Friday 26 October 2012

KARABGAN NO 10: PERCUBAAN SPM PERAK


PERAK

 

1. Setiap ibu bapa mengharapkan ana-anak berjaya dalam kehidupan.

 

Bincangkan usaha-usaha yang wajar anda lakukan untuk memastikan harapan mereka menjadi kenyataan.

 

Pendahuluan : Anak-anak ialah cahaya mata yang menjadi buah hati pengarang jantung kepada kedua-dua ibu dan ayah. Dengan kelahiran seseorang anak, kehidupan ibu dan bapa menjadi lengkap dan sempurna. Apatah lagi apabila anak yang dilahirkan dapat membesar dengan sempurna serta menjadi insan yang berguna. Sebagai anak-anak yang menjadi harapan ibu bapa, mereka hendaklah bersedia untuk menggalas harapan ibu bapa yang tinggi menggunung. Elakkan daripada menjadi anak-anak yang membawa masalah kepada ibu bapa kerana dosa yang paling besar ialah menderhakai ibu bapa. Oleh yang demikian, setiap anak dituntut membuat persediaan sama ada mental, fizikal dan sahsiah yang baik agar harapan ibu bapa terutama apabila menjelang usia emas mereka tidak dikecewakan.

 

Isi 1 : Menjadi anak yang patuh dan taat kepada perintah Allah SWT – insan yang bertakwa sentiasa melakukan kerja-kerja yang baik seperti menghormati ibu bapa – tidak melakukan kerja-kerja yang terkutuk yang boleh menjejaskan maruah ibu bapa

 

Isi 2 : Menjadi anak yang luhur pekerti dan bermoral tinggi – pekerti dan moral menjadi piawai seseorang itu dipandang mulia – tidak mudah terjebak dalam angkara yang merosakkan masa depan – menjadi imej (pancaran) hati nurani ibu bapa

 

Isi 3 : Berusaha dengan gigih demi jaminan masa depan – mengisi dada dengan ilmu, mempelajari pelbagai kemahiran sebagai jaminan memperoleh kerjaya yang baik – bercita-cita membalas budi ibu bapa

 

Isi 4 : Menjalinkan hubungan mesra dan mawaddah dengan adik-beradik dan kaum keluarga – mewujudkan keluarga harmoni – membantu dengan ikhlas tanpa mengira aspek material mahupun moral

 

Isi 5 : Bercita-cita menjaga ibu bapa apabila tiba saat-saat akhir mereka – maksud daripada firman Allah, “Akan gugur dosa seseorang anak apabila dia dengan ikhlas menjaga ibu dan bapanya hingga ke akhir hayat” - tindakan membalas budi ibu bapa yang amat besar nilainya di sisi Tuhan.

 

Kesimpulan : Meminjam kata-kata daripada orang-orang lama bahawa, betapa kasihnya seseorang ibu kepada anaknya hatta seekor lalat pun tidak dibenarkan hinggap ke tubuh si anak. Demikianlah pengorbanan besar ibu bapa terhadap seseorang anak. Oleh itu, sikap yang sama wajar dikembalikan oleh anak-anak terhadap kedua-dua ibu bapa. Jasa ibu bapa yang melahirkan dan membesarkan anak-anak tidak terbalas walaupun galang gantinya sebatang sungai emas sekalipun. Dengan hal yang demikian, bersedialah untuk menjadi seorang anak yang boleh diharapkan oleh ibu bapa sebagai tempat mereka bergantung.

 

 

2. Minat bersukan dalam kalangan remaja pada hari ini semakin berkurangan.

 

Huraikan peranan pelbagai pihak untuk memupuk minat bersukan dalam kalangan remaja.

*MAKLUMAN : Lazimnya soalan no 2 berkaitan dengan keluarga

 

