Friday, 26 October 2012

KARANGAN NO 4: PERCUBAAN SPM TERENGGANU


TERENGGANU

 

1. Anda telah menyertai program motivasi yang telah dianjurkan oleh pihak sekolah. Pelbagai aktiviti telah diadakan.

 

Jelaskan aktiviti program yang telah menimbulkan kesedaran dalam diri anda untuk terus berjaya.

 

Pendahuluan : Banyak orang berpendapat, usia remaja ialah tempoh emas untuk menentukan hala tuju seseorang itu. Sama ada masa depan seseorang itu berjaya atau gagal bergantunglah kepada kebijaksanaan merancang dan mengisi ruang masa dengan pelbagai aktiviti yang berfaedah. Banyak kegiatan yang boleh dimanfaatkan seperti mengunjungi pusat sumber, lawatan sambil belajar, dan menghadiri kelas tuisyen. Belakangan ini banyak pihak yang mengambil peluang menganjurkan pelbagai kem dan kursus pendek dalam masa cuti. Kem-kem seperti itu amat relevan untuk membentuk sahsiah remaja sama ada dalam aspek pengayaan minda mahupun keseimbangan emosi. Peluang tersebut turut saya ambil untuk memanfaatkan cuti hujung tahun yang agak panjang. Sesungguhnyadi luar pengetahuan, saya telah memperoleh pelbagai input baru dalam usaha membangunkan jati diri yang dapat pula saya kongsikan dengan rakan-rakan sebaya.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 : Memberi peluang memperluas jalinan rakan-rakan dan kenalan baru – berkenalan dengan rakan-rakan sebaya daripada pelbagai lapisan (remaja dari desa, bandar, kaya dan miskin) – berkongsi pengalaman tentang corak hidup, budaya, dan cara berfikir (sesuai dengan peribahasa, jauh berjalan luas pandangan, lama hidup banyak pengalaman, dan ramai kawan luas pengetahuan)

 

Isi 2 : Memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya – menggantikan rutin harian yang biasa seperti tidur, berehat dan menonton TV dengan aktiviti yang berfaedah – setiap saat yang berjalan cukup bermanfaat – faham tentang perancangan masa yang berkesan

 

Isi 3 : Dapat mengikuti modul latihan yang padat – modul latihan dirancang secara teliti ( meliputi aspek ketahanan minda, latihan jasmani, semangat berpasukan, dan pengetahuan am ( berkaitan sejarah negara, hubungan Malaysia di peringkat antarabangsa) – modul kerohanian (latihan tadarus al Quran, solat berjemaah, solat malam, dan kuliah agama)

 

Isi 4 : Sangat mencabar ketahanan fizikal dan mental – modul latihan fizikal yang lasak (senaman pagi, kawad kaki, treking, dan merentas halangan) – modul latihan mental (penyelesaian masalah, membaca arah, dan bermuhasabah)

 

Isi 5 : Berjaya membina keyakinan diri – berasa seolah-olah dilahirkan semula dalam sebuah dunia yang baharu – berjaya memupuk kekuatan minda, lebih bersemangat, dan yakin untuk mencapai matlamat - memperoleh emosi yang tenang dan selalu bertawakal kepada Tuhan

 

Kesimpulan : Selepas seminggu berada dalam kem yang dianggap oleh sesetengah peserta sebagai penjara terhormat, saya bermuhasabah semula tentang hakikat diri. Sesungguhnya, setiap insan yang diciptakan telah disertakan dengan potensi yang tertentu. Namun demikian, kegagalan kita memanfaatkan potensi yang ada boleh menyebabkan ramai orang yang gagal di pertengahan jalan. Oleh itu, setiap potensi hendaklah digilap melalui kursus dan kem seperti yang saya hadiri. Yakinlah, “Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan kaum itulah yang mengubahnya” (maksud al Quran).

 

 

2. Pengukuhan institusi keluarga merupakan tunjang utama dalam membina keluarga bahagia.

 

Huraikan peranan ahli keluarga dalam merealisasikan institusi keluarga bahagia.

