Sunday, 2 September 2012

CATATAN HIDUP NO.5: MERDEKA JIWA


Merdeka menurut kamus dewan bermaksud bebas. Kita menyambut hari kemerdekaan Negara pada 31 Ogos sebagai mengingati bebasnya kita daripada penjajahan selama lebih 400 tahun. Tapi adakah Negara kita bebas sepenuhnya? Kita mungkin bebas dalam erti kata fizikalnya tapi kenyataannnya kita tidaklah bebas kerana kita masih lagi mengekalkan undang-undang dan warisan penjajah. Ini merupakan kenyataan dan realiti Negara kita hari ini.

Semua orang ada definsi  tersendiri tentang merdeka dalam diri masing-masing. Definisi yang dipegang inilah yang mencorakkan perjalannya menjalani kehidupan. Masing-masing punya cara tersendiri menterjemahkan erti merdekanya.  Bagi saya yang paling utama adalah kita perlu merdekakan jiwa kita daripada belenggu dan belitan duniawi. Kita sepatutnya bebaskan diri dan jiwa kita daripada permainan dunia hari ini yang semakin lama semakin mengarut.

 Kita di sini adalah pengembara yang singgah sementara sahaja dan bukannya untuk bermastautin di sini selama-lamanya. Hal-hal dunia terutamanya yang melibatkan wang ringgit sememangnya membebankan jika kita menjadi hamba kepada material dunia ini. Bagi saya duit itu penting dan kita berkejaran ke sana-sini untuk mendapatkannya. Bagi saya juga wang bukanlah segala-galanya. Cukup untuk hidup bagi saya sudah memadai. Selama ini pun duit gaji yang saya dapat setiap bulan banyak dihabiskan untuk orang lain di sekeliling terutama keluarga. Itu pun salah satu tanggungjawab kita. Saya tiada apa untuk untuk dirungutkan tentang itu.

Dalam bekerja juga saya sukakan kebebasan. Kita sepatutnya diberikan peluang seluas-luasnya untuk kita menghasilkan hasil kerja yang terbaik. Bila kita dikongkong dalam bekerja bagi saya ianya hanya akan menutup ruang untuk kita bekerja dan berkarya. Bagi saya juga tekanan bekerja adalah penting juga tapi jika ianya berlebihan pun mendatangkan masalah. Sebagai seorang guru bagi saya tidak sepatutnya kita dipandang seperti pelajar oleh ketua kita. Dimaki hamun seperti kita tidak punya maruah dan harga diri kerana penilaian yang subjektif dan dipengaruhi pula manusia-manusia yang merasakan dirinya hebat. Kadang-kadang pun kita tidak mampu menangkis segala macam kerenah yang bagi saya selayaknya untuk merkeka yang tidak punya hati dan perasaan. Seperti lirik lagu Iwan Fals "aku menolak akal yang tanpa hati".

Hari ini saya membebaskan diri dari segala macam kerenah yang tidak ada penghujungnya ini. Yang penting bagi saya adalah terus menjalani hidup dengan seadanya dan selayaknya saya di sini. Memang sukar jika kita cuba hidup secara jujur di zaman ini. Tapi saya hidup berbekalkan pegangan dan prinsip sendiri dan tidak akan bertuhankan makhluk. Jadinya adalah penting di sini untuk kita merdekakan jiwa!!