Showing posts with label CATATAN HIDUP. Show all posts
Showing posts with label CATATAN HIDUP. Show all posts

Friday, 16 November 2012

CATATAN HIDUP NO.9 : SEMPURNA DI MATA MEREKA


 

Saya pernah melalui musim yang muram dalam kerjaya. Begitulah kita sebagai manusia, pasti merasai suka dan duka kerana campuran suka dan duka itulah sebenarnya bahagia. Selalu kita dengar ayat yang melambangkan hidup ini seperti roda. Sentiasa berputar, ada naik dan turun dan adakala di atas dan di bawah.

Kita manusia dibekalkan dengan sifat kekurangan. Sifat kita yang tidak sempurna inilah bekalan kita dalam mengenal diri. Bagi saya kekurangan yang ujud pada kita pada azalinya adalah kunci kepada kita mengenal diri dan Tuhan. Namun, masih wujud juga manusia yang cuba menafikan kelemahan yang ada pada manusia. Mereka ini sukakan subjek kesempurnaan kerana mereka beranggapan diri mereka adalah sempurna. Yang pastinya pangkat dan kedudukanlah biasanya yang membutakan dan menafikan kelemahan sifatnya seorang manusia. Bagi saya golongan yang berpangkat ini harus sentiasa bercermin dan mempertimbangkan semula tahap kesempurnaan mereka. Kita telah dihidangkan dengan kisah Firaun mahupun Hammam yang menganggap kedudukan dan pangkat telah memberikan hak kepada mereka menjadi sempurna sehingga mengaku sebagai Tuhan dan ingin manusia lainnya menyembah mereka. Manusia menyembah manusia?

Saya biasanya akan dihukum mahupun telah dihukum secara fizikal dan mentalnya sebelum dibicarakan. Maknanya saya tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri dalam apa-apa masalah yang timbul. Apabila hukuman telah dijatuhkan barulah saya dipanggil untuk dinyatakan kesalahan dan diberikan amaran. Inilah tatacara yang sempurna bagi manusia yang sempurna.  Saya seterusnya akan dijuluki atau dilabel sebagai guru yang paling teruk. Hanya kerana percaya dengan cakap atau aduan sebelah pihak sama ada guru-guru yang suka membodek dan mulut bangkai mahupun  pelajar yang kurang matang. Macam mana boleh ada aduan yang mayatakan saya tidak membaca buku komsas?

Tiada apa yang saya harapkan daripada ketua yang sempurna dan bergred tinggi apabila dari awal lagi beliau telah melabel dan menghukum saya berdasarkan sebelah pihak. Begitulah manusia yang sempurna, dia merasakan penilaiannya adalah adil dan betul dan tanpa ragu-ragu menjatuhkan hukum selayaknya berdasarkan keadilan dan kesaksamaanya sampaikan dalam surat-surat penting pun dicontengnya yang mana ianya akan memberikan kesan jangka panjang bagi saya guru yang baru mula hendak bertapak.

Sejak kecil saya tidak pernah diasuh untuk membodek dan mengampu orang lain. Saya pun tidak pasti kenapa wujudnya manusia yang suka membodek dan mengampu untuk mendapatkan sesuatu sehingga sanggup menjatuhkan dan menghinakan manusia lainnya. Bagi saya orang seperti ini juga suka membodek Tuhan.  Sembahyang 5 waktu, berdoa, berzikir, bersedekah dan segala amalannya hanyalah membodek Tuhan. Apa tidaknya sembahyang pun tak tahu apa yang dibaca, berdoa panjang dalam bahasa arab tapi sepatahpun tak tahu maksud apa yang dimintanya. Jadinya dia sekadar membodek Tuhan kerana Tuhan suruh sembahyang, suruh berdoa dan sebagainya. Manusia-manusia yang seperti inilah biasaya menterjemahkan sikapnya ini dalam kehidupan seharian termasuklah di tempat kerja.

Memang saya akui, saya adalah manusia biasa yang lemah dan serba kekurangan. Namun apabila kekrungan kita dinafikan dan dihukum pula dengan hukuman yang tidak setimpal saya sangat terkilan juga. Apabila saya memberikan sumbangan terhadap sekolah misalnya dalam mendapatkan anugerah sekolah Baiah, apa yang saya dapat hanyalah pujian yang dibuat-buat sedangkan contengan di surat-surat penting saya tetaplah begitu seadanya. Pujian mahupun hal-hal kebendaan seperti ganjaran wang bukanlah pokok utama yang saya mahukan, apa yang saya mahukan adalah perspektif yang lebih saksama dan mengembalikan maruah yang telah tercalar.

