Tuesday, 23 October 2012

CATATAN HIDUP NO.8: KAWAN DAN KAWANAN



Sekarang ini saya cuba berjalan dan melata di bumi Tuhan secara sederhana.  Semua hal saya raikan secara sederhana.  Suka duka, tawa ria duka lara dan pelbagai macam bentuk perasaan saya raikan secara sederhana kerana semuanya adalah moment di ketika itu. Moment itu datang dan berlalu.  Tambahan pula ghairah saya terhadap dunia juga semakin mengendur. Itulah masalahnya bila kita belajar ilmu hakikat di usia muda. Kita akan semakin ke dalam.

Begitu jugalah dalam bab berkawan. Apabila kita bersikap sederhana, dapat kita perhatikan persepsi dan tanggapan manusia di sekeliling kita. Saya tiada masalah sebenarnya dengan pandangan orang lain kerana itu hak mereka. Yang penting kita saling menghormati antara sesama. Apabila kita kurang bertegur sapa, tanggapan yang paling mudah adalah kita seorang yang sombong, angkuh dan sebagainya. Ini adalah tanggapan level budak sekolah rendah bagi saya. Sifir dan kira-kiranya semudah sifir kosong, jika orang tidak menegur kita, apa salahnya kita menegurnya? Apabila kita juga tidak bertindak menegur, jadi tak perlulah kita melabelkan orang itu sombong kerana kita juga dua kali lima.

Ada dua situasi yang saya perhatikan apabila saya memilih jalan sebegini. Yang pertama, golongan yang tidak berkepentingan dan tiada politik. Saya sangat hormat golongan yang sebegini kerana tiada tembok pemisah antara kita dan mereka untuk bergaul. Walaupun kita tidak akrab, tapi apabila jarang-iarang bertemu, kita dapat bersembang dan berbual dengan nada yang biasa. Seperti yang saya ungkapkan tadi, wujudnya elemen penghormatan antara sesama. Situasi ini kita namakan kawan.

Golongan yang kedua pula saya gelarkan sebagai kawanan. Sifatnya persis kawanan haiwan atau binatang. Mereka-mereka ini mempunyai kepentingan dan suka berpolitik yang murahan. Bergerak dalam kelompok dan berbangga dengan kawanan mereka. Bila kita bersikap sederhana dan berkecuali maknanya kita terkeluar daripada kawanan mereka. Makanya akan wujudlah tembok antara kita dan kawanan mereka. Nak bertegur sapa pun susah. Mereka akan memandang kita sebagai sampah  kerana kita tidak penting bagi mereka. Bila dalam kawanan, dapat kita lihat sikap sebenar mereka, angkuh dan berlagak. Tapi bila sorang-sorang pengecut pula jadinya. Hahaha.

Bagi saya, saya telah mencapai klimaks dalam persahabatan. Saya telah lama dulu memahami makna apa itu kawan sejati. Itulah kelebihannya bila kita dilahirkan sebagai golongan marhein dan susah. Zaman-zaman rabel saya bersama kawan-kawan sejati adalah moment yang paling berharga dan tak terlupakan. Susah dan senang bersama. Sama-sama berlapar kerana tiada duit adalah hal yang membahagiakan bila saya kenang kembali walaupun dikala itu tuhan saja yang tahu rasanya. Bahkan saya lebih percaya kepada persahabatan berbanding saudara mara. Saudara mara saya ramai dan berharta, tapi tidak pernah menjenguk dan bertanya khabar.

Hari ini apa yang saya perhatikan adalah semuanya tentang kepentingan. Ada yang mencari pengaruh dan ingin meluaskan pengaruh. Ada yang baru bertapak dan menyertai kawanan berpengaruh untuk juga menjadi berpengaruh. Dan saya terus menjadi pemerhati yang setia selagi terdaya..