Monday 20 August 2012

CATATAN HIDUP NO.4: KITA YANG BERDOSA


Semua manusia adalah pelaku dosa. Kita bukan nabi yang maksum dan bebas daripada dosa. Pelbagai dosa yang telah dan akan kita lakukan kerana kita manusia. Cumanya kita dibekalkan panduan untuk menghindar segala macam dosa dan dugaan yang menjurus ke arahnya. Memang kita tidak boleh lari.

Manusia biasanya berdosa dalam dua keadaan. Dosanya dengan pencipta kerana meninggalkan suruhan mahupun melakukan larangan dan dosa kita sesama manusia. Jadinya kerana sifat rahman dan rahim Tuhan telah membuka peluang seluas-luasnya untuk kita manusia mensucikan diri.

Bulan Ramadhan- bulan rahmat yang memberi peluang kepada kita sebagai manusia mengabdikan diri kepada Tuhan dan memohon keampunan di atas segala kekhilafan dan kekurangan kita yang bersifat baharu ini. Kerananya kita adalah makhluk dan kita melanggar arahan pencipta, maka adalah wajib bagi kita memohon keampunanNya. Tiada hijab antara kita dan Tuhan dalam memohon keampunan. Jadi, rugilah bagi kita jika melepaskan peluang tersebut. Ramadhan sememangnya masa untuk kita mensuci dosa kita terhadap Tuhan

Bulan Syawal- yang kita namakan hari raya itu adalah hari kemenangan bagi kita dalam menjalani ibadat puasa. Peluang juga bagi kita untuk memohon keampunan sesama manusia. Segala dosa yang telah kita lakukan dengan sedar mahupun tidak antara kita sesama makhluk. Kerana kita adalah pelaku dosa, di hari raya kita memohon ampun daripada ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai dan manusia lainnya di sekeliling kita. Syawal sememangnya masa untuk kita mensuci dosa kita sesama makhluk.

Selamat hari raya, semoga kita terus diberi keampunan dan berjalan di bumi Tuhan dengan rahmatNya...