KEDAH
1. Konsep sekolah penyayang adalah berteraskan budaya
kemesraan dan sayang-menyayangi dalam kalangan guru dan murid.
Jelaskan cara-cara anda menghargai kasih sayang guru.
CATATAN :
Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi
2012. Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;
“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat
menimba ilmu”. Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan
penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.
Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.
Assalamualaikum
dan salam sejahtera’
Yang saya hormati Puan Pengacara
Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Saujana, Tuan Haji Ramli Bin
Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi
sekalian.
Atas limpah kurnia Allah yang
Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan
izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga
SMK Ambang Saujana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah
tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan
seterusnya melakarkan kejayaan.
Hadirin
sekalian,
Air jernih
genang-genangan
Alir deras
jernih di hulu
Tempat jatuh
lagi dikenang
Inikan pula
tempat menimba ilmu
Pantun di atas
dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK
Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara
saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi
kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.
Hadirin
sekalian,
Sebelum menelusuri lebih jauh,
saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima
tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini.
Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali
melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran
tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun,
seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu
kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan
mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi,
sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan
tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup
berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka
para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari.
Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang
diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang
lalu.
Para pendidik
yang dihormati sekalian,
Alhamdulillah, tiada kalimah
seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling
cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan.
Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A yang terpampang di hadapan mata bukanlah
perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi
daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam
tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin,
setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber
yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami
kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian .
Rakan-rakan
sekalian,
Selama lima tahun kita menimba
ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah,
malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi
insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta
bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik
mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat
dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam
kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap
peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat
digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan
persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk
menjadi insan yang seimbang. Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain
dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan
kita.
Hadirin
sekalian,
Bercakap bagi pihak diri saya
sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan
sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh
apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya.
Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang
dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu
awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Saujana tetap di
hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala
inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya.
Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih
cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak
sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang
melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,
Rakan-rakan
yang dikasihi sekalian,
Diri kita ibarat setinggi-tinggi
terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun
melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan
yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk
kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di
sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke
peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita
pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi
dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Selepas mencapai kejayaan di
peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah
mencipta sejarah cemerlang kita. Ingitlah pesan peribahasa, daun boleh melayang
jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.
Hadirin
sekalian,
Berat hati dan longlai langkah
untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil
sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi
hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun
segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan
kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak
nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,
Burung terbang
melintas sempadan
Terbang menuju
muara segara
Biar jauh
berbilang lautan
Sebutir katamu
menjadi mutiara
Sekian terima
kasih.
TAMBAHAN : ISI-ISI ALTERNATIF YANG LAIN UNTUK SOALAN
INI
Isi 1 :
Mengenali guru sebagai individu yang sangat dihormati
Isi 2 :
Mengangkat imej dan memuliakan guru
Isi 3 :
Menunjukkan minat yang tinggi terhadap subjek yang diajar
Isi 4 :
Menjauhi sebarang tingkah laku negatif lebih-lebih lagi yang tidak disukai oleh
guru
Isi 5 : Tidak
memutuskan tali silaturahim walaupun sudah tamat persekolahan
2. Bapa ialah suri teladan kepimpinan dalam rumah tangga
terutama kepada anak-anak lelaki. Pandangan ini selaras dengan salah satu
matlamat pendidikan negara, iaitu memperkasakan pelajar lelaki.
Huraikan sifat-sfat kepimpinan yang perlu diasuh oleh
ibu bapa kepada anak lelaki mereka sebagai pemimpin keluarga.
Pendahuluan : “Sayang akan isteri tinggal-tinggalkan, sayang akan
anak tangan-tangankan”. Demikianlah petikan seungkapan peribahasa yang merujuk
kepada seseorang bapa yang berwawasan dalam menguruskan rumah tangga. Seseorang
bapa yang berwawasan selalu memandang masa depan rumah tangga dan potensi
anak-anak melebihi segala yang lain. Elok tunjuk pandu dan bimbing didik yang
diasaskan oleh seseorang bapa akan menjadi garis panduan kepimpinan anak-anak.