Pendahuluan : Kehidupan dalam usia remaja ialah masa yang paling menarik, seronok, asyik, cergas dan pantas. Bak kata orang, “Orang muda, ke mana-mana tiada yang terlarang”. Hakikatnya usia remaja adalah tempoh yang perlu diisikan dengan segala kegiatan meliputi rohani dan jasmani. Dalam konteks jasmani, pelbagai kegiatan lasak dan aktiviti sukan telah diwujudkan untuk merangsangkan minat remaja supaya bergiat aktif. Program 1 Murid 1 Sukan yang turut menjadi gagasan Kementerian Pelajaran Malaysia adalah untuk matlamat yang sama. Walau bagaimanapun, anjakan global yang dikuasakan oleh teknologi khususnya teknologi maklumat turut ‘mencuri’ minat remaja agar melupakan kegiatan sukan. Situasi pada petang hari bagaikan sunyi dan lengang kerana ketiadaan remaja di padang seperti yang dapat dilihat dalam dekad-dekad silam. Oleh itu, demi mengembalikan tradisi cergas yang telah berakar umbi sejak zaman-berzaman, semua pihak sama ada kerajaan, komuniti, ibu bapa mahu pun remaja sendiri hendklah mengambil langkah inisiatif untuk mempopularkannya semula.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Remaja hendaklah bijak membahagikan masa mengikut kehendak biologi, mental, fizikal, dan emosi – mesti memperuntukkan masa walaupun sekejap untuk bersukan dan beriadah – memperoleh keseimbangan fizikal sempurna dan merangsangkan minda yang cerdas

 

Isi 2 : Ibu bapa tidak boleh terlalu mendesak anak-anak supaya memberi fokus 100 peratus kepada belajar – beri ruang yang cukup untuk anak-anak bersukan – berikan galakan untuk bersukan

 

Isi 3 : Masyarakat hendaklah turut terlibat aktif dalam kegiatan sukan – trend minat menonton perlawanan seperti bola sepak hendaklah diseimbangkan dengan penglibtan langsung dalam bersukan – remaja turut terangsang dengan apa-apa jua kegiatan yang hidup dalam masyarakat

 

Isi 4 : Pihak sekolah hendaklah menyeimbangkan antara kegiatan akademik dan riadah/sukan – tidak boleh berat sebelah dengan menjadikan aktiviti sukan sekadar melengkapkan takwim persekolahan

 

Isi 5 : Pihak kerajaan hendaklah lebih pragmatik dalam memberi pengiktirafan antara sukan dan akademik – markah 10 peratus kokurikulum untuk prasyarat ke IPT adalah tidak wajar kerana boleh menjejaskan minat pelajar berbakat untuk bergiat aktif dalam aktiviti yang bercorak kesukanan

 

Kesimpulan : Dalam usaha melahirkan generasi akan datang yang lebih trampil dan berdaya saing, kecemerlangan yang seimbang antara fizikal, mental, dan emosi hendaklah diuruskan secara sama rata. Seandainya kalangan akademik dan teknokrat sentiasa dijulang sebagai negarawan, maka tidak adil hanya Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol dan Pandalela saja yang dilihat sebagai tokoh utama dalam arena sukan. Oleh itu, semua pihak hendaklah mengiktiraf bahawa sukan juga mampu menjadi wadah menjulang imej negara.

 

3. Kerajaan menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan barangan buatan tempatan.

 

Huraikan kebaikan-kebaikan menggunakan barangan buatan tempatan.

 

Pendahuluan : Peribahasa yang menyatakan ‘hujan emas di negari orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baiklah di negeri sendiri’ mengajarkan kita betapa pentingnya menghargai dan membanggakan apa-apa jua yang menjadi milik kita. Dalam konteks ini, kempen belilah barangan buatan tempatan adalah menjadi wahana penting untuk dihayati dan seterusnya mendapat sambutan tidak berbelah bahagi oleh masyarakat. Kempen dan galakan ini menjadi inisiatif utama kerajaan untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara yang dipacukan oleh aliran tunai domestik. Sementara itu, dalam beberapa perspektif yang lain, galakan ini turut memberikan impak yang positif kepada masyarakat pengguna dan meningkatkan perkembangan ekonomi negara amnya.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Membantu mempercepat pertumbuhan dana dalam negara – menyokong pertumbuan Keluaran Dalam Negara Kasar di samping memberi kesan kepada meningkatnya pendapatan perkapita penduduk – dengan kata lain masyarakat memiliki tukaran yang cukup

 

Isi 2 : Menyekat aliran tunai ke luar negara – kecairan tunai (modal) hanya berlegar dalam pasaran tempatan – kini, sudah melebihi RM20 bilion wang mengalir keluar kerana mengimport barang-barang makanan – aliran keluar meningkat berlipat ganda sekiranya barangan aksesori, pakaian, peralatan mesin dan jentera yang terpaksa diimport

 