Bila dikenang kembali, memang saya rasa hina bila dilabel sebegitu rupa. Setiap perkataan dan luahan saya bagai air yang dicurahkan ke daun keladi mahupun angin puput yang berlalu begitu sahaja. Bagaimana seorang ketua yang inginkan kita menghasilkan hasil kerja terbaik sedangkan dia langsung tidak mempercayai kita?  Satu nyatakan satu contoh disini, saya menunggu begitu lama untuk berjumpa dengan ketua kerana dipanggil. Apabila sampai giliran saya hendak masuk, tiba-tiba datang seorang ustaz igin berjumpanya dan ketua tersebut memanggil ustaz itu terlebih dahulu. Di sini pun kita sudah dapat menilai level dan tahap pemikirannya. Penghormatan adalah pilihan. Jadi saya memilih untuk tidak menghormati ketua yang sangat sempurna dalam penilaian.

Hari ini saya meneruskan kerja saya selayaknya. Jiwa saya pun sudah lama tidak berada di sini. Entah kemana? Saya pun tak pasti. Minta pindah pun tak dapat. Jadinya, perlulah redha dengan ketentuan. Hari ini juga saya cuba berjalan dengan redup di bumi tuhan ini. Apa yang saya dapat selama disini sangat banyak dari segi pengisian jiwa dan mengenal diri. Maknanya saya mendapat hal-hal yang tak Nampak di mata lebih lagi berbanding hal-hal duniawi dan berbentuk material. Makhluk? Apa ada hal? Hiduplah secara sempurna di mata Tuhan…

 

Tuesday, 23 October 2012

CATATAN HIDUP NO.8: KAWAN DAN KAWANAN



Sekarang ini saya cuba berjalan dan melata di bumi Tuhan secara sederhana.  Semua hal saya raikan secara sederhana.  Suka duka, tawa ria duka lara dan pelbagai macam bentuk perasaan saya raikan secara sederhana kerana semuanya adalah moment di ketika itu. Moment itu datang dan berlalu.  Tambahan pula ghairah saya terhadap dunia juga semakin mengendur. Itulah masalahnya bila kita belajar ilmu hakikat di usia muda. Kita akan semakin ke dalam.

Begitu jugalah dalam bab berkawan. Apabila kita bersikap sederhana, dapat kita perhatikan persepsi dan tanggapan manusia di sekeliling kita. Saya tiada masalah sebenarnya dengan pandangan orang lain kerana itu hak mereka. Yang penting kita saling menghormati antara sesama. Apabila kita kurang bertegur sapa, tanggapan yang paling mudah adalah kita seorang yang sombong, angkuh dan sebagainya. Ini adalah tanggapan level budak sekolah rendah bagi saya. Sifir dan kira-kiranya semudah sifir kosong, jika orang tidak menegur kita, apa salahnya kita menegurnya? Apabila kita juga tidak bertindak menegur, jadi tak perlulah kita melabelkan orang itu sombong kerana kita juga dua kali lima.

Ada dua situasi yang saya perhatikan apabila saya memilih jalan sebegini. Yang pertama, golongan yang tidak berkepentingan dan tiada politik. Saya sangat hormat golongan yang sebegini kerana tiada tembok pemisah antara kita dan mereka untuk bergaul. Walaupun kita tidak akrab, tapi apabila jarang-iarang bertemu, kita dapat bersembang dan berbual dengan nada yang biasa. Seperti yang saya ungkapkan tadi, wujudnya elemen penghormatan antara sesama. Situasi ini kita namakan kawan.

Golongan yang kedua pula saya gelarkan sebagai kawanan. Sifatnya persis kawanan haiwan atau binatang. Mereka-mereka ini mempunyai kepentingan dan suka berpolitik yang murahan. Bergerak dalam kelompok dan berbangga dengan kawanan mereka. Bila kita bersikap sederhana dan berkecuali maknanya kita terkeluar daripada kawanan mereka. Makanya akan wujudlah tembok antara kita dan kawanan mereka. Nak bertegur sapa pun susah. Mereka akan memandang kita sebagai sampah  kerana kita tidak penting bagi mereka. Bila dalam kawanan, dapat kita lihat sikap sebenar mereka, angkuh dan berlagak. Tapi bila sorang-sorang pengecut pula jadinya. Hahaha.

