BAHAGIAN A (30 MARKAH)
BARANGAN BUATAN MALAYSIA: KEBAIKAN MEMBELI BARANGAN
BUATAN MALAYSIA
Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda
tentang kebaikan membeli barangan buatan tempatan. Panjangnya huraian
hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan
Sejajar
dengan landaan gelombang globalisasi dengan pelbagai corak, roda pembangunan
telah bergerak pantas bagai lipas kudung di nusa tercinta ini sehingga
mengalami anjakan paradigma ke arah menggapai hasrat sebagai negara maju.
Namun, di sebalik kemajuan tanah tumpah darah ini, terdapat lakaran suram yang
terpahat di negara kita iaitu rakyat jelata Malaysia sentiasa mengagung-agungkan
barangan import sehingga dapat menafikan kualiti barangan buatan tempatan yang
sebenarnya mampu bertanding dan bersaing dengan barangan import bak
peribahasa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi. Pada hemat saya, anak
watan Malaysia seyogianya mengikis sikap buruk ini sebaliknya mengubah
stigma supaya menyokong dan membeli barangan buatan tempatan. Hal ini
kerana kita sebagai rakyat Malaysia akan menerima pelbagai kebaikan dan faedah bagai
menyelam sambil minum air sekiranya kita membeli barangan buatan Malaysia. Persoalannya,
apakah kemaslahatan dan faedah yang diundang dengan menyokong barangan buatan
tempatan?
Pada
realitinya, memang tidak dapat dinafikan oleh sesiapa pun bahawa kita dapat
menjimatkan perbelanjaan keluarga dengan membeli barangan buatan
Malaysia. Sebagaimana yang kita ketahui, barangan import lazimnya lebih mahal
daripada barangan buatan tempatan sedangkan barangan buatan Malaysia turut
mempunyai kualiti yang baik malahan lebih bermutu tinggi daripada barangan
import. Sebagai contoh yang paling ketara, kasut buatan Malaysia yang berjenama
Bata telah mendapat anugerah kasut paling berkualiti di persada antarabangsa
semasa bertanding di pasaran kasut di Itali. Sememangnya, hal ini jelas
memanifestasikan bahawa barangan buatan tempatan bukan sahaja lebih murah
harganya tetapi mempunyai jaminan dari kualiti barangan, Secara tidak langsung,
kita dapat menjulang nama negara Malaysia ke puncak jagat sekali gus
meningkatkan imej negara. Di samping itu, dengan harga yang lebih murah,
anggota masyarakat dapat menjimatkan kos dan perbelanjaan semasa membeli
barangan buatan Malaysia.
Tidak
ketinggalan juga, sesuatu hakikat yang tidak boleh dikesampingkan ialah semangat
patriotisme yang tinggi dapat disemai dalam sanubari masyarakat
sekiranya sikap sering mengagung-aguungkan barangan buatan tempatan yang luhur
ini dipupuk dalam kalangan anak watan Malaysia. Mengapakah dikatakan demikian?
Pada zaman serba moden yang penuh dan sarat dengan ranjau, onak dan duri ini,
rakyat Malaysia khususnya golongan remaja mempunyai semangat cinta akan negara
yang tipis bak senipis kulit bawang lantaran itu mereka tidak mengambil berat
tentang perkara dan isu semasa yang berkaitan dengan ibu pertiwi. Malahan
terlalu banyak barangan import telah membanjiri pasaran tempatan saban tahun.
Oleh hal yang demikian, dengan menggalakkan angkatan muda membeli barangan
buatan tempatan sejak kecil lagi, tentulah mereka dapat menyedari bahawa
sebenarnya “Malaysia Boleh” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri kita
bukanlah sesuatu yang sia-sia sahaja persis kata-kata mutiara “kalau masih
rebung, mudah dipatahkan, kalau sudah betung, tidak terpatah lagi.”
Tegasnya, semangat patriotisme yang kuat dan mendalam dapat dipupuk dalam
kalangan masyarakat Malaysia.
Sesungguhnya,
seperti yang dikatakan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia yang keempat, Tun
Dr. Mahathir Mohamad, “membeli barangan buatan tempatan merupakan teras
kejayaan Malaysia menggapai lonjakan masa depan dalam bidang industri.”
Kata-kata hikmat tersebut jelas menunjukkan bahawa sememangnya industri
tempatan negara kita dapat berkembang maju dengan menggalakkan rakyat
jelata membeli barangan buatan Malaysia. Walaupun pelbagai barangan import yang
terkenal di seantero dunia telah membanjiri pasaran tempatan, namun
produktiviti dan pengeluaran barangan tempatan yang bermutu tinggi juga tidak
kurang daripadanya. Hal ini dapat merangsang perkembangan industri tempatan
untuk bersaing dengan barangan import. Peningkatan dalam pembelian barangan
buatan tempatan dapat membantu merancakkan industri tempatan secara tidak
langsung. Deduksinya, kita dapat memajukan industri tempatan supaya dapat
mencapai aspirasi negara menjadi negara industri.
Sebagai
penghias penutup bicara, sudah terang lagi bersuluh bahawa membeli
barangan buatan tempatan dapat mengundang pelbagai kemaslahatan dan kebaikan
kepada seluruh strata masyarakat bak peribahasa “bagai serampang dua mata”
dan “bagai makan menanak nasi.” Oleh hal yang demikian, segenap lapisan
masyarakat mestilah berganding bahu dan berikhtiar bertungkus lumus untuk
menyokong dan membeli barangan buatan Malaysia supaya dapat merealisasikan
Wawasan 2020 yang telah diidam-idamkan selama ini. Wahai, anak watan Malaysia,
sahutlah cabaran dan hadapilah dengan semangat habis kapak berganti beliung
untuk menunaikan impian nusa tercinta ini ke arah cemerlang, gemilang dan
terbilang! Malaysia Boleh!
SUMBER
http://zaizak69.blogspot.com/2011/09/karangan-cemerlang-bahagian-percubaan.html