 

Pendahuluan : “Air dicencang tidak akan putus, dan carik-carik bulu ayam lama-lama bercantum semula”. Dua ungkapan daripada peribahasa Melayu itu menjelaskan kepada kita bahawa hubungan rapat yang berpaksikan darah daging tidak akan dapat dileraikan. Walaupun pernah terpisah akibat salah faham, namun perpecahan tersebut tidak akan ke mana-mana malah akan bercantum semula. Menghayati isi kandung daripada pengajaran peribahasa tersebut, jelaslah kepada kita bahawa tugas membentuk keluarga yang bahagia adalah menjadi tanggungjawab semua anggota dalam keluarga.

 

Isi 1 :    Sentiasa mengutamakan jalinan kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga - keluarga sebagai punca utama lahirnya kehidupan yang bahagia - tidak bersikap mementingkan diri sendiri - mengelak sebarang salah faham - mengambil pendekatan bermusyawarah dalam menyelesaikan sesuatu pertikaian

 

Isi 2 :    Menjadi contoh teladan dan sumber inspirasi - setiap ahli keluarga yang sudah besar dan berjaya sama ada dalam pelajaran atau kerjaya hendaklah menunjukkan contoh teladan yang baik dengan membimbing dan memandu adik-adik untuk berjaya terutama dalam pelajaran

 

isi 3 :    Menyokong keluarga dalam bentuk material dan moral - tidak boleh bersikap mementingkan diri sendiri - meringankan bebanan ibu bapa untuk menanggung keluarga - sebagai langkah membalas budi ibu bapa/tidak bersikap seperti kacang lupakan kulit

 

Isi 4 :    Menjalinkan hubungan yang erat dengan keluarga induk walaupun selepas berkahwin - tidak terputus silaturahim dengan keluarga - membawa sokongan sama ada dalam bentuk material mahu pun khususnya untuk adik-adik yangmasih belajar

 

Isi 5 :

 

Kesimpulan : Berdasarkan maksud sepotong ayat al-Quran dalam Surah Ali Imron yang bermaksud, : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah. Dan perpeganglah kamu kepada tali Allah dan janganlah kamu berpecah belah. Ingatlah akan nikmat Allah kepada kamu dengan sebanyak-banyaknya. Justeru, amatlah penting kita mengamalkan sikap menjalinkan silaturahim dan membentuk sebuah keluarga yang bahagia.

 

 

3. Dalam usaha menggalak dan mencungkil potensi murid dalam bidang sukan, Kementerian Pelajaran Malaysia telah memperkenalkan dasar 1 Murid 1 Sukan untuk dilaksanakan di semua sekolah. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk diterbitkan dalam majalah sekolah bertajuk “Faedah-faedah Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan di Sekolah”.

 

Tulis rencana itu selengkapnya.

 

MAKLUMAN : Rujuk sampel yang telah dibekalkan dalam negeri Pulau Pinang

 

 

4. Kesepakatan dan perpaduan dalam kalangan pemimpin dan rakyat antarabangsa mampu mewujudkan keamanan dan kemakmuran masyarakat dunia.

 

Ulaskan pernyataan di atas.

 

Pendahuluan: Ibarat hidup sandar-menyandar bagai aur dengan tebing. Demikianlah hidup kita yang saling memerlukan antara satu dengan yang lain. Kita tidak boleh hidup bersendirian bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Banyak perkara yang kita perlu kepada sokongan orang lain. Tuhan juga telah berfirman dengan maksudnya, “Aku jadikan manusia daripada bersuku-suku dan berbangsa-bangsa agar mereka saling mengenali dan bertolong bantu.” Oleh hal yang demikian, demi keamanan dan kemakmuran masyarakat sejagat, sama ada pemimpin mahupun rakyat hendaklah mengambil inisiatif untuk menjalinkan hubungan diplomatik dengan seluruh warga dunia tanpa memilih perbezaan pendapat, ideologi, bangsa, dan agama.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1: Memperluas jalinan hubungan diplomatik dalam dasar luar negara – menjalinkan persefahaman dan hubungan bilateral dan multilateral (hubungan dua hala dan pelbagai hala) dengan kerajaan di seluruh dunia – amalan saling mengiktiraf sebagai negara yang berdaulat dan merdeka - mengelak perasaan curiga dan prejudis dalam kalangan masyarakat dunia

 