Bagi saya, saya telah mencapai klimaks dalam persahabatan. Saya telah lama dulu memahami makna apa itu kawan sejati. Itulah kelebihannya bila kita dilahirkan sebagai golongan marhein dan susah. Zaman-zaman rabel saya bersama kawan-kawan sejati adalah moment yang paling berharga dan tak terlupakan. Susah dan senang bersama. Sama-sama berlapar kerana tiada duit adalah hal yang membahagiakan bila saya kenang kembali walaupun dikala itu tuhan saja yang tahu rasanya. Bahkan saya lebih percaya kepada persahabatan berbanding saudara mara. Saudara mara saya ramai dan berharta, tapi tidak pernah menjenguk dan bertanya khabar.

Hari ini apa yang saya perhatikan adalah semuanya tentang kepentingan. Ada yang mencari pengaruh dan ingin meluaskan pengaruh. Ada yang baru bertapak dan menyertai kawanan berpengaruh untuk juga menjadi berpengaruh. Dan saya terus menjadi pemerhati yang setia selagi terdaya..

Wednesday, 17 October 2012

CATATAN HIDUP NO.7 : SEPERTI TALI GITAR


Saya sukakan subjek keseimbangan dalam meniti arus kehidupan. Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh mentor saya meor yusuf aziddin (meor pestajiwa) tentang keseimbangan. Meor merupakan seorang pemuzik jalanan atau dipanggil Buskers yang bergiat aktif di pasar seni (central Market) dan kini mendapat permit secara sah untuk busking di KL Sentral. Keseimbangan hidup itu diibaratkan oleh meor seperti tali gitar kerana beliau merupakan seorang pemain gitar.  Jadinya, tali gitar harus dalam kondsis yang sesuai iaitu keseimbangan untuk dimainkan. Jika terlalu tegang tali gitar mungkin akan putus. Jika tali gitar terlalu kendur pun, bunyinya akan sumbang.Begitulah kehidupan kita, musim beralih dan waktu terus berjalan. Kita akan melaui musim–musim tegang dan kendur, namun untuk mencapai keseimbangan itu sukar apabila kita meletakkan dunia sebagai subjek utama kita menjalani hidup.

Menjalani hidup secara kendur memang mendatangkan masalah. Kita diibaratkan sebagai hidup segan mati tak mahu, kerana keghairahan terhadap hidup adalah ditahap minimum. Tiada pencapaian yang diperoleh dalam hidup kerana kita tidak pernah mengimpikan pencapaian yang melibatkan materi mahupun pencapaian jiwa itu sendiri.  Kehidupan yang kendur sebegini bagi saya memang bermasalah kerana jika kita meninggalkan subjek dunia dan materi itu adalah bagus, namun jika kita mengabaikan pencapaian yang melibatkan jiwa bagi saya sesuatu yang merugikan,

Kita juga akan mengahadapi musim tegang dalam kehidupan kerana gelora nafsu dan terlalu beremosi dalam menjalani kehidupan. Keghairahan terhadap hidup dan keinginan kita untuk mencapai sesuatu dalam hidup biasanya akan membawa kita ke tahap tegang. Kita hanya melihat diri kita adalah yang terbaik dan memandang orang di persekitaran seperti sampah. Bila bercakap suara kitalah yang paling kuat, bila berdebat tak pernah mengaku kalah walaupun mungkin kita dipihak yang salah dan sebagainya. Apa yang tak bagus tentang ketegangan adalah apabila kita melihat sesuatu secara objektif dan kiraan matematik.
Yang terbaik untuk kehidupan adalah keseimbangan. Keseimbangan hidup akan datang bila kita mengenal diri, usul dan asal serta ke mana arah kita. Tiada lagi basa-basi apabila kita mencapai tahap keseimbangan dalam hidup. Hidup kita akan semakin rendang, redup dan ranum. Cat steven (yusuf islam) adalah contoh manusia terpilih yang melalui proses sebegini. Apabila cat steven mengisytiharkan dirinya sebagai islam, beliau meninggalkan petikan gitarnya, memakai jubah dan berjambang seperti orang arab. Apabila timbul pula kes Salaman rushdee yang menulis satanic verse, cat steven telah terperangkap kerana kefahaman beliau tentang agama yang pada ketika itu agak tegang. Namun hari ini kita lihat cat steven mencapai keseimbangan dalam hidupnya. Kembali bergitar dan menjadi dirinya yang sebenar.

