Saturday 11 August 2012

CATATAN HIDUP NO 3: BERTEMANKAN DIRI


Sudah 3 tahun saya berada jauh dari kampung halaman dan sudah 2 tahun saya tinggal keseorangan. Selepas rakan serumah berpindah balik ke semenanjung. Saya tak pernah mencari rakan untuk menyewa bersama walaupun ada yang berminat.  Jadinya, bila kita tinggal berseorangan dan kurang pula bergaul, kita ini dianggap sebagai kera sumbang  yang tak pandai bergaul dan anti-sosial. Itu pendapat biasa, bagi saya tak ada masalah.     

Bagi saya musim ini adalah musim pencarian. Pencarian yang tak nampak di mata mungkin. Bagi saya juga kita sebagai manusia memerlukan masa untuk dirinya sendiri. Sudah banyak ragam manusia yang saya temui dalam hidup. Yang membahagiakan, yang merimaskan, yang menyakitkan dan sebagainya. Itu kita tak boleh nafikan sifatnya seorang manusia. Jadinya sekarang ini saya memilih untuk bertemankan diri dan mencari keakuan.

Bila kita dikelilingi oleh pelbagai gelagat manusia. Ketidakadilan dan realiti hidup yang bermacam ini maka akan terdetiklah di hati dan fikiran kita tentang kewujudan dan keberadaan kita di sini (dunia). Seperti nabi junjungan kita Muhammad SAW yang berkhalwat di gua hiraq untuk mencari kebenaran dan pencerahan serta Gautama Buddha yang memilih untuk bertapa setelah melihat kehidupan rakyatnya. Maknanya di disini musim untuk kita bertemankan diri dan beruzlah dalam mengenal diri adalah perlu.

Apa yang penting di sini adalah apabila kita bertemankan diri tahap redha kita adalah tinggi. Kita tidak terlalu bergantung kepada makhluk. Ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. Kebergantungan saya kepada Allah buat masa ini adalah di tahap yang paling tinggi mungkin. Selain itu, kita juga banyak terhindar daripada dosa-dosa yang melibatkan kita sesama makhluk. Saya pun dapat rasakan bahawa saya banyak terhindar daripada dosa. Haha.

Tidak selamanya kita akan bersendirian walaupun saat kita menghadap kematian kelak kita tetap juga secara berseorangan. Begitu juga saya, tidak selamanya saya akan bersendirian begini. Akan tiba waktunya untuk saya keluar daripada dunia keakuan ini..

Kesimpulannya, marilah kita mencari lailatul qadar di bulan yang mulia ini..