Isi 3 : Menyokong kreativiti anak-anak tempatan dalam sektor perniagaan – membantu mempercepat pertumbuhan sektor PKS (Perusahaan Kecil dan Sederhana) – pembelian yang meningkat boleh mendorong pengusaha melipatgandakan keluaran di samping kualiti yang turut meningkat

 

Isi 4 : Membantu merancakkan sektor perniagaan –perniagaan berkembang dengan lebih pantas apabila pasaran aktif

 

Isi 5 : Pengguna memperoleh barangan yang relatifnya lebih murah dengan kualitinya yang setaraf – murah kerana kos produk yang lebih rendah dan berkualiti kerana pemproesan menggunakan teknologi moden dengan piawai ISO 9200

 

Kesimpulan : Daripada peribahasa, jauh-jauh seluang melaut akhirnya baliklah ke muara membuktikan bahawa, selama-lama mana pun kita berbangga dengan kelebihan orang lain, namun tidaklah lama kerana akan balik juga kepada asal usul. Hal yang demikian samalah sifatnya apabila kita kesudahannya akan balik kepada cita rasa sendiri walaupun zahirnya sangat berbangga dengan barangan asing. Seyogia berilah sokongan yang tidak bergelah bahagi terhadap galakan membeli barangan tempatan.

 

MAKLUMAN : Sekiranya soalan berfokuskan isi jawapan tentang langkah-langkah sila rujuk sampel rangka isi di bawah (Ihsan daripada Modul saya Edisi 2012, ms 29)

 

“Barangan Tempatan Berkualiti Antarabangsa” ialah slogan kerajaan ke arah mencapai standard kualiti antarabangsa.

 

Bincangkan langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh usahawan tempatan supaya hasrat ini menjadi realiti.

 

Pendahuluan : Budaya pemikiran kelas pertama, minda berkelas dunia, dan pelbagai slogan yang bersifat global mula berkumandang di persada negara. Hakikatnya dalam arus globalisasi kini, rakyat Malaysia wajarlah mengorak langkah serta bangkit untuk mengimbangi perubahan pantas dunia dalam pelbagai bidang. Bermula daripada cara berfikir, gaya bertindak, berkomunikasi dan seterusnya penghasilan produk, kita sewajarnya mampu bersaing dengan negara-negara maju di dunia. Oleh itu, dalam bidang pengeluaran juga, kita hendaklah mampu menghasilkan barangan tempatan yang mampu mencapai klasifikasi dunia. Keupayaan mencapai kualiti antarabangsa sudah semestinya memberi kita ruang untuk bersaing dalam pasaran global. Oleh hal yang demikian, sudah sampailah masanya, para pedagang kita menganjak minda dan usaha untuk menghasilkan barangan tempatan yang mencapai piawai “Barangan Tempatan Berkualiti Antarabangsa”

 

Isi 1 : Pengusaha hendaklah sentiasa mengadakan R&D (Penyelidikan dan Pembangunan) terhadap hasil keluaran mereka - mencari pembaharuan dan penambahbaikan produk - agar produk negara boleh mencapai piawai internasional untuk bersaing di pasaran antarabangsa

 

Isi 2 : Pengusaha hendaklah berusaha memperoleh penarafan keluaran antarabangsa melalui penarafan ISO 9004 - semua barangan keluaran negara berjaya menembusi pasaran global tanpa sebarang sekatan - memenuhi semua standard pengeluaran yang ditetapkan oleh negara maju

 

Isi 3 : Bekerjasama dengan pihak kerajaan dalam usaha mencapai standard mutu keluaran Malaysia - merealisasikan jenama Malaysia Best seperti yang dilancarkan oleh Kementerian Pertanian dan Asas Tani - mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum sesuatu keluaran itu dieksport ke luar negara - memastikan hasil keluaran halal dalam usaha merealisasikan hub halal antarabangsa

 

Isi 4 : Mengawal mutu keluaran bermula dari peringkat awal hingga barang siap - kawalan dalam aspek ketulenan, kualiti, ketahanan, penggredan dan kebersihan - membolehkan barangan keluaran negara menjadi buruan pelanggan sama ada dalam negara mahupun luar negara

 

Isi 5 : Mengadakan teknik pembungkusan, pelabelan, penjemaan yang boleh diterima di peringkat antarabangsa - meyakinkan pengguna tentang kandungan produk - barangan lebih bermutu dan tahan lama

 

Isi 6 : Mewujudkan rakan kongsi strategik di peringkat antarabangsa - untuk memperoleh pemindahan teknologi dan mempertingkatkan mutu keluaran - dapat bersaing dengan keluaran lain di pasaran antarabangsa - dapat merancang pasaran yang strategik di negara-negara maju (Eropah, Timur Tengah, dan Amerika)

 

Kesimpulan : Sesungguhnya rakyat Malaysia bukanlah tidak mampu bersaing di persada global. Beberapa jenama Malaysia yang telah mula menguasai pasaran antarabangsa seperti barangan elektrik membuktikan bahawa slogan ‘Malaysia Boleh’ berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Oleh itu, inilah masa yang terbaik untuk para pengeluar tempatan mempertingkatkan daya saing mereka.