Oleh itu keseimbangan adalah penting dalam hidup terutamanya apabila umur kita semakin meningkat. Apabila umur kita sudah lanjut, namun kita masih lagi terkejar-kejar dan bahagia dengan dunia, pangkat, materi,  pencapaian dan sebagainya itu bagi saya satu masalah. Walau bagaimanapun setiap manusia ada ceritanya yang tersendiri..
 
 

Saturday, 22 September 2012

CATATAN HIDUP NO. 6: NAFAS DAN KEHIDUPAN


 

Kita masih hidup hari ini kerana nafas yang masih turun dan naik. Tanpa nafas kita adalah mati. Namun selamanya kita tidak akan menghargai nafas kita yang turun naik ini kerana kita dibutakan oleh permainan duniawi  yang semu. Kita adalah manusia bongkak yang kufur akan nikmat yang dianugerahkanNya. Itulah kita manusia.

Pengalaman banyak mengajar kita tentang kehidupan. Sepanjang saya menjaga adik saya yang dijangkiti penyakit kencing tikus di hospital banyak pengajaran yang saya perolehi. Kita dapat lihat betapa pentingnya nafas dalam meneruskan kehidupan. Apabila diberitakan bahawa adik saya mempunyai peluang 50/50 untuk hidup ianya amat merisaukan saya dan keluarga. Tapi ajal dan maut itu bukan di tangan manusia.  Selama 4 hari adik saya tidak sedarkan diri dan pernafasannya pula bergantung kepada mesin, saya dapat perhatikan bahawa adik saya berjuang untuk meneruskan hidup. Selain adik saya terdapat beberapa lagi pesakit yang berada di dalam wad unit rawatan rapi (ICU). Semua mereka yang berada di dalam ICU ketika itu tidak sedarkan diri. Yang hanya dapat kita perhatikan adalah nafas mereka yang turun dan naik. Selebihnya hanyalah sekujur tubuh yang kaku tanpa reaksi.

Saya berada di hospital selama seminggu. Tidur merempat di sana-sini di kawasan hospital. Bila malam menjelma kadang kala ramai manusia yang tidur di hospital menjalankan tanggungjawab menjaga orang yang penting bagi mereka. Ada kalanya suasana lengang dengan hanya kelihatan pengawal keselamatan menjalankan tugas mereka. Sepanjang di hospital saya bebas turun naik dalam bangunan hospital walaupun bukan waktu melawat kerana pengawal keselamatan sudah kenal saya yang sentiasa membawa bekalan makanan dan keperluan untuk ibu saya yang menjaga adik saya di dalam wad. Itu kita namakan sebagai tolak ansur dan perikemanusiaan kita sebagai manusia. Kalau ikutkan peraturan saya hanya dapat masuk pada waktu melawat sahaja. Jika pengawal keselamatan itu terlalu ikutkan peraturan makanya ibu saya hanya akan bersarapan pagi pada pukul 12 tengah hari.

Selama seminggu juga, katil pesakit di sebelah adik saya sentiasa diganti dengan  pesakit yang baru. Ada yang sembuh dan dibawa pulang, ada juga yang meninggal dunia. Yang tak dapat saya lupakan adalah seorang pesakit yang tiba-tiba diletakkan di sebelah katil adik saya. Usianya masih muda dan dia ditinggalkan berseorangan dengan topeng oksigen. Saya perhatikan dia begitu sukar sekali untuk bernafas, setiap nafas yang dihembus mengeluarkan bunyi  dan pendarahan yang bagi saya menyentuh hati kita manusia yang hidup. Tambahan pula tiada seorangpun saudara mara dan rakan yang melawatnya atau menjaganya. Jururawat menyatakan bahawa dia merupakan warganegara asing mungkin Indonesia yang bekerja di situ. Keadaannya memang menyedihkan. Tidak lama dia berada di situ, mungkin satu hari sahaja. Dia meninggal dunia tanpa sesiapa di sisi, mungkin keluarganya di Negara asalnya pun tak tahu yang dia telah mati.

