RUMUSAN (30 MARKAH)
Baca petikan yang diberi di bawah,
kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor
yang menyebabkan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing dan kesan-kesannya. Panjang rumusan
tidak boleh lebih 120 patah perkataan.
Kebanyakan
media menganggarkan jumlah pekerja asing di negara kita telah melebihi dua
juta orang. Daripada jumlah tersebut, sebahagian besarnya pula adalah
bertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru.
Kebanyakan daripada mereka adalah pendatang asing yang datang dari negara
jiran seperti Indonesia, Myanmar, Bangladesh dan Nepal. Tumpuan mereka adalah
dalam sektor pembinaan, perindustrian, perladangan dan pembantu rumah.
Kedatangan golongan ini sedikit sebanyak telah memberi kesan negatif
khususnya dalam segi pekerjaan penduduk tempatan dan pembangunan negara.
Sebab utama mereka bertumpu ke negara kita adalah untuk mendapatkan peluang
pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di negara asal mereka.
Selain itu,
matlamat utama mereka bertumpu ke Malaysia adalah disebabkan banyak pekerjaan
yang terdapat di sini memberi pendapatan yang tinggi. Rata-rata golongan ini
mampu memperoleh pendapatan sehingga ribuan ringgit sebulan. Daripada jumlah
tersebut, sebahagian besarnya akan dikirimkan kepada keluarga mereka yang
menetap di negara asal. Ini ditambah pula dengan keadaan negara kita yang
aman dan makmur, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Hal ini amat
berbeza sekali dengan keadaan di negara asal mereka seperti Indonesia, Bangladesh
dan Nepal yang kerap berlaku pergolakan politik dan peperangan. Justeru,
walaupun banyak usaha yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia untuk mengekang
kebanjiran pendatang asing ini, namun jumlah mereka semakin bertambah.
Selain faktor
di atas, kebanjiran penatang asing di negara kita turut disebabkan oleh
permintaan yang tinggi terhadap buruh asing dari luar negeri oleh majikan di
Malaysia. Hal ini kerana pendatang asing sanggup menerima upah yang lebih
rendah berbanding dengan buruh tempatan. Keadaan ini ditembah pula oleh sikap
pekerja tempatan yang lebih gemar memilih pekerjaan dengan gaji yang tinggi.
Lebih menyulitkan keadaan, ada pihak di negara kita yang memberi perlindungan
kepada pekerja asing sehingga menggalakkan mereka bertumpu di Malaysia. Ini
menyebabkan pendatang asing berasa selamat bekerja di sini walaupun
sebahagiannya tidak memiliki permit. Sikap negatif penduduk tempatan ini
telah banyak menyebabkan operasi membanteras pekerja asing tanpa permit
menemui kegagalan.
Memandangkan Malaysia merupakan
sebuah negara yang dikelilingi oleh lautan, keadaan pantainya yang terlalu
luas menyebabkan kawalan daripada pihak berkuasa menjadi terhad. Sebagai
contohnya, sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia menjadi kawasan
pendaratan pekerja asing tanpa permit untuk bekerja di Malaysia. Tambah
merumitkan keadaan, jabatan yang ditugaskan untuk mengawal kebanjiran pekerja
asing itu masih mengalami kekurangan penguatkuasa bagi menjalankan rondaan
dan serbuan. Situasi ini telah menyebabkan ramai pekerja asing yang memasuki
negara kita secara tidak sah, bebas tanpa berjaya dikesan. Kebanyakan rondaan
yang dilakukan gagal menemui pekerja asing tersebut yang sebahagian besarnya
menjadikan Selat Melaka sebagai laluan yang selamat untuk ke negara kita.
Oleh sebab
jumlah mereka yang terlalu ramai telah memberi kesan yang amat parah,
penguatkuasaan perlulah lebih kerap dilakukan. Untuk tujuan tersebut,
kerajaan turut menggunakan tenaga RELA bagi menjalankan rondaan dan tangkapan
terhadap pekerja asing tanpa permit. Mereka yang ditangkap akan ditempatkan
di pusat-pusat tahanan sebelum didakwa dan dihantar pulang ke negara asal
mereka. Usaha ini bukan sahaja memerlukan kos yang tinggi malah merugikan
negara.
|
Contoh Jawapan Rumusan:
Petikan membincangkan sebab-sebab yang mendorong Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing.
Antaranya adalah disebabkan peluang pekerjaan yang lebih baik berbanding dengan di
negara asal. Selain itu kerana
banyak pekerjaan di sini memberi pendapatan yang tinggi. Di samping itu, negara kita yang
aman, telah menggalakkan mereka bertumpu ke Malaysia. Seterusnya ialah kerana permintaan yang tinggi terhadap buruh
asing oleh majikan di Malaysia. Bukan
itu sahaja, ada pihak di negara kita memberi perlindungan kepada pekerja
asing. Faktor terakhir adalah kerana
pantai Malaysia yang panjang telah menyukarkan pemantauan pekerja asing
dilaksanakan.
Antara kesan kemasukan pekerja asing adalah menyebabkan peluang pekerjaan penduduk tempatan semakin terbatas.
Selain itu, jenayah membabitkan golongan
ini semakin berleluasa.
Kesimpulannya, pihak
kerajaan harus mengambil
tindakan tegas agar jumlah
pekerja asing dapat dikurangkan.
(120 patah perkataan)
PEMARKAHAN
Pendahuluan : 2 Markah
Isi Tersurat: 6 Isi X 2Markah = 12MarkahIsi Tersirat: 2 Isi X 2Markah=4 Markah
Penutup: 2 Markah
Bahasa: 10 Markah