Saturday 22 September 2012

CATATAN HIDUP NO. 6: NAFAS DAN KEHIDUPAN


 

Kita masih hidup hari ini kerana nafas yang masih turun dan naik. Tanpa nafas kita adalah mati. Namun selamanya kita tidak akan menghargai nafas kita yang turun naik ini kerana kita dibutakan oleh permainan duniawi  yang semu. Kita adalah manusia bongkak yang kufur akan nikmat yang dianugerahkanNya. Itulah kita manusia.

Pengalaman banyak mengajar kita tentang kehidupan. Sepanjang saya menjaga adik saya yang dijangkiti penyakit kencing tikus di hospital banyak pengajaran yang saya perolehi. Kita dapat lihat betapa pentingnya nafas dalam meneruskan kehidupan. Apabila diberitakan bahawa adik saya mempunyai peluang 50/50 untuk hidup ianya amat merisaukan saya dan keluarga. Tapi ajal dan maut itu bukan di tangan manusia.  Selama 4 hari adik saya tidak sedarkan diri dan pernafasannya pula bergantung kepada mesin, saya dapat perhatikan bahawa adik saya berjuang untuk meneruskan hidup. Selain adik saya terdapat beberapa lagi pesakit yang berada di dalam wad unit rawatan rapi (ICU). Semua mereka yang berada di dalam ICU ketika itu tidak sedarkan diri. Yang hanya dapat kita perhatikan adalah nafas mereka yang turun dan naik. Selebihnya hanyalah sekujur tubuh yang kaku tanpa reaksi.

Saya berada di hospital selama seminggu. Tidur merempat di sana-sini di kawasan hospital. Bila malam menjelma kadang kala ramai manusia yang tidur di hospital menjalankan tanggungjawab menjaga orang yang penting bagi mereka. Ada kalanya suasana lengang dengan hanya kelihatan pengawal keselamatan menjalankan tugas mereka. Sepanjang di hospital saya bebas turun naik dalam bangunan hospital walaupun bukan waktu melawat kerana pengawal keselamatan sudah kenal saya yang sentiasa membawa bekalan makanan dan keperluan untuk ibu saya yang menjaga adik saya di dalam wad. Itu kita namakan sebagai tolak ansur dan perikemanusiaan kita sebagai manusia. Kalau ikutkan peraturan saya hanya dapat masuk pada waktu melawat sahaja. Jika pengawal keselamatan itu terlalu ikutkan peraturan makanya ibu saya hanya akan bersarapan pagi pada pukul 12 tengah hari.

Selama seminggu juga, katil pesakit di sebelah adik saya sentiasa diganti dengan  pesakit yang baru. Ada yang sembuh dan dibawa pulang, ada juga yang meninggal dunia. Yang tak dapat saya lupakan adalah seorang pesakit yang tiba-tiba diletakkan di sebelah katil adik saya. Usianya masih muda dan dia ditinggalkan berseorangan dengan topeng oksigen. Saya perhatikan dia begitu sukar sekali untuk bernafas, setiap nafas yang dihembus mengeluarkan bunyi  dan pendarahan yang bagi saya menyentuh hati kita manusia yang hidup. Tambahan pula tiada seorangpun saudara mara dan rakan yang melawatnya atau menjaganya. Jururawat menyatakan bahawa dia merupakan warganegara asing mungkin Indonesia yang bekerja di situ. Keadaannya memang menyedihkan. Tidak lama dia berada di situ, mungkin satu hari sahaja. Dia meninggal dunia tanpa sesiapa di sisi, mungkin keluarganya di Negara asalnya pun tak tahu yang dia telah mati.

 Begitulah pentingnya nafas dalam kehidupan kita. Tanpa nafas maknanya kita adalah mati. Sebab itu dalam ilmu tasauf kita diajarkan zikir nafas (Allahu) bertujuan mensyukuri nikmat nafas kita yang sentiasa turun dan naik ini. Setelah merempat di hospital selama seminggu dengan penuh keredhaan hari ini saya meneruskan rutin seharian saya di Miri sebagai seorang guru.