 Begitulah pentingnya nafas dalam kehidupan kita. Tanpa nafas maknanya kita adalah mati. Sebab itu dalam ilmu tasauf kita diajarkan zikir nafas (Allahu) bertujuan mensyukuri nikmat nafas kita yang sentiasa turun dan naik ini. Setelah merempat di hospital selama seminggu dengan penuh keredhaan hari ini saya meneruskan rutin seharian saya di Miri sebagai seorang guru.
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 

Sunday, 2 September 2012

CATATAN HIDUP NO.5: MERDEKA JIWA


Merdeka menurut kamus dewan bermaksud bebas. Kita menyambut hari kemerdekaan Negara pada 31 Ogos sebagai mengingati bebasnya kita daripada penjajahan selama lebih 400 tahun. Tapi adakah Negara kita bebas sepenuhnya? Kita mungkin bebas dalam erti kata fizikalnya tapi kenyataannnya kita tidaklah bebas kerana kita masih lagi mengekalkan undang-undang dan warisan penjajah. Ini merupakan kenyataan dan realiti Negara kita hari ini.

Semua orang ada definsi  tersendiri tentang merdeka dalam diri masing-masing. Definisi yang dipegang inilah yang mencorakkan perjalannya menjalani kehidupan. Masing-masing punya cara tersendiri menterjemahkan erti merdekanya.  Bagi saya yang paling utama adalah kita perlu merdekakan jiwa kita daripada belenggu dan belitan duniawi. Kita sepatutnya bebaskan diri dan jiwa kita daripada permainan dunia hari ini yang semakin lama semakin mengarut.

 Kita di sini adalah pengembara yang singgah sementara sahaja dan bukannya untuk bermastautin di sini selama-lamanya. Hal-hal dunia terutamanya yang melibatkan wang ringgit sememangnya membebankan jika kita menjadi hamba kepada material dunia ini. Bagi saya duit itu penting dan kita berkejaran ke sana-sini untuk mendapatkannya. Bagi saya juga wang bukanlah segala-galanya. Cukup untuk hidup bagi saya sudah memadai. Selama ini pun duit gaji yang saya dapat setiap bulan banyak dihabiskan untuk orang lain di sekeliling terutama keluarga. Itu pun salah satu tanggungjawab kita. Saya tiada apa untuk untuk dirungutkan tentang itu.

Dalam bekerja juga saya sukakan kebebasan. Kita sepatutnya diberikan peluang seluas-luasnya untuk kita menghasilkan hasil kerja yang terbaik. Bila kita dikongkong dalam bekerja bagi saya ianya hanya akan menutup ruang untuk kita bekerja dan berkarya. Bagi saya juga tekanan bekerja adalah penting juga tapi jika ianya berlebihan pun mendatangkan masalah. Sebagai seorang guru bagi saya tidak sepatutnya kita dipandang seperti pelajar oleh ketua kita. Dimaki hamun seperti kita tidak punya maruah dan harga diri kerana penilaian yang subjektif dan dipengaruhi pula manusia-manusia yang merasakan dirinya hebat. Kadang-kadang pun kita tidak mampu menangkis segala macam kerenah yang bagi saya selayaknya untuk merkeka yang tidak punya hati dan perasaan. Seperti lirik lagu Iwan Fals "aku menolak akal yang tanpa hati".

Hari ini saya membebaskan diri dari segala macam kerenah yang tidak ada penghujungnya ini. Yang penting bagi saya adalah terus menjalani hidup dengan seadanya dan selayaknya saya di sini. Memang sukar jika kita cuba hidup secara jujur di zaman ini. Tapi saya hidup berbekalkan pegangan dan prinsip sendiri dan tidak akan bertuhankan makhluk. Jadinya adalah penting di sini untuk kita merdekakan jiwa!!


 

 

Monday, 20 August 2012

CATATAN HIDUP NO.4: KITA YANG BERDOSA


Semua manusia adalah pelaku dosa. Kita bukan nabi yang maksum dan bebas daripada dosa. Pelbagai dosa yang telah dan akan kita lakukan kerana kita manusia. Cumanya kita dibekalkan panduan untuk menghindar segala macam dosa dan dugaan yang menjurus ke arahnya. Memang kita tidak boleh lari.