 

 

4. Malaysia berpotensi untuk menjadi destinasi pelancongan yang terkenal di rantau ini. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, ‘Usaha-usaha Menarik Minat Pelancong Asing Datang ke Malaysia’.

 

Tulis rencana itu selengkapnya.

 

Pendahuluan : Berdasarkan rekod sejarah, rantau Asia Tenggara khususnya Semenanjung Tanah Melayu pernah dijejaki oleh masyarakat antarabangsa sejak ribuan tahun dahulu. Gelaran Semenanjung Emas kepada Tanah Melayu turut mengangkat imej bumi bertuah ini di persada antarabangsa sejak berkurun-kurun lamanya. Walaupun kunjungan masyarakat asing ke rantau ini pada era prapenjajahan bukan atas misi pelancongan, namun jelas sekali, bahawa bumi kita amat dikenali oleh masyarakat antarabangsa. Kelayakan tersebut adalah bersandarkan kekayaan hasil mahsulnya, letak geografinya malah keindahannya sentiasa menggamit pengunjung. Walau bagaimanapun, pada era pascamilenium ini, saingan sengit daripada seluruh rantau, Malaysia telah jatuh ke tangga kesembilan daripada sepuluh negara yang sering dikunjungi di dunia. Oleh itu, langkah strategik dan proaktif hendaklah digemblengkan demi menarik kembali minat pelancong asing datang ke Malaysia.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Memperkasakan potensi tradisional yang sejak lama dimiliki oleh Malaysia – mengembalikan imej daya tarikan ekonya – (hutan rimba, lautan dan sumber marina, gunung-ganang, sungai dan tasik)

 

Isi 2 : Merancakkan lagi promosi dan kempen tentang gahnya Malaysia dalam aspek sajian makanan – Malaysia amat terkenal sebagai hub makanan internasional dalam pelbagai cita rasa sesuai dengan pemajmukan masyarakatnya

 

Isi 3 : Mengangkat ciri-ciri unik kepelbagaian etnik dengan adat dan budaya – pelancong asing lebih berminat melihat dan merasai keunikan cara hidup sesuatu kaum – kunjungan lebih ramai pelancong Barat ke Sabah dan Sarawak sebagai bukti

 

Isi 4 : Melipatgandakan promosi ‘menjualkan nama Malaysia’ dalam program tarikan pelancong secara agresif ke luar negara – perlu dijalankan secara berterusan (tidak sepatutnya ada kempen dalam tempoh tertentu seperti Tahun Melawat Malaysia/negeri tertentu dalam satu-satu masa) – negara-negara maju mengadakan promosi sepanjang masa – promosi dilaksanakan oleh agensi kerajaan, swasta, syarikat penerbangan dan pelajar-pelajar Malaysia di luar negara

 

Isi 5 : Sokongan daripada pihak swasta – kejayaan sesuatu produk/perniagaan berkait rapat dengan sektor pelancongan – kerajaan perlu mendapat kerjasama daripada pihak swasta dalam semua usaha menarik kunjungan pelancong

 

Kesimpulan : Sesungguhnya, keinginan untuk berprawisata dan memperluas pandangan serta minda telah tertanam dalam minda manusia sejak zaman awal lagi. Oleh itu, mana-mana negara dan kerajaan yang mengambil peluang merancakkan program pelancongan sebagai agenda ekonomi negara sudah pasti memperoleh keuntungan. Atas potensi dan kelebihan yang ada, Malaysia sewajarnya merebut peluang yang sudah terhidang.

 

 

5. Perwatakan utama dalam sebuah novel yang telah anda baca banyak mengandungi keistimewaan yang boleh dijadikan panduan dalam kehidupan.

 

Bincangkan.

 

 
http://ishakmdshah.blogspot.com/