Isi 2: Mewujudkan jalinan sosial, ilmu, dan budaya di peringkat global – boleh mewujudkan hub pendidikan global - mengeksport dan mengimport sumber maklumat dan ilmu pengetahuan melalui jaringan kerjasama di bawah badan dunia seperti UNESCO - mengenali cara hidup budaya dan adat resam pelbagai masyarakat dunia - menjalinkan persefahaman melalui misi sukan, kerja amal, dan sumbangan kemanusiaan

 

Isi 3: Mewujudkan rangkaian ekonomi dan perdagangan global - memperluas pasaran di peringkat global - memperkenalkan produk masing-masing di pasaran antarabangsa – menjalinkan hubungan dagang dan memperluas pasaran global

 

Isi 4:     Mewujudkan jaringan serantau dan antarabangsa - mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti antarabangsa – persidangan tentang siasah, ekonomi, sosial, dan keamanan - menjaga kebajikan negara-negara serumpun dan serantau (ASEAN), negara-negara merdeka (KOMANWEL), kebudayaan (OIC), dan dunia (PBB)

 

Isi 5:     Memenuhi tanggungjawab sosial untuk hidup sebagai warga dunia yang bersatu padu - menghormati hak asasi manusia untuk hidup bebas, berdaulat, dan diiktiraf - tidak bersikap mementingkan diri – memperoleh pengiktirafan oleh masyarakat dunia - memperluas sistem rangkaian maklumat global dalam jalinan maklumat siber

 

Kesimplulan : Dalam abad milenium ini, umat manusia tidak harus terkongkong dalam belenggu katak di bawah tempurung. Kita tidak boleh lagi hidup bersendirian kerana sebarang gerak geri kita sentiasa diperhati oleh masyarakat luar. Daripada kita dianggap sebagai bangsa yang tidak mesra masyarakat dunia dan disisihkan dalam pelbagai agenda lebih baik kita memberi sumbangan sedaya yang mampu. Kita harus berbakti kepada masyarakat dunia sekadar yang upaya bak kata peribahasa sedikit tanda ingat, banyak tanda ada.

 

5. Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu menerapkan nilai-nilai murni yang dapat dijadikan pedoman dalam kehidupan oleh generasi muda pada hari ini.

 

Berikan pendapat anda.

 

Pendahuluan : Apabila selesai membaca sesebuah novel mahupun menonton sesebuah drama, seseorang itu mula berfikir tentang apakah unsur-unsur istimewa yang terbit daripada cerita tersebut? Selain terpikat dengan episod dan aksi watak yang hebat, unsur nilai dan pengajaran sudah pasti akan menyerap secara perlahan-perlahan ke dalam benak dan minda pembaca. Tidak dinafikan bahawa nilai kemanusiaan adalah antara sumber yang menjadi kekuatan kepada binaan sesebuah karya sastera. Hal tersebut dapat saya bincangkan berdasarkan novel Kembara Amira yang amat padat dengan unsur-unsur nilai kemanusiaannya. (masukkan judul novel yang anda pernah baca).

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 : Nilai patriotik – suatu sikap yang dapat mengangkat rasa tanggungjawab masyarakat atau rakyat di sesuatu tempat/negara – nilai patriotik yang diitunjukkan oleh masyarakat orang asli dalam mempertahankan ketulenan dan keaslian budaya dan alam sekitar mereka.

 

Isi 2 : Nilai kasih sayang – suatu nilai yang luasnya ibarat lautan yang tidak bertepi – kasih sayang terhadap darah daging sendiri, kasih sayang demi sahabat yang sejati, dan jiwa yang musnah akibat terpisah daripada kasih sayang – boleh dilihat dalam konteks hubungan Dr Zaidah dan Amira, antara Amira dan Jacintha serta antara Tau dengan anak dan isterinya yang dipisahkan

 

Isi 3 : Nilai bekerjasma – merupakan nilai yang terpahat demi menzahirkan suatu kejayaan dalam sebarang usaha – komitmen yang tinggi dalam kalangan anggota – kerjasama yang jitu daripada kumpulan ekskavasi Bukit Mat Raya yang berjaya menemui karpus tulang manusia – kerjasama yang akhirnya berjaya menghalang operasi menggali emas sehingga boleh memupuskan masyarakat orang asli dan seluruh budaya mereka