Manusia biasanya berdosa dalam dua keadaan. Dosanya dengan pencipta kerana meninggalkan suruhan mahupun melakukan larangan dan dosa kita sesama manusia. Jadinya kerana sifat rahman dan rahim Tuhan telah membuka peluang seluas-luasnya untuk kita manusia mensucikan diri.

Bulan Ramadhan- bulan rahmat yang memberi peluang kepada kita sebagai manusia mengabdikan diri kepada Tuhan dan memohon keampunan di atas segala kekhilafan dan kekurangan kita yang bersifat baharu ini. Kerananya kita adalah makhluk dan kita melanggar arahan pencipta, maka adalah wajib bagi kita memohon keampunanNya. Tiada hijab antara kita dan Tuhan dalam memohon keampunan. Jadi, rugilah bagi kita jika melepaskan peluang tersebut. Ramadhan sememangnya masa untuk kita mensuci dosa kita terhadap Tuhan

Bulan Syawal- yang kita namakan hari raya itu adalah hari kemenangan bagi kita dalam menjalani ibadat puasa. Peluang juga bagi kita untuk memohon keampunan sesama manusia. Segala dosa yang telah kita lakukan dengan sedar mahupun tidak antara kita sesama makhluk. Kerana kita adalah pelaku dosa, di hari raya kita memohon ampun daripada ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai dan manusia lainnya di sekeliling kita. Syawal sememangnya masa untuk kita mensuci dosa kita sesama makhluk.

Selamat hari raya, semoga kita terus diberi keampunan dan berjalan di bumi Tuhan dengan rahmatNya...

Saturday, 11 August 2012

CATATAN HIDUP NO 3: BERTEMANKAN DIRI


Sudah 3 tahun saya berada jauh dari kampung halaman dan sudah 2 tahun saya tinggal keseorangan. Selepas rakan serumah berpindah balik ke semenanjung. Saya tak pernah mencari rakan untuk menyewa bersama walaupun ada yang berminat.  Jadinya, bila kita tinggal berseorangan dan kurang pula bergaul, kita ini dianggap sebagai kera sumbang  yang tak pandai bergaul dan anti-sosial. Itu pendapat biasa, bagi saya tak ada masalah.     

Bagi saya musim ini adalah musim pencarian. Pencarian yang tak nampak di mata mungkin. Bagi saya juga kita sebagai manusia memerlukan masa untuk dirinya sendiri. Sudah banyak ragam manusia yang saya temui dalam hidup. Yang membahagiakan, yang merimaskan, yang menyakitkan dan sebagainya. Itu kita tak boleh nafikan sifatnya seorang manusia. Jadinya sekarang ini saya memilih untuk bertemankan diri dan mencari keakuan.

Bila kita dikelilingi oleh pelbagai gelagat manusia. Ketidakadilan dan realiti hidup yang bermacam ini maka akan terdetiklah di hati dan fikiran kita tentang kewujudan dan keberadaan kita di sini (dunia). Seperti nabi junjungan kita Muhammad SAW yang berkhalwat di gua hiraq untuk mencari kebenaran dan pencerahan serta Gautama Buddha yang memilih untuk bertapa setelah melihat kehidupan rakyatnya. Maknanya di disini musim untuk kita bertemankan diri dan beruzlah dalam mengenal diri adalah perlu.

Apa yang penting di sini adalah apabila kita bertemankan diri tahap redha kita adalah tinggi. Kita tidak terlalu bergantung kepada makhluk. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Kebergantungan saya kepada Allah buat masa ini adalah di tahap yang paling tinggi mungkin. Selain itu, kita juga banyak terhindar daripada dosa-dosa yang melibatkan kita sesama makhluk. Saya pun dapat rasakan bahawa saya banyak terhindar daripada dosa. Haha.

Tidak selamanya kita akan bersendirian walaupun saat kita menghadap kematian kelak kita tetap juga secara berseorangan. Begitu juga saya, tidak selamanya saya akan bersendirian begini. Akan tiba waktunya untuk saya keluar daripada dunia keakuan ini..

Kesimpulannya, marilah kita mencari lailatul qadar di bulan yang mulia ini..





Thursday, 9 August 2012

CATATAN HIDUP NO.2: YANG MENGGURIS HATI..




