Friday, 26 October 2012

KARANGAN NO 12: PERCUBAAN SPM KEDAH


KEDAH

 

1. Konsep sekolah penyayang adalah berteraskan budaya kemesraan dan sayang-menyayangi dalam kalangan guru dan murid.

 

Jelaskan cara-cara anda menghargai kasih sayang guru.

 

CATATAN : Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi 2012. Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;

 

 

“Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Sebagai pelajar yang telah berjaya, anda ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada sekolah dan guru-guru yang mendidik anda.

 

Tulis teks ucapan untuk melahirkan perasaan anda itu.

 

Assalamualaikum dan salam sejahtera’

                Yang saya hormati Puan Pengacara Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua SMK Ambang Saujana, Tuan Haji Ramli Bin Mohd Zaini, Yang Dihormati para guru dan seterusnya rakan-rakan yang dikasihi sekalian.

                Atas limpah kurnia Allah yang Maha Pemurah lagi Pengasihani, saya melafazkan kesyukuran kerana dengan izin-Nya kita dapat berjumpa dalam majlis yang amat besar ertinya kepada warga SMK Ambang Saujana. Kita sangat bertuah dan bersyukur kerana di sekolah inilah tempat kita belajar, bermain, berkawan, bermesra dengan para guru dan seterusnya melakarkan kejayaan.

 

Hadirin sekalian,

 

Air jernih genang-genangan

Alir deras jernih di hulu

Tempat jatuh lagi dikenang

Inikan pula tempat menimba ilmu

 

Pantun di atas dengan sesungguhnya, saya dedikasikan untuk para guru dan khususnya untuk SMK Ambang Saujana yang telah banyak menaburkan budi kepada saya dan saudara saudari. Istimewa pula, pada hari yang bertuah ini, kita diraikan sekali lagi kerana mencapai kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM.

 

Hadirin sekalian,

                Sebelum menelusuri lebih jauh, saya terlebih dahulu mengambil peluang untuk mengimbau semula sejarah lima tahun yang silam ketika saya dan rakan-rakan mendaftarkan diri di sekolah ini. Sebagai pelajar baru, kita seolah-olah lembu masuk kampung semasa pertama kali melepasi pintu pagar sekolah. Pelbagai perasaan berbaur dalam benak fikiran tentang alam persekolahan menengah yang bakal kita tempuhi. Perasaan gerun, seronok, dan cemas bertukar ganti mengusik emosi. Maklumlah, pada waktu itu kita dikelilingi oleh pelajar-pelajar yang lebih senior dan ada dalam kalangan mereka yang bertubuh gempal dan sasa. Malahan perkara yang lebih rumit lagi, sesama kita pun belum kenal antara satu sama lain. Namun begitu, semua perasaan tersebut tidak lama berada di dalam minda apabila para guru yang cukup berdedikasi dan penyayang telah membimbing kita. Atas keramahan dan manis muka para guru dan rakan-rakan senior, kita meniti hari-hari berlalu tanpa disedari. Natijahnya, sekarang kita telah menjadi sebahagian daripada insan bertuah yang diraikan oleh phak sekolah atas kejayaan cemerlang dalam peperiksaan SPM yang lalu.

 

Para pendidik yang dihormati sekalian,

                Alhamdulillah, tiada kalimah seindah madah untuk saya lafazkan atas kejayaan meraih keputusan paling cemerlang yang saya peroleh. Memang benar, rajin dan usaha tangga kejayaan. Namun apa-apapun, kejayaan meraih 9 1A yang terpampang di hadapan mata bukanlah perkara gampang. Sebaliknya, tanpa usaha dan komitmen yang cukup dedikasi daripada para pendidik dan pengurusan sekolah, kejayaan yang berada dalam tangan saya dan rakan-rakan adalah suatu misi yang mustahil. Kami cukup yakin, setitis liur basah yang terpercik daripada lidah seorang pendidik adalah sumber yang menjadi mutiara ilmu. Terima kasih cikgu! Sesungguhnya, jasamu akan kami kenangi bak seluas lautan yang tidak bertepian .