 

Isi 4 : Nilai keberanian dan jati diri – sikap yang terpahat dalam diri anak muda yang mahu meneroka sesuatu yang baru dan mencabar – Amira, Jacinta, dan Itai

 

Isi 5 : Nilai bekerjasama dan saling menyokong – lambang kepada kejayaan ekspedisi dan ekskavasi – hubungan rapat dan saling menyokong antara golongan elit dan masyarakat setempat – memberi isyarat bahawa kejayaan akan tercapai apabila ada sokongan dan kerjasama – saling membantu dan menyokong antara masyarakat asli dengan kumpulan pengkaji dari universiti.

 

Kesimpulan : Nilai kemanusiaan adalah aset yang boleh dijadikan sumber didaktik yang disemai secara halus dan tersirat. Oleh hal yang demikian, sebagai pembaca yang bijaksana, unsur-unsur nilai hendaklah dijadikan panduan dan pedoman untuk membuat koreksi diri. Moga-moga apa-apa yang ditelusuri lewat karya yang dibaca mampu mengimpakkan natijah yang sangat berharga.

 
SUMBER :
http://ishakmdshah.blogspot.com/

KARANGAN NO 3: PERCUBAAN SPM KELANTAN


KELANTAN

 

1. Remaja kini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Tekanan yang dihadapi telah menyebabkan ada segelintir remaja mengambil tindakan tidak sesuai.

 Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani tekanan.

 

Pendahuluan : ‘Lulus cemerlang dengan 10A+’, ‘Pergi Tuisyen’, ‘Masuk Kelas Qiraati atau belajar berenang’, dan ‘Masuk Summer Camp’ adalah antara ungkapan yang sudah basah di mulut para ibu bapa. Sebaliknya, ungkapan yang sama pula sudah menjadi mangli dan alergi kepada anak-anak. Antara anak-anak dan ibu bapa, malah guru juga kadang-kadang sudah tidak sealiran sekalipun berada dalam laras matlamat yang sama. Keinginan yang melampau dan impian tinggi menggunung oleh ibu bapa telah meninggalkan kesan fobia dan trauma dalam kalangan anak-anak. Mujurlah bagi yang berupaya, mereka dapat memenuhi hasrat ibu bapa, sebaliknya kepada yang kurang timbullah pelbagai kesan stres dan kemurungan. Bagi diri saya, isu ini ibarat ditelan mati bapa diluah mati emak kerana hakikatnya semua adalah penting. Oleh itu, saya memerlukan beberapa strategi yang berhemat untuk mengimbangi kedua-duanya.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 : Bersedia lebih awal – menjadikan agenda belajar mengatasi segala yang lain – cuba menuruti ikon-ikon cemerlang sebagai sumber rujukan

 
Isi 2 : Bawa berbincang dengan ibu bapa dan guru – jelaskan keupayaan sebenar kepada mereka – dapatkan bimbingan dan motivasi

 
Isi 3 : Mesti jelas matlamat dan hala tuju – cita-cita hendaklah diukur kepada minat dan kemampuan diri

 
Isi 4 : Bertemu guru-guru kaunseling – mereka mempunyai kelayakan untuk membuat konsultasi – kemukakan segala masalah yang terbuku di hati

 
Isi 5 : Banyak berdoa dan bermuhasabah diri – tidak melupai Tuhan yang sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya.

 
Kesimpulan : Memetik kata-kata dalam pepatah Arab, bahawa setiap penyakit ada ubatnya, jelas menunjukkan kita tidak boleh tenggelam punca dalam menangani sebarang masalah. Kita wajar berlapang dada dan dingin kepala untuk mencari langkah penyelesaian. Kebijaksanaan bukan terletak kepada jumlah A yang dikutip tetapi bijaksana dalam menguruskan diri umpama, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.