Tatkala kita sedang menghitung tibanya hari raya. Hari ini saya menerima khabar yang mengguris hati. Masalah itu ada di mana-mana. Terpaksalah juga kita meraikan masalah yang datang seadanya. Semuanya bukan pilihan kita. Apa yang mengguris hati saya apabila ianya melibatkan ibu bapa. Kadang-kadang saya ada terfikir, apa silapnya mereka sehingga dihukum sedemian rupa.

Masalah keluarga terutamanya adik beradik memang berkaitan langsung dengan kita. Apatah lagi, sebagai abang yang sulung saya memang tidak boleh lari daripada terlibat sama. Masalahnya juga bila kita berada jauh di tempat orang. Hanya dapat memberi pandangan dan pendapat dari jauh.

Masalah keluarga yang datang tanpa putus, sejak saya belajar di Universiti memang membebankan. Apatah lagi di kala itu saya sedang berjuang dalam hidup tentang banyak perkara. Apa yang mampu kita lakukan? Berusaha menyelesaikannya dan selebihnya berserah. Masuk saja ke dalam masalah tersebut dan menyelusurinya bagaikan kita menyelurusi arus sungai mahupun mengikut saja rentak tiupan angin, ke utara, selatan, timur dan barat. Akhirnya pasti sampai juga di titik perhentiannya.

Seingat saya, dalam hidup ini saya telah bayak berkorban untuk orang di sekeliling, walaupun pengorbanan saya itu ada masanya dibalas dengan racun. Sekurang-kurangnya saya telah cuba menunaikan tanggungjawab saya seadanya.

Tidak mampu saya menafikan masalah yang datang. Tak mampu juga saya menafikan kelemahan kita sebagai manusia..

Walau apa yang berlaku, kita mesti teruskan perjalanan hidup ini.


Saturday, 4 August 2012

CATATAN HIDUP NO.1: SEADANYA ,SEBIASANYA DAN SEREDHANYA


Saya adalah seorang guru yang biasa sahaja. Cuba menjalani hidup secara jujur walaupun kadang kala sedikit senget. Apa yang penting hidup perlu berprinsip atau berpegang kepada apa yang kita percaya. kita menyembah Tuhan kerana kita percaya adanya Tuhan. Jadi kepercayaan atau prinsip kita terhadap sesuatu pandangan adalah penting. Kita tidak perlu menjadi seperti lalang yang mengikut arah tiupan angin sedangkan ia sendiri berbangga mendongak langit...

Menjadi guru adalah profesyen yang mulia. Guru terhindar daripada bermacam bentuk salah guna kuasa mungkin, seperti rasuah misalnya. Tidak seperti profesyen yang lain terutama yang melibatkan birokrasi. Jadi peratus guru untuk terjebak dalam hal-hal yang negatif adalah rendah.

Mengukum sebelum bicara. Sesuatu yang paling menyakitkan bagi saya. Manusia kebanyakannya suka menjadi Tuhan. Suka menghukum manusia lain di persekitarannya. Biasanya manusia seperti ini adalah manusia yang merasa dirinya hebat, manusia yang berpangkat, mahupun manusia yang tidak mengenal hakikat.

Saya lebih suka menjadi penonton. Mungkin kerana sifat saya yang pasif. Ada kelebihannya bila kita menjadi penonton. Seperti kita menonton drama mahupun filem, di akhirnya kita akan dapat membuat kesimpulan. Bezanya bila kita menonton lakonan hidup yang sebenar dan real ianya lebih mengesankan. Kelebihan juga kepada kita dalam mengenal diri dan hakikat hidup.

Hari ini saya menjalani hidup seadanya, sebiasanya dan seredhanya.

Zaman sudah berubah
Kebenaran tidak bisa dibungkam
Yang benar pasti merembes
Panca indera dunia selalu terjaga
Kematian adalah
kelanjutan dari  kehidupan
                              puisi (W.S. Rendra)


Matinya seorang penyaksi
Bukan matinya kesaksian
Tercatat direlung jiwa
Menjadi bara membara

Duka cita terdalam

Hari ini kisahmu abadi
Berbaringlah kawan
Berbaringlah dengan tenang

Matinya seorang wartawan
Bukan matinya kebenaran
Tercatat dengan kata sakti
Menjadi benih yang murni

Duka cita terdalam

Hari ini kisahmu abadi
Berbaringlah kawan
Berbaringlah dengan tenang