 

Rakan-rakan sekalian,

                Selama lima tahun kita menimba ilmu di sini, bukan perihal akademik sahaja yang menjadi agenda pihak sekolah, malahan pembinaan sahsiah dan jati diri turut dirancang. Kita dididik menjadi insan serba boleh dalam bidang kurikulum, kokurikulum, pemantapan rohani serta bermotivasi. Pelbagai program kecemerlangan sama ada yang berunsurkan akademik mahupun kokurikulum telah berjaya membentuk diri kita menjadi insan yang hebat dan cemerlang. Betapa tidak, sekolah ini adalah antara yang tersohor dalam kalangan institusi menengah di negeri ini. Kita cemerlang dalam setiap peperiksaan awam, kita hebat dalam beberapa acara sukan serta kita amat digeruni dalam beberapa pertandingan koakademik seperti pidato, koir, dan persembahan kebudayaan. Pendek kata, kita telah membuktikan kemampuan untuk menjadi insan yang seimbang. Sesungguhnya, semua kejayaan tersebut tidak lain dan tidak bukan kerana guru-guru yang amat dedikasi yang berada di hadapan kita.

 

Hadirin sekalian,

                Bercakap bagi pihak diri saya sendiri, perasaan gembira, terharu dan bangga masih belum mampu saya lahirkan sama ada dalam bentuk kata-kata mahupun tingkah laku. Tanpa dibatasi oleh apa-apa sempadan, saya menganggap guru-guru sebagai ibu dan ayah kepada saya. Mereka menyuluhi saya sinar hari depan yang meyakinkan. Mereka amat penyayang dan mereka amat prihatin. Saya percaya walaupun setinggi langit tangan menyapu awan, saya tidak mampu menoleh pandang melainkan SMK Ambang Saujana tetap di hati dan pasti kekal abadi mencipta sejarah. Izinkan saya mengambil segala inspirasi yang tuan-tuan dan puan-puan telah ilhamkan sepanjang mendidik saya. Saya bertekad untuk membalas budi anda dengan membawa balik kejayaan yang lebih cemerlang. Saya berjanji, demi anak nusa yang terdidik sempurna di sini, tidak sama sekali-kali berlaku kacang melupakan kulit sebaliknya tidak jauh seluang melaut balik juga ke muara. Insya-Allah,

 

Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,

                Diri kita ibarat setinggi-tinggi terbang bangau hinggap semula di belakang kerbau. Janganlah terjadi, daun melayang jauh perdu dilupakan. Pada kesempatan ini, saya menyeru rakan-rakan yang bersama-sama mencipta kecemerlangan di sini agar menyimpan iltizam untuk kembali kepada ibu kandung bagi menabur khidmat dan bakti. Ayuh, masa kita di sini sudah tamat dan kita buka episod baru untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Yang penting kepada kita, jangan sekali-kali kita pergi sehingga melupakan tempat jatuh bangun di sini kerana, “Tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat menimba ilmu”. Selepas mencapai kejayaan di peringkat yang lebih tinggi sentiasalah kembali menjenguk sekolah yang telah mencipta sejarah cemerlang kita. Ingitlah pesan peribahasa, daun boleh melayang jauh, tetapi getah tetap mengalir ke perdu.

 

Hadirin sekalian,

                Berat hati dan longlai langkah untuk saya pergi meninggalkan sekolah ini. Lipatan sejarah yang telah ternukil sepanjang dididik di sini terus menjadi usikan kenangan. Insya-Allah selagi hayat dikandung badan, budi para pendidik tetap dikenang bak budi setahun segunung intan. Saya berdoa semoga Allah mencurahkan rahmat dan keberkatan kepada tuan-tuan dan puan-puan agar terus berdedikasi dalam mendidik anak-anak nusa. Izini kami pergi, dengan saya abadikan serangkap pantun,

Burung terbang melintas sempadan

Terbang menuju muara segara

Biar jauh berbilang lautan

Sebutir katamu menjadi mutiara

 

Sekian terima kasih.

 

TAMBAHAN : ISI-ISI ALTERNATIF YANG LAIN UNTUK SOALAN INI

 

Isi 1 : Mengenali guru sebagai individu yang sangat dihormati

 

Isi 2 : Mengangkat imej dan memuliakan guru

 

Isi 3 : Menunjukkan minat yang tinggi terhadap subjek yang diajar

 

Isi 4 : Menjauhi sebarang tingkah laku negatif lebih-lebih lagi yang tidak disukai oleh guru

 

Isi 5 : Tidak memutuskan tali silaturahim walaupun sudah tamat persekolahan

 

 

2. Bapa ialah suri teladan kepimpinan dalam rumah tangga terutama kepada anak-anak lelaki. Pandangan ini selaras dengan salah satu matlamat pendidikan negara, iaitu memperkasakan pelajar lelaki.