 

 
2. Banyak pendapat mengatakan masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga.

 Jelaskan peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

 
Pendahuluan: Gejala perbuatan sumbang antara remaja lelaki dan perempuan, ketagihan dadah, kemaruk hiburan, mat rempit, dan pelbagai ragam kemacetan remaja lagi sedang terpampang di hadapan mata kita. Pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah telah ‘ditakluki’ oleh golongan yang rosak akhlak terutama sekali pada waktu hujung minggu. Naik jeluak pada fikiran kita apabila melihat aksi remaja yang tidak segan melakukan aksi sumbang di tengah-tengah khalayak ramai itu. Apabila keadaan ini sudah semakin kronik, pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain. Masing-masing saling menuduh tentang angkara siapakah yang menyebabkan gejala ini semakin sukar dibendung? Jawapan kepada krisis ini, banyak pihak berpendapat, institusi keluarga masih diyakini memiliki kewibawaan untuk menanganinya.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 :   Memperkasakan semula institusi keluarga - banyak institusi keluarga yang longgar, goyah, dan bermasalah - kurang persefahaman dan bersikap saling mementingkan diri sendiri - pengendali keluarga perlu faham akan fungsi masing-masing - anak-anak akan berasa lebih selamat untuk berada di rumah dan terselamat daripada gejala moral

 
Isi 2 :   Ibu bapa dan anggota keluarga sering mengambil tahu masalah - perlu lebih banyak berinteraksi dengan anak-anak terutama apabila mereka meningkat remaja - mesti menjadi jururunding profesional kepada masalah anak-anak

 
Isi 3 :   Menyediakan keperluan asas yang sewajarnya kepada anak-anak – menjadi tempat mengadu anak-anak - peka terhadap keperluan asas anak-anak sama ada mental, emosi mahupun fizikal

 
Isi 4 :   Mengutamakan pakej ilmu dan pendidikan keluarga melebihi agenda lain dalam keluarga - menjaminkan anak-anak menerima pendidikan yang secukupnya sama ada dunia atau akhirat - meminimumkan agenda hiburan terutama hiburan yang melalaikan - mendedahkan anak-anak dengan iklim kehidupan yang baik

 
Isi 5 :   Mewujudkan interaksi yang sihat dan mesra dengan jiran tetangga - untuk melahirkan semangat kerjasama dan saling bertanggungjawab terhadap segala masalah terutama yang melibatkan anak-anak remaja - bersama-sama menjadi mata dan telinga terhadap gelagat anak-anak remaja - sentiasa menaruh kepercayaan terhadap jiran tetangga dalam usaha menangani gejala kurang sihat dalam kalangan anak-anak

 
Kesimpulan : Kesempurnaan minda dan akhlak dalam kalangan anak-anak bermula di rumah. Oleh yang demikian, untuk melahirkan anak-anak yang baik seharusnya suasana dalam rumah tangga perlu menjadi baik terlebih dahulu. Dalam arus kebejatan sosial yang semakin rencam sekarang, wajarlah institusi keluarga diperkasakan agar menjadi benteng terawal dan terakhir untuk menyelamatkan remaja daripada terus tenggelam dalam gelombang ancaman wabak sosial.

 

 
3. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana tentang peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri palancongan.

 
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

 
MAKLUMAN : Rujuk rangka isi sama ada Pulau Pinang atau Perak

4. Penganjuran sukan bertaraf dunia seperti perlumbaan kereta Formula 1, perlawanan bola sepak piala AFC dan perlumbaan basikal le Tour de Langkawi wajar diteruskan kerana banyak faedah yang diperoleh melalui penganjurannya.

 Nyatakan faedah-faedah penganjuran sukan bertaraf dunia.

 MAKLUMAN : Dengan ihsan dilampirkan sampel karangan hak cipta saya sebagai rujukan anak-anak didik.

 
Para atlit negara ke peringkat antarabangsa sering disebut sebagai duta kecil. Mereka membawa mesej damai, menghulurkan salam silaturahim, dan pembawa obor keamanan sejagat. Ketika di atas gelanggang dan di atas trek, mereka berjuang demi maruah negara. Tiada perasaan dendam dan kebencian. Semuanya dengan falsafah ‘majulah sukan untuk negara’. Sesungguhnya, sukan mampu menjadi tonik untuk melegakan buat sementara waktu segala ketegangan dan perselisihan yang berpunca daripada perbezaan ideologi dan politik.

