Friday 26 October 2012

KARANGAN NO 7: PERCUBAAN SPM SELANGOR


SELANGOR

 

1. Keluarga, rakan sebaya, dan pendidikan agama dan moral memainkan peranan penting dalam kehidupan seseorang remaja.

 

Berikan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

 

Pendahuluan : Setiap orang pasti berkata, “Saya ada prinsip sendiri dalam membuat sebarang keputusan”. Prinsip merupakan lambang kepada personaliti seseorang untuk membolehkan ia dihormati. Prinsip pula sering dikaitkan dengan upaya individu itu mempertahankan nilai-nilai peribadi yang terbentuk daripada asuhan keluarga, pemilihan rakan sebaya, dan pendidikan agama serta moral yang dipegang dengan kuat. Kuat atau lemah jati diri seseorang adalah bergantung sama ada kuat atau lemah ia berpegang kepada formula intipati peribadi seperti yang tersebut.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Keluarga sebagai bayangan peribadi seseorang – kaitan dengan peribahasa, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau – kalau asal keluarga yang baik nescaya individu berkenaan pun akan baik

 

Isi 2 : Rakan sebaya menjadi alam atau habitat yang membentuk individu – prinsip hidup amat berkait rapat dengan falsafah atau anutan kelompok (kawan-kawan) yang digauli – peribahasa, apabila kamu bersahabat dengan penjual minyak wangi nescaya aroma kasturinya akan mengenaimu, sebaliknya apabila bersahabat dengan tukang besi nescaya tengik besi akan melekat pada dirimu

 

Isi 3 : Pendidikan sebagai agen pengubah personaliti dan hala tuju manusia – pendidikan memiliki kuasa dan tangan ghaib yang dapat mengubah seseorang daripada buruk kepada yang lebih atau sebaliknya

 

Isi 4 : Agama sebagai enjin atau kuasa dalaman yang menggerakkan individu menjadi insan yang sempurna – menjadi pelengkap, pengemas, dan penyantun individu – agama menjadi pengawal peribadi yang terus menghubungkan manusia dengan kuasa khaliq (Tuhan) – insan lebih terikat dengan pelbagai doktrin (peraturan) apabila agamanya mantap

 

Isi 5 : Moral menjadi alat penyantun manusia – nilai peribadi manusia terserlah dengan sendirinya oleh tinggi atau rendah nilai moral yang dianutinya – moral banyak membentuk manusia menghayati nilai-nilai murni keinsanan

 

Kesimpulan : Peribahasa yang menyatakan, dari telaga yang jernih, takkan mengalir air yang keruh menerangkan bahawa, sifat peribadi dan hati nurani yang baik tidak lahir pekerti yang keji. Oleh itu, pancaran hati nurani sudah pasti lahir daripada prinsip yang dibina oleh nilai-nilai teras seperti keluarga, rakan sebaya, dan pendidikan agama dan moral

 

 

2. Kebanyakan anak hari ini berdepan dengan pelbagai masalah. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbar tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah “Peranan Keluarga dalam Membantu Anak-anak Mengatasi Masalah”.

 

Tulis rencana itu selengkapnya.

 

MAKLUMAN : Soalan ini mempunyai persamaan dengan soalan 2 negeri Pahang. Sila rujuk

 

 

3. Penggunaan telefon bimbit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin popular kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.

 

Huraikan kesan-kesan penggunaan telefon bimbit kepada masyarakat.

 

Pendahuluan : Pada hari ini seseorang ibu dengan segera dapat menghilangkan rasa rindu terhadap anak kesayangan yang tinggal berjauhan ribuan kilometer. Demikian pula seorang kekasih dapat melampiaskan rawan hiba kepada yang tersayang dengan saling menyatakan janji setia dan menyulam kasih. Malahan kuasa maklumat kini mampu diterjemahkan dalam bentuk audio dan visual melalui perantara teknologi 3G. Sebenarnya, semua peranti tersebut dikuasakan oleh teknologi telefon bimbit yang amat canggih dan mampu bergerak seiring dengan kemajuan teknologi siber. Oleh itu, kewujudan telefon bimbit bukan lagi sebagai lambang gaya hidup, malahan menjadi kemestian kepada setiap individu. Kewujudannya walaupun dianggap sebagai suatu rahmat dalam gaya hidup era milenium, namum tetap memberikan pelbagai impak kepada masyarakat.

 

 

 

Isi-isi penting :

 

Positif :

Isi 1 : Membentuk transformasi gaya hidup yang lebih moden dan sofistikated – keperluan terhadap teknologi semakin bertambah dan urusan harian semakin mudah

 

Isi 2 : Mempercepat sistem komunikasi dan menyampaikan maklumat yang tepat – kejayaan yang amat luar biasa dalam revolusi teknologi maklumat – kata-kata ‘dunia semakin sempit’ amat bertepatan dengan kewujudan telefon bimbit

 

Isi 3