 

Huraikan sifat-sfat kepimpinan yang perlu diasuh oleh ibu bapa kepada anak lelaki mereka sebagai pemimpin keluarga.

 

Pendahuluan : “Sayang akan isteri tinggal-tinggalkan, sayang akan anak tangan-tangankan”. Demikianlah petikan seungkapan peribahasa yang merujuk kepada seseorang bapa yang berwawasan dalam menguruskan rumah tangga. Seseorang bapa yang berwawasan selalu memandang masa depan rumah tangga dan potensi anak-anak melebihi segala yang lain. Elok tunjuk pandu dan bimbing didik yang diasaskan oleh seseorang bapa akan menjadi garis panduan kepimpinan anak-anak. Peribahasa getah daun akan mengalir ke batang membuktikan bahawa anak-anak akan menuruti apa-apa jua tingkah laku bapanya. Oleh yang demikian, sejajar dengan melahirkan sifat kepemimpinan dalam kalangan kaum Adam, setiap bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai kemimpinan yang berwibawa kepada anak-anak lelaki mereka.

 

 

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Mendidik anak supaya menjadi insan yang beriman dan bertakwa – insan bertakwa sentiasa patuh dan taat kepada hukum Allah yang secara relatif mendidik manusia menjadi insan mulia dan bertanggungjawab

 

Isi 2 : Memberikan didikan dan pelajaran yang secukupnya – sebagai langkah untuk menghadapi dunia yang mencabar – dapat memimpin dan mentadbir keluarga dengan cara yang bijaksana

 

Isi 3 : Menanamkan dan membentuk perwatakan kelelakian yang normal – fizikal yang mantap, minda yang cerdas dan emosi yang setabil – nilia-nilai murni seperti bertanggungjawab, berani dan penyayang

 

Isi 4 : Memberi tunjuk teladan kepimpinan dan mempunyai keyakinan diri – percaya akan diri sendiri dan dan memberi keyakinan kepada orang lain – boleh dipercayai menjadi pemimpin

 

Isi 5 : Melatih memimpin sesuai dengan peringkat usia, kematangan dan kebolehan – sebagai persediaan menjadi lelaki yang berkarisma

 

Kesimpulan : Kaum Adam dalam dekad-dekad belakangan sangatlah hebat, gagah dan cemerlang. Dalam sejarah tamadun manusia, kaum Adam ternyata hebat dalam mencorak gaya kepemimipinan masing-masing. Tokoh-tokoh klasik dan moden telah membuktikan bahawa asas yang kukuh akan membentuk modal insan yang hebat. Oleh itu, seandainya anda lelaki, warisilah hemah dan karisme memimpin yang sentiasa dikagumi.

 

 

 

3. Peninggalan sejarah dan warisan budaya merupakan aset yang mesti dipertahankan dengan baik agar dapat dijadikan sumber rujukan dan tatapan generasi akan datang.

 

Sarankan langkah-langkah memulihara peninggalan sejarah negara.

 

Pendahuluan : Kemerdekaan negara kita sudah mencapai usia matang. Kematangan tersebut ditandai oleh usia dan pengalaman pahit manis yang pernah dilalui. Dalam tempoh 55 tahun kita mencapai kemerdekaan, sewajarnya kita sudah cukup bijak untuk membezakan antara kaca dan permata. Permata dalam konteks sebuah negara yang berdaulat ialah segala khazanah dan warisan yang boleh dijadikan sejarah kepada bangsa kita. Walau bagaimanapun, dalam sibuk mengejar kemajuan sebagai pengisian kemerdekaan, kita lupa akan pentingnya nilai-nilai sejarah yang boleh menjadi lambang identiti bangsa. Oleh itu, gemblengan usaha yang bersepadu oleh semua pihak hendaklah digerakkan demi menyelamat dan memulihara peninggalan sejarah negara.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Membina semangat dan sikap positif dalam jiwa raga bangsa – sentiasa berbangga menjadi bangsa yang memiliki sejarah, budaya dan kedaulatan (secara ironi masih ramai rakyat Malaysia yang terlalu mengagumi kecemerlangan bangsa lain)

 