Peribahasa getah daun akan mengalir ke batang membuktikan bahawa anak-anak akan
menuruti apa-apa jua tingkah laku bapanya. Oleh yang demikian, sejajar dengan
melahirkan sifat kepemimpinan dalam kalangan kaum Adam, setiap bapa hendaklah
menerapkan nilai-nilai kemimpinan yang berwibawa kepada anak-anak lelaki
mereka.
Isi-isi penting :
Isi 1 : Mendidik anak supaya menjadi insan yang
beriman dan bertakwa – insan
bertakwa sentiasa patuh dan taat kepada hukum Allah yang secara relatif
mendidik manusia menjadi insan mulia dan bertanggungjawab
Isi 2 : Memberikan didikan dan pelajaran yang
secukupnya – sebagai langkah untuk menghadapi dunia yang
mencabar – dapat memimpin dan mentadbir keluarga dengan cara yang bijaksana
Isi 3 : Menanamkan dan membentuk perwatakan kelelakian
yang normal – fizikal yang
mantap, minda yang cerdas dan emosi yang setabil – nilia-nilai murni seperti
bertanggungjawab, berani dan penyayang
Isi 4 : Memberi tunjuk teladan kepimpinan dan
mempunyai keyakinan diri – percaya akan
diri sendiri dan dan memberi keyakinan kepada orang lain – boleh dipercayai
menjadi pemimpin
Isi 5 : Melatih memimpin sesuai dengan peringkat usia,
kematangan dan kebolehan – sebagai
persediaan menjadi lelaki yang berkarisma
Kesimpulan : Kaum Adam dalam dekad-dekad belakangan sangatlah
hebat, gagah dan cemerlang. Dalam sejarah tamadun manusia, kaum Adam ternyata
hebat dalam mencorak gaya kepemimipinan masing-masing. Tokoh-tokoh klasik dan
moden telah membuktikan bahawa asas yang kukuh akan membentuk modal insan yang
hebat. Oleh itu, seandainya anda lelaki, warisilah hemah dan karisme memimpin
yang sentiasa dikagumi.
3. Peninggalan sejarah dan warisan budaya merupakan
aset yang mesti dipertahankan dengan baik agar dapat dijadikan sumber rujukan
dan tatapan generasi akan datang.
Sarankan langkah-langkah memulihara peninggalan
sejarah negara.
Pendahuluan
: Kemerdekaan negara kita sudah mencapai usia matang.
Kematangan tersebut ditandai oleh usia dan pengalaman pahit manis yang pernah
dilalui. Dalam tempoh 55 tahun kita mencapai kemerdekaan, sewajarnya kita sudah
cukup bijak untuk membezakan antara kaca dan permata. Permata dalam konteks
sebuah negara yang berdaulat ialah segala khazanah dan warisan yang boleh
dijadikan sejarah kepada bangsa kita. Walau bagaimanapun, dalam sibuk mengejar
kemajuan sebagai pengisian kemerdekaan, kita lupa akan pentingnya nilai-nilai
sejarah yang boleh menjadi lambang identiti bangsa. Oleh itu, gemblengan usaha
yang bersepadu oleh semua pihak hendaklah digerakkan demi menyelamat dan
memulihara peninggalan sejarah negara.
Isi-isi
penting :
Isi
1 : Membina semangat dan sikap positif dalam jiwa
raga bangsa – sentiasa berbangga menjadi bangsa yang memiliki sejarah,
budaya dan kedaulatan (secara ironi masih ramai rakyat Malaysia yang terlalu
mengagumi kecemerlangan bangsa lain)
Isi
2 : Mewartakan dengan lebih banyak bahan-bahan
sejarah – meneruskan ekspedisi dan ekskavasi bahan-bahan sejarah – sebagai
bukti kita benar-benar menilai sejarah bangsa sendiri
Isi
3 : Merawat dan membaik pulih tinggalan sejarah yang
dibiarkan daif dan terlindung – usaha Kementerian Kesenian dan Warisan,
Jabatan Muzium dan Arkib – usaha pihak berkuasa tempatan (PBT)
Isi
4 : Membuat dokumentasi dan menghebahkan untuk
pengetahuan rakyat dan masyarakat luar – peranan media massa dan media
elektronik
Isi
5 : Memberi taraf dan dijadikan sebagai produk daya tarikan pelancong – mengangkat imej bangsa dan menyumbang kepada
ekonomi negara
Kesimpulan
: Sesungguhya, bangsa yang buta sejarah sedang menempa
suatu masa depan yang hambar. Mereka pasti luput ditelan arus perubahan global.