 

            Sejarah sukan peringkat antarabangsa telah bermula daripada pemujaan dewa Zeus. Di sinilah bermula suatu pertandingan memperagakan kekuatan dan kemahiran manusia. Sukan tersebut akhirnya dinamakan sukan Olimpik bersempena dengan nama Olympus. Olympus ialah pelari marathon yang paling ulung apabila berjaya membawa obor sukan dari Athen ke Sparta. Walau bagamanapun, beliau mati sebaik sahaja menyalakan obor sukan Olimpik. Demikianlah lambang semangat gigih dalam perjuangan sukan yang akhirnya diabadikan sebagai perlumbaan mempertahankan maruah bagi sesuatu bangsa dan negara. Pada zaman moden ini pelbagai temasya sukan lagi dianjurkan. Antaranya Sukan Komanwel, Sukan Asia, dan Bola Sepak Piala Dunia. Selain itu, acara-acara yang berprestij yang bertaraf dunia seperti lumba basikal, Formula 1, dan GP Motor mula menarik minat di seluruh dunia. Pendek kata semua acara sukan tersebut menjadi wadah mempertahankan maruah di samping sebagai deligasi keamanan sejagat.

 

            Walaupun kemenangan dan menjulang piala menjadi matlamat, namun penyertaan dalam sukan di peringkat antarabangsa membawa seribu harapan untuk menggerakkan warga dunia agar lebih cinta akan keamanan. Di gelanggang para atlit bersaing hebat, namun di luar gelanggang mereka menjalinkan silaturahim. Mereka pembawa mesej damai. Segala perbezaan politik dan perbezaan pendapat di peringkat pimpinan dapat dipadamkan apabila para atlit bertemu. Falsafah buang yang keruh ambil yang jernih benar-benar dianuti.

 

            Dalam kalangan atlet juga, mereka sentiasa berhubung dan mengikat tali persahabatan. Persahabatan tersebut terus berpanjangan sehingga ke luar gelanggang. Mereka mampu mewujudkan suatu rangkaian atlet dunia dan membuka lembaran baru dalam kehidupan yang realiti. Ada antaranya yang dapat mewujudkan rangkaian niaga di peringkat global. Ketika bergaul para atlet dapat mendalami tentang hal ehwal politik, sosial, dan ekonomi negara-negara peserta. Barangkali bagi sesetengah negara dalam gelanggang politik mereka berseteru, namun di atas gelanggang arena mereka bersaing secara sihat. Demikianlah falsafah dan ideologi yang amat tersirat dalam bidang sukan

 

            Sebagai tuan rumah, penghormatan yang diberikan dapat mengangkat imej sesebuah negara di mata dunia. Seluruh pelosok dunia akan mengalih perhatian kepada mana-mana negara yang telah terpilih menjadi tuan rumah. Kepercayaan yang diberi menandakan negara tersebut memiliki kredibiliti untuk menguruskan segala aspek teknikal, pengurusan, keselamatan, dan prasarana. Kejayaan Sukan Asia di Doha pada tahun 2006 telah dengan sepantas kilat mengangkat imej Qatar negara kecil di Teluk Farsi itu sebagai sebuah koloni yang disegani. Demikian pula, Afrika Selatan yang telah diamanahkan menjadi tuan rumah Bola Sepak Piala Dunia 2010 merupakan negara selatan Afrika yang paling istimewa menjadi tumpuan dunia amnya. Malahan tawaran yang sampai ibarat pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal.

 

            Kelebihan juga turut diperoleh negara tuan rumah dalam hal tukaran wang asing. Sumber dana yang disumbangkan oleh Konfiderasi Sukan Internasional amat ditunggu-tunggu oleh setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah. Segala perbelanjaan yang bermula dengan penyediaan infrastruktur sukan dan kemudahan prasarana seperti tempat tinggal, pengangkutan, makanan, dan logistik lain menjadi lombong emas kepada negara tuan rumah. Nilai tukaran wang asing menjadi lebih besar apabila semua mata wang dunia bertumpu ke negara tersebut. Semasa Piala Dunia ke-19 yang berlangsung di Afrika Selatan pada 2010, negara pertemuan dua lautan itu turut menerima limpahan pelancong ‘segera’ yang turut membawa tukaran wang asing sebanyak 323 juta pound sterling dalam masa tiga puluh hari sahaja. Secara sambil menyelam minum air, negara-negara yang menjadi tuan rumah dapat mempertingkatkan industri pelancongan khususnya dalam bidang pelancongan sukan. Pendek kata, setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah pasti memperoleh habuan yang berlipat ganda.