Isi 2 : Mewartakan dengan lebih banyak bahan-bahan sejarah – meneruskan ekspedisi dan ekskavasi bahan-bahan sejarah – sebagai bukti kita benar-benar menilai sejarah bangsa sendiri

 

Isi 3 : Merawat dan membaik pulih tinggalan sejarah yang dibiarkan daif dan terlindung – usaha Kementerian Kesenian dan Warisan, Jabatan Muzium dan Arkib – usaha pihak berkuasa tempatan (PBT)

 

Isi 4 : Membuat dokumentasi dan menghebahkan untuk pengetahuan rakyat dan masyarakat luar – peranan media massa dan media elektronik

 

Isi 5 : Memberi taraf dan dijadikan sebagai produk daya tarikan pelancong – mengangkat imej bangsa dan menyumbang kepada ekonomi negara

 

Kesimpulan : Sesungguhya, bangsa yang buta sejarah sedang menempa suatu masa depan yang hambar. Mereka pasti luput ditelan arus perubahan global. Sebaliknya bagi bangsa yang bermaruah, mereka rela menumpahkan darah demi mempertahankan khazanah bangsa. Oleh iitu, kita wajar menjadi bangsa yang berdaulat dengan membuktikan bahawa kita memiliki sejarah yang sendiri.

 

 

 

 

 

 

 

 

4. Hampir tujuh bilion perut di seluruh dunia semakin terasakan bahana kenaikan harga makanan. Faktor yang menggusarkan masyarakat dunia ialah stok makanan semakin berkurang.

 

Bincangkan punca-punca kemerosotan bekalan makanan dunia.

 

Pendahuluan : Sepintas lalu kita mengimbau insan-insan yang boleh diumpamakan sebagai bangkai bernyawa, naluri kita menjerit hiba, takut dan bimbang. Kesengsaraan yang ditanggung oleh segolongan insan yang tidak bernasib baik di beberapa wilayah yang diancam kebuluran amat menakutkan sekali. Kesengsaraan yang dihadapi telah meruntun simpati agar tragedi kemanusiaan seperti itu perlu ditangani segera. Sebenarnya tragedi kemanusiaan seperti itu berlaku daripada pelbagai punca termasuk perbuatan manusia dan fenomena alam

 

Isi 1 : Peperangan yang tidak pernah reda sejak lepas Perang Dunia Kedua 1945 – selain memusnahkan segala sumber alam, peperangan turut menghalang manusia bergiat aktif dalam kegiatan ekonomi khususya sektor pertanian

 

Isi 2 : Kuasa monopoli ekonomi oleh negara-negara pedagang dan negara kaya – mengawal pengedaran bahan makanan (bijirin) ke negara-negara miskin – bertindak untuk mengawal harga – sumber makanan yang tidak dipasarkan dimusnahkan begitu sahaja

 

Isi 3 : Bencana alam – kemarau, ribut taufan, gempa bumi dan l etupan gunung berapi – banjir dalam skala luar biasa telah beberapa kali melanda Cina, India, Australia dan Thailand – memusnahkan ladang gandum, sawah padi dan ladang tenusu (banjir luar yang melanda lembah Mekong dan delta Chao Pharaya di Thailand selama 4 bulan)

 

Isi 4 : Serangan makhluk perosak – suatu fenomena alam yang sukar dikawal – (serangan daripada ulat, burung, tikus, bena dan belalang) – amat skar dikawal dalam skala yang sangat besar

 

Isi 5 : Pembangunan yang tidak lestari – revolusi industri dan sistem petempatan moden banyak memusnahkan sumber semula jadi termasuk hasil-hasil pertanian – negara-negara yang suatu masa dahulu sangat kaya (Greece, Itali, Sepanyol) sedang menghadapi krisis kerana produk pertanian semakin berkuarangan

 

Kesimpulan : Allah SWT telah menganugerahkan alam yang kaya dengan hasil mahsul ini agar dikongsi oleh manusia moga-moga manfaatnya dapat dirasai bersama. Manusia sewajar insaf, tindakan kejam dan keji seperti melancarkan peperangan dan penindasan hendaklah dihentikan segera demi kelangsungan hak untuk hidup dapat dinikmati secara bersama.

 

 

5. Berdasarkan sebuah karya sastera yang anda baca, jelaskan amalan-amalan baik yang sesuai dipraktikkan oleh masyarakat kini.

 

MAKLUMAN : Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)

 
SUMBER
http://ishakmdshah.blogspot.com/