Saya pernah melalui musim
yang muram dalam kerjaya. Begitulah kita sebagai manusia, pasti merasai suka
dan duka kerana campuran suka dan duka itulah sebenarnya bahagia. Selalu kita
dengar ayat yang melambangkan hidup ini seperti roda. Sentiasa berputar, ada
naik dan turun dan adakala di atas dan di bawah.
Kita manusia dibekalkan
dengan sifat kekurangan. Sifat kita yang tidak sempurna inilah bekalan kita
dalam mengenal diri. Bagi saya kekurangan yang ujud pada kita pada azalinya
adalah kunci kepada kita mengenal diri dan Tuhan. Namun, masih wujud juga
manusia yang cuba menafikan kelemahan yang ada pada manusia. Mereka ini sukakan
subjek kesempurnaan kerana mereka beranggapan diri mereka adalah sempurna. Yang
pastinya pangkat dan kedudukanlah biasanya yang membutakan dan menafikan
kelemahan sifatnya seorang manusia. Bagi saya golongan yang berpangkat ini
harus sentiasa bercermin dan mempertimbangkan semula tahap kesempurnaan mereka.
Kita telah dihidangkan dengan kisah Firaun mahupun Hammam yang menganggap kedudukan
dan pangkat telah memberikan hak kepada mereka menjadi sempurna sehingga
mengaku sebagai Tuhan dan ingin manusia lainnya menyembah mereka. Manusia
menyembah manusia?
Saya biasanya akan dihukum
mahupun telah dihukum secara fizikal dan mentalnya sebelum dibicarakan. Maknanya
saya tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri dalam apa-apa masalah
yang timbul. Apabila hukuman telah dijatuhkan barulah saya dipanggil untuk
dinyatakan kesalahan dan diberikan amaran. Inilah tatacara yang sempurna bagi manusia
yang sempurna. Saya seterusnya akan
dijuluki atau dilabel sebagai guru yang paling teruk. Hanya kerana percaya
dengan cakap atau aduan sebelah pihak sama ada guru-guru yang suka membodek dan
mulut bangkai mahupun pelajar yang
kurang matang. Macam mana boleh ada aduan yang mayatakan saya tidak membaca
buku komsas?
Tiada apa yang saya harapkan
daripada ketua yang sempurna dan bergred tinggi apabila dari awal lagi beliau
telah melabel dan menghukum saya berdasarkan sebelah pihak. Begitulah manusia
yang sempurna, dia merasakan penilaiannya adalah adil dan betul dan tanpa
ragu-ragu menjatuhkan hukum selayaknya berdasarkan keadilan dan kesaksamaanya
sampaikan dalam surat-surat penting pun dicontengnya yang mana ianya akan
memberikan kesan jangka panjang bagi saya guru yang baru mula hendak bertapak.
Sejak kecil saya tidak
pernah diasuh untuk membodek dan mengampu orang lain. Saya pun tidak pasti
kenapa wujudnya manusia yang suka membodek dan mengampu untuk mendapatkan
sesuatu sehingga sanggup menjatuhkan dan menghinakan manusia lainnya. Bagi saya
orang seperti ini juga suka membodek Tuhan.
Sembahyang 5 waktu, berdoa, berzikir, bersedekah dan segala amalannya
hanyalah membodek Tuhan. Apa tidaknya sembahyang pun tak tahu apa yang dibaca,
berdoa panjang dalam bahasa arab tapi sepatahpun tak tahu maksud apa yang
dimintanya. Jadinya dia sekadar membodek Tuhan kerana Tuhan suruh sembahyang,
suruh berdoa dan sebagainya. Manusia-manusia yang seperti inilah biasaya
menterjemahkan sikapnya ini dalam kehidupan seharian termasuklah di tempat
kerja.
Memang saya akui, saya
adalah manusia biasa yang lemah dan serba kekurangan. Namun apabila kekrungan
kita dinafikan dan dihukum pula dengan hukuman yang tidak setimpal saya sangat
terkilan juga. Apabila saya memberikan sumbangan terhadap sekolah misalnya
dalam mendapatkan anugerah sekolah Baiah, apa yang saya dapat hanyalah pujian
yang dibuat-buat sedangkan contengan di surat-surat penting saya tetaplah
begitu seadanya. Pujian mahupun hal-hal kebendaan seperti ganjaran wang bukanlah
pokok utama yang saya mahukan, apa yang saya mahukan adalah perspektif yang
lebih saksama dan mengembalikan maruah yang telah tercalar.
Bila dikenang kembali,
memang saya rasa hina bila dilabel sebegitu rupa. Setiap perkataan dan luahan saya
bagai air yang dicurahkan ke daun keladi mahupun angin puput yang berlalu
begitu sahaja. Bagaimana seorang ketua yang inginkan kita menghasilkan hasil
kerja terbaik sedangkan dia langsung tidak mempercayai kita? Satu nyatakan satu contoh disini, saya
menunggu begitu lama untuk berjumpa dengan ketua kerana dipanggil. Apabila
sampai giliran saya hendak masuk, tiba-tiba datang seorang ustaz igin
berjumpanya dan ketua tersebut memanggil ustaz itu terlebih dahulu. Di sini pun
kita sudah dapat menilai level dan tahap pemikirannya. Penghormatan adalah
pilihan. Jadi saya memilih untuk tidak menghormati ketua yang sangat sempurna
dalam penilaian.
Hari ini saya meneruskan
kerja saya selayaknya. Jiwa saya pun sudah lama tidak berada di sini. Entah
kemana? Saya pun tak pasti. Minta pindah pun tak dapat. Jadinya, perlulah redha
dengan ketentuan. Hari ini juga saya cuba berjalan dengan redup di bumi tuhan
ini. Apa yang saya dapat selama disini sangat banyak dari segi pengisian jiwa
dan mengenal diri. Maknanya saya mendapat hal-hal yang tak Nampak di mata lebih
lagi berbanding hal-hal duniawi dan berbentuk material. Makhluk? Apa ada hal?
Hiduplah secara sempurna di mata Tuhan…