Sebaliknya bagi bangsa yang bermaruah, mereka rela menumpahkan darah demi
mempertahankan khazanah bangsa. Oleh iitu, kita wajar menjadi bangsa yang
berdaulat dengan membuktikan bahawa kita memiliki sejarah yang sendiri.
4. Hampir tujuh bilion perut di seluruh
dunia semakin terasakan bahana kenaikan harga makanan. Faktor yang menggusarkan
masyarakat dunia ialah stok makanan semakin berkurang.
Bincangkan punca-punca kemerosotan bekalan makanan
dunia.
Pendahuluan : Sepintas lalu kita mengimbau insan-insan yang boleh
diumpamakan sebagai bangkai bernyawa, naluri kita menjerit hiba, takut dan
bimbang. Kesengsaraan yang ditanggung oleh segolongan insan yang tidak bernasib
baik di beberapa wilayah yang diancam kebuluran amat menakutkan sekali.
Kesengsaraan yang dihadapi telah meruntun simpati agar tragedi kemanusiaan
seperti itu perlu ditangani segera. Sebenarnya tragedi kemanusiaan seperti itu
berlaku daripada pelbagai punca termasuk perbuatan manusia dan fenomena alam
Isi 1 : Peperangan yang tidak pernah reda sejak lepas
Perang Dunia Kedua 1945 – selain
memusnahkan segala sumber alam, peperangan turut menghalang manusia bergiat
aktif dalam kegiatan ekonomi khususya sektor pertanian
Isi 2 : Kuasa monopoli ekonomi oleh negara-negara
pedagang dan negara kaya – mengawal
pengedaran bahan makanan (bijirin) ke negara-negara miskin – bertindak untuk
mengawal harga – sumber makanan yang tidak dipasarkan dimusnahkan begitu sahaja
Isi 3 : Bencana alam – kemarau, ribut taufan, gempa
bumi dan l etupan gunung berapi – banjir dalam skala luar biasa telah beberapa kali melanda Cina,
India, Australia dan Thailand – memusnahkan ladang gandum, sawah padi dan
ladang tenusu (banjir luar yang melanda lembah Mekong dan delta Chao Pharaya di
Thailand selama 4 bulan)
Isi 4 : Serangan makhluk perosak – suatu fenomena alam
yang sukar dikawal – (serangan
daripada ulat, burung, tikus, bena dan belalang) – amat skar dikawal dalam
skala yang sangat besar
Isi 5 : Pembangunan yang tidak lestari – revolusi
industri dan sistem petempatan moden banyak memusnahkan sumber semula jadi
termasuk hasil-hasil pertanian – negara-negara yang suatu masa dahulu sangat
kaya (Greece, Itali, Sepanyol) sedang menghadapi krisis kerana produk pertanian
semakin berkuarangan
Kesimpulan : Allah SWT telah menganugerahkan alam yang kaya dengan
hasil mahsul ini agar dikongsi oleh manusia moga-moga manfaatnya dapat dirasai
bersama. Manusia sewajar insaf, tindakan kejam dan keji seperti melancarkan
peperangan dan penindasan hendaklah dihentikan segera demi kelangsungan hak
untuk hidup dapat dinikmati secara bersama.
5. Berdasarkan sebuah karya sastera yang anda baca,
jelaskan amalan-amalan baik yang sesuai dipraktikkan oleh masyarakat kini.
MAKLUMAN : Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap
maaf)
SUMBER
http://ishakmdshah.blogspot.com/