Kita
masih hidup hari ini kerana nafas yang masih turun dan naik. Tanpa nafas kita
adalah mati. Namun selamanya kita tidak akan menghargai nafas kita yang turun
naik ini kerana kita dibutakan oleh permainan duniawi yang semu. Kita adalah manusia bongkak yang
kufur akan nikmat yang dianugerahkanNya. Itulah kita manusia.
Pengalaman
banyak mengajar kita tentang kehidupan. Sepanjang saya menjaga adik saya yang
dijangkiti penyakit kencing tikus di hospital banyak pengajaran yang saya
perolehi. Kita dapat lihat betapa pentingnya nafas dalam meneruskan kehidupan. Apabila
diberitakan bahawa adik saya mempunyai peluang 50/50 untuk hidup ianya amat
merisaukan saya dan keluarga. Tapi ajal dan maut itu bukan di tangan manusia. Selama 4 hari adik saya tidak sedarkan diri
dan pernafasannya pula bergantung kepada mesin, saya dapat perhatikan bahawa
adik saya berjuang untuk meneruskan hidup. Selain adik saya terdapat beberapa
lagi pesakit yang berada di dalam wad unit rawatan rapi (ICU). Semua mereka
yang berada di dalam ICU ketika itu tidak sedarkan diri. Yang hanya dapat kita
perhatikan adalah nafas mereka yang turun dan naik. Selebihnya hanyalah sekujur
tubuh yang kaku tanpa reaksi.
Saya
berada di hospital selama seminggu. Tidur merempat di sana-sini di kawasan
hospital. Bila malam menjelma kadang kala ramai manusia yang tidur di hospital
menjalankan tanggungjawab menjaga orang yang penting bagi mereka. Ada kalanya
suasana lengang dengan hanya kelihatan pengawal keselamatan menjalankan tugas
mereka. Sepanjang di hospital saya bebas turun naik dalam bangunan hospital
walaupun bukan waktu melawat kerana pengawal keselamatan sudah kenal saya yang
sentiasa membawa bekalan makanan dan keperluan untuk ibu saya yang menjaga adik
saya di dalam wad. Itu kita namakan sebagai tolak ansur dan perikemanusiaan
kita sebagai manusia. Kalau ikutkan peraturan saya hanya dapat masuk pada waktu
melawat sahaja. Jika pengawal keselamatan itu terlalu ikutkan peraturan makanya
ibu saya hanya akan bersarapan pagi pada pukul 12 tengah hari.
Selama
seminggu juga, katil pesakit di sebelah adik saya sentiasa diganti dengan pesakit yang baru. Ada yang sembuh dan dibawa
pulang, ada juga yang meninggal dunia. Yang tak dapat saya lupakan adalah
seorang pesakit yang tiba-tiba diletakkan di sebelah katil adik saya. Usianya masih
muda dan dia ditinggalkan berseorangan dengan topeng oksigen. Saya perhatikan
dia begitu sukar sekali untuk bernafas, setiap nafas yang dihembus mengeluarkan
bunyi dan pendarahan yang bagi saya
menyentuh hati kita manusia yang hidup. Tambahan pula tiada seorangpun saudara
mara dan rakan yang melawatnya atau menjaganya. Jururawat menyatakan bahawa dia
merupakan warganegara asing mungkin Indonesia yang bekerja di situ. Keadaannya memang
menyedihkan. Tidak lama dia berada di situ, mungkin satu hari sahaja. Dia meninggal
dunia tanpa sesiapa di sisi, mungkin keluarganya di Negara asalnya pun tak tahu
yang dia telah mati.
Begitulah pentingnya nafas dalam kehidupan
kita. Tanpa nafas maknanya kita adalah mati. Sebab itu dalam ilmu tasauf kita
diajarkan zikir nafas (Allahu) bertujuan mensyukuri nikmat nafas kita yang
sentiasa turun dan naik ini. Setelah merempat di hospital selama seminggu
dengan penuh keredhaan hari ini saya meneruskan rutin seharian saya di Miri
sebagai seorang guru.