 

            Kemeriahan sukan menjadi penglahiran hati nurani setiap peserta dan harapan kepada seluruh warga dunia. Mereka membawa mesej perjuangan suci dan mengangkat martabat negara masing-masing di mata dunia. Dengan hal yang demikian, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa hendaklah jangan diganggu gugat oleh mana-mana tangan politik berpengaruh demi mempertahankan keamanan sejagat.

 

5. Peribahasa ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ menggambarkan bahawa semangat hidup bermasyarakat penting dalam kehidupan seharian.

 

Bancangkan manfaat semangat tersebut kepad masyarakat.

 

MAKLUMAN : Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)

 
sumber :  ttp://ishakmdshah.blogspot.com/

Tuesday, 23 October 2012

CATATAN HIDUP NO.8: KAWAN DAN KAWANAN



Sekarang ini saya cuba berjalan dan melata di bumi Tuhan secara sederhana.  Semua hal saya raikan secara sederhana.  Suka duka, tawa ria duka lara dan pelbagai macam bentuk perasaan saya raikan secara sederhana kerana semuanya adalah moment di ketika itu. Moment itu datang dan berlalu.  Tambahan pula ghairah saya terhadap dunia juga semakin mengendur. Itulah masalahnya bila kita belajar ilmu hakikat di usia muda. Kita akan semakin ke dalam.

Begitu jugalah dalam bab berkawan. Apabila kita bersikap sederhana, dapat kita perhatikan persepsi dan tanggapan manusia di sekeliling kita. Saya tiada masalah sebenarnya dengan pandangan orang lain kerana itu hak mereka. Yang penting kita saling menghormati antara sesama. Apabila kita kurang bertegur sapa, tanggapan yang paling mudah adalah kita seorang yang sombong, angkuh dan sebagainya. Ini adalah tanggapan level budak sekolah rendah bagi saya. Sifir dan kira-kiranya semudah sifir kosong, jika orang tidak menegur kita, apa salahnya kita menegurnya? Apabila kita juga tidak bertindak menegur, jadi tak perlulah kita melabelkan orang itu sombong kerana kita juga dua kali lima.

Ada dua situasi yang saya perhatikan apabila saya memilih jalan sebegini. Yang pertama, golongan yang tidak berkepentingan dan tiada politik. Saya sangat hormat golongan yang sebegini kerana tiada tembok pemisah antara kita dan mereka untuk bergaul. Walaupun kita tidak akrab, tapi apabila jarang-iarang bertemu, kita dapat bersembang dan berbual dengan nada yang biasa. Seperti yang saya ungkapkan tadi, wujudnya elemen penghormatan antara sesama. Situasi ini kita namakan kawan.

Golongan yang kedua pula saya gelarkan sebagai kawanan. Sifatnya persis kawanan haiwan atau binatang. Mereka-mereka ini mempunyai kepentingan dan suka berpolitik yang murahan. Bergerak dalam kelompok dan berbangga dengan kawanan mereka. Bila kita bersikap sederhana dan berkecuali maknanya kita terkeluar daripada kawanan mereka. Makanya akan wujudlah tembok antara kita dan kawanan mereka. Nak bertegur sapa pun susah. Mereka akan memandang kita sebagai sampah  kerana kita tidak penting bagi mereka. Bila dalam kawanan, dapat kita lihat sikap sebenar mereka, angkuh dan berlagak. Tapi bila sorang-sorang pengecut pula jadinya. Hahaha.

Bagi saya, saya telah mencapai klimaks dalam persahabatan. Saya telah lama dulu memahami makna apa itu kawan sejati. Itulah kelebihannya bila kita dilahirkan sebagai golongan marhein dan susah. Zaman-zaman rabel saya bersama kawan-kawan sejati adalah moment yang paling berharga dan tak terlupakan. Susah dan senang bersama. Sama-sama berlapar kerana tiada duit adalah hal yang membahagiakan bila saya kenang kembali walaupun dikala itu tuhan saja yang tahu rasanya. Bahkan saya lebih percaya kepada persahabatan berbanding saudara mara. Saudara mara saya ramai dan berharta, tapi tidak pernah menjenguk dan bertanya khabar.

