Semua manusia adalah pelaku dosa. Kita
bukan nabi yang maksum dan bebas daripada dosa. Pelbagai dosa yang telah dan
akan kita lakukan kerana kita manusia. Cumanya kita dibekalkan panduan untuk
menghindar segala macam dosa dan dugaan yang menjurus ke arahnya. Memang kita
tidak boleh lari.
Manusia biasanya berdosa dalam dua
keadaan. Dosanya dengan pencipta kerana meninggalkan suruhan mahupun melakukan
larangan dan dosa kita sesama manusia. Jadinya kerana sifat rahman dan rahim
Tuhan telah membuka peluang seluas-luasnya untuk kita manusia mensucikan diri.
Bulan Ramadhan- bulan rahmat yang
memberi peluang kepada kita sebagai manusia mengabdikan diri kepada Tuhan dan
memohon keampunan di atas segala kekhilafan dan kekurangan kita yang bersifat
baharu ini. Kerananya kita adalah makhluk dan kita melanggar arahan pencipta,
maka adalah wajib bagi kita memohon keampunanNya. Tiada hijab antara kita dan
Tuhan dalam memohon keampunan. Jadi, rugilah bagi kita jika melepaskan peluang
tersebut. Ramadhan sememangnya masa untuk kita mensuci dosa kita terhadap Tuhan
Bulan Syawal- yang kita namakan hari
raya itu adalah hari kemenangan bagi kita dalam menjalani ibadat puasa. Peluang
juga bagi kita untuk memohon keampunan sesama manusia. Segala dosa yang telah
kita lakukan dengan sedar mahupun tidak antara kita sesama makhluk. Kerana kita
adalah pelaku dosa, di hari raya kita memohon ampun daripada ibu bapa, sanak
saudara dan sahabat handai dan manusia lainnya di sekeliling kita. Syawal sememangnya
masa untuk kita mensuci dosa kita sesama makhluk.
Selamat hari raya, semoga kita terus
diberi keampunan dan berjalan di bumi Tuhan dengan rahmatNya...