Saya
sukakan subjek keseimbangan dalam meniti arus kehidupan. Oleh itu, saya sangat
bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh mentor saya meor yusuf aziddin (meor
pestajiwa) tentang keseimbangan. Meor merupakan seorang pemuzik jalanan atau
dipanggil Buskers yang bergiat aktif di pasar seni (central Market) dan kini
mendapat permit secara sah untuk busking di KL Sentral. Keseimbangan hidup itu
diibaratkan oleh meor seperti tali gitar kerana beliau merupakan seorang pemain
gitar. Jadinya, tali gitar harus dalam
kondsis yang sesuai iaitu keseimbangan untuk dimainkan. Jika terlalu tegang
tali gitar mungkin akan putus. Jika tali gitar terlalu kendur pun, bunyinya
akan sumbang.Begitulah kehidupan kita, musim beralih dan waktu terus berjalan. Kita
akan melaui musim–musim tegang dan kendur, namun untuk mencapai keseimbangan
itu sukar apabila kita meletakkan dunia sebagai subjek utama kita menjalani
hidup.
Menjalani
hidup secara kendur memang mendatangkan masalah. Kita diibaratkan sebagai hidup
segan mati tak mahu, kerana keghairahan terhadap hidup adalah ditahap minimum. Tiada
pencapaian yang diperoleh dalam hidup kerana kita tidak pernah mengimpikan
pencapaian yang melibatkan materi mahupun pencapaian jiwa itu sendiri. Kehidupan yang kendur sebegini bagi saya
memang bermasalah kerana jika kita meninggalkan subjek dunia dan materi itu
adalah bagus, namun jika kita mengabaikan pencapaian yang melibatkan jiwa bagi
saya sesuatu yang merugikan,
Kita
juga akan mengahadapi musim tegang dalam kehidupan kerana gelora nafsu dan
terlalu beremosi dalam menjalani kehidupan. Keghairahan terhadap hidup dan
keinginan kita untuk mencapai sesuatu dalam hidup biasanya akan membawa kita ke
tahap tegang. Kita hanya melihat diri kita adalah yang terbaik dan memandang
orang di persekitaran seperti sampah. Bila bercakap suara kitalah yang paling
kuat, bila berdebat tak pernah mengaku kalah walaupun mungkin kita dipihak yang
salah dan sebagainya. Apa yang tak bagus tentang ketegangan adalah apabila kita
melihat sesuatu secara objektif dan kiraan matematik.
Yang
terbaik untuk kehidupan adalah keseimbangan. Keseimbangan hidup akan datang bila
kita mengenal diri, usul dan asal serta ke mana arah kita. Tiada lagi basa-basi
apabila kita mencapai tahap keseimbangan dalam hidup. Hidup kita akan semakin rendang,
redup dan ranum. Cat steven (yusuf islam) adalah contoh manusia terpilih yang
melalui proses sebegini. Apabila cat steven mengisytiharkan dirinya sebagai
islam, beliau meninggalkan petikan gitarnya, memakai jubah dan berjambang
seperti orang arab. Apabila timbul pula kes Salaman rushdee yang menulis
satanic verse, cat steven telah terperangkap kerana kefahaman beliau tentang
agama yang pada ketika itu agak tegang. Namun hari ini kita lihat cat steven
mencapai keseimbangan dalam hidupnya. Kembali bergitar dan menjadi dirinya yang
sebenar.
Oleh
itu keseimbangan adalah penting dalam hidup terutamanya apabila umur kita
semakin meningkat. Apabila umur kita sudah lanjut, namun kita masih lagi
terkejar-kejar dan bahagia dengan dunia, pangkat, materi, pencapaian dan sebagainya itu bagi saya satu
masalah. Walau bagaimanapun setiap manusia ada ceritanya yang tersendiri..