Hari ini apa yang saya perhatikan adalah semuanya tentang kepentingan. Ada yang mencari pengaruh dan ingin meluaskan pengaruh. Ada yang baru bertapak dan menyertai kawanan berpengaruh untuk juga menjadi berpengaruh. Dan saya terus menjadi pemerhati yang setia selagi terdaya..

Wednesday, 17 October 2012

CATATAN HIDUP NO.7 : SEPERTI TALI GITAR


Saya sukakan subjek keseimbangan dalam meniti arus kehidupan. Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh mentor saya meor yusuf aziddin (meor pestajiwa) tentang keseimbangan. Meor merupakan seorang pemuzik jalanan atau dipanggil Buskers yang bergiat aktif di pasar seni (central Market) dan kini mendapat permit secara sah untuk busking di KL Sentral. Keseimbangan hidup itu diibaratkan oleh meor seperti tali gitar kerana beliau merupakan seorang pemain gitar.  Jadinya, tali gitar harus dalam kondsis yang sesuai iaitu keseimbangan untuk dimainkan. Jika terlalu tegang tali gitar mungkin akan putus. Jika tali gitar terlalu kendur pun, bunyinya akan sumbang.Begitulah kehidupan kita, musim beralih dan waktu terus berjalan. Kita akan melaui musim–musim tegang dan kendur, namun untuk mencapai keseimbangan itu sukar apabila kita meletakkan dunia sebagai subjek utama kita menjalani hidup.

Menjalani hidup secara kendur memang mendatangkan masalah. Kita diibaratkan sebagai hidup segan mati tak mahu, kerana keghairahan terhadap hidup adalah ditahap minimum. Tiada pencapaian yang diperoleh dalam hidup kerana kita tidak pernah mengimpikan pencapaian yang melibatkan materi mahupun pencapaian jiwa itu sendiri.  Kehidupan yang kendur sebegini bagi saya memang bermasalah kerana jika kita meninggalkan subjek dunia dan materi itu adalah bagus, namun jika kita mengabaikan pencapaian yang melibatkan jiwa bagi saya sesuatu yang merugikan,

Kita juga akan mengahadapi musim tegang dalam kehidupan kerana gelora nafsu dan terlalu beremosi dalam menjalani kehidupan. Keghairahan terhadap hidup dan keinginan kita untuk mencapai sesuatu dalam hidup biasanya akan membawa kita ke tahap tegang. Kita hanya melihat diri kita adalah yang terbaik dan memandang orang di persekitaran seperti sampah. Bila bercakap suara kitalah yang paling kuat, bila berdebat tak pernah mengaku kalah walaupun mungkin kita dipihak yang salah dan sebagainya. Apa yang tak bagus tentang ketegangan adalah apabila kita melihat sesuatu secara objektif dan kiraan matematik.
Yang terbaik untuk kehidupan adalah keseimbangan. Keseimbangan hidup akan datang bila kita mengenal diri, usul dan asal serta ke mana arah kita. Tiada lagi basa-basi apabila kita mencapai tahap keseimbangan dalam hidup. Hidup kita akan semakin rendang, redup dan ranum. Cat steven (yusuf islam) adalah contoh manusia terpilih yang melalui proses sebegini. Apabila cat steven mengisytiharkan dirinya sebagai islam, beliau meninggalkan petikan gitarnya, memakai jubah dan berjambang seperti orang arab. Apabila timbul pula kes Salaman rushdee yang menulis satanic verse, cat steven telah terperangkap kerana kefahaman beliau tentang agama yang pada ketika itu agak tegang. Namun hari ini kita lihat cat steven mencapai keseimbangan dalam hidupnya. Kembali bergitar dan menjadi dirinya yang sebenar.

Oleh itu keseimbangan adalah penting dalam hidup terutamanya apabila umur kita semakin meningkat. Apabila umur kita sudah lanjut, namun kita masih lagi terkejar-kejar dan bahagia dengan dunia, pangkat, materi,  pencapaian dan sebagainya itu bagi saya satu masalah. Walau bagaimanapun setiap manusia ada ceritanya yang tersendiri..