan sifat kekurangan. Sifat kita yang tidak sempurna inilah bekalan kita dalam mengenal diri. Bagi saya kekurangan yang ujud pada kita pada azalinya adalah kunci kepada kita mengenal diri dan Tuhan. Namun, masih wujud juga manusia yang cuba menafikan kelemahan yang ada pada manusia. Mereka ini sukakan subjek kesempurnaan kerana mereka beranggapan diri mereka adalah sempurna. Yang pastinya pangkat dan kedudukanlah biasanya yang membutakan dan menafikan kelemahan sifatnya seorang manusia. Bagi saya golongan yang berpangkat ini harus sentiasa bercermin dan mempertimbangkan semula tahap kesempurnaan mereka. Kita telah dihidangkan dengan kisah Firaun mahupun Hammam yang menganggap kedudukan dan pangkat telah memberikan hak kepada mereka menjadi sempurna sehingga mengaku sebagai Tuhan dan ingin manusia lainnya menyembah mereka. Manusia menyembah manusia?

Saya biasanya akan dihukum mahupun telah dihukum secara fizikal dan mentalnya sebelum dibicarakan. Maknanya saya tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri dalam apa-apa masalah yang timbul. Apabila hukuman telah dijatuhkan barulah saya dipanggil untuk dinyatakan kesalahan dan diberikan amaran. Inilah tatacara yang sempurna bagi manusia yang sempurna.  Saya seterusnya akan dijuluki atau dilabel sebagai guru yang paling teruk. Hanya kerana percaya dengan cakap atau aduan sebelah pihak sama ada guru-guru yang suka membodek dan mulut bangkai mahupun  pelajar yang kurang matang. Macam mana boleh ada aduan yang mayatakan saya tidak membaca buku komsas?

Tiada apa yang saya harapkan daripada ketua yang sempurna dan bergred tinggi apabila dari awal lagi beliau telah melabel dan menghukum saya berdasarkan sebelah pihak. Begitulah manusia yang sempurna, dia merasakan penilaiannya adalah adil dan betul dan tanpa ragu-ragu menjatuhkan hukum selayaknya berdasarkan keadilan dan kesaksamaanya sampaikan dalam surat-surat penting pun dicontengnya yang mana ianya akan memberikan kesan jangka panjang bagi saya guru yang baru mula hendak bertapak.

Sejak kecil saya tidak pernah diasuh untuk membodek dan mengampu orang lain. Saya pun tidak pasti kenapa wujudnya manusia yang suka membodek dan mengampu untuk mendapatkan sesuatu sehingga sanggup menjatuhkan dan menghinakan manusia lainnya. Bagi saya orang seperti ini juga suka membodek Tuhan.  Sembahyang 5 waktu, berdoa, berzikir, bersedekah dan segala amalannya hanyalah membodek Tuhan. Apa tidaknya sembahyang pun tak tahu apa yang dibaca, berdoa panjang dalam bahasa arab tapi sepatahpun tak tahu maksud apa yang dimintanya. Jadinya dia sekadar membodek Tuhan kerana Tuhan suruh sembahyang, suruh berdoa dan sebagainya. Manusia-manusia yang seperti inilah biasaya menterjemahkan sikapnya ini dalam kehidupan seharian termasuklah di tempat kerja.

Memang saya akui, saya adalah manusia biasa yang lemah dan serba kekurangan. Namun apabila kekrungan kita dinafikan dan dihukum pula dengan hukuman yang tidak setimpal saya sangat terkilan juga. Apabila saya memberikan sumbangan terhadap sekolah misalnya dalam mendapatkan anugerah sekolah Baiah, apa yang saya dapat hanyalah pujian yang dibuat-buat sedangkan contengan di surat-surat penting saya tetaplah begitu seadanya. Pujian mahupun hal-hal kebendaan seperti ganjaran wang bukanlah pokok utama yang saya mahukan, apa yang saya mahukan adalah perspektif yang lebih saksama dan mengembalikan maruah yang telah tercalar.

Bila dikenang kembali, memang saya rasa hina bila dilabel sebegitu rupa. Setiap perkataan dan luahan saya bagai air yang dicurahkan ke daun keladi mahupun angin puput yang berlalu begitu sahaja. Bagaimana seorang ketua yang inginkan kita menghasilkan hasil kerja terbaik sedangkan dia langsung tidak mempercayai kita?  Satu nyatakan satu contoh disini, saya menunggu begitu lama untuk berjumpa dengan ketua kerana dipanggil. Apabila sampai giliran saya hendak masuk, tiba-tiba datang seorang ustaz igin berjumpanya dan ketua tersebut memanggil ustaz itu terlebih dahulu. Di sini pun kita sudah dapat menilai level dan tahap pemikirannya. Penghormatan adalah pilihan. Jadi saya memilih untuk tidak menghormati ketua yang sangat sempurna dalam penilaian.

Hari ini saya meneruskan kerja saya selayaknya. Jiwa saya pun sudah lama tidak berada di sini. Entah kemana? Saya pun tak pasti. Minta pindah pun tak dapat. Jadinya, perlulah redha dengan ketentuan. Hari ini juga saya cuba berjalan dengan redup di bumi tuhan ini. Apa yang saya dapat selama disini sangat banyak dari segi pengisian jiwa dan mengenal diri. Maknanya saya mendapat hal-hal yang tak Nampak di mata lebih lagi berbanding hal-hal duniawi dan berbentuk material. Makhluk? Apa ada hal? Hiduplah secara sempurna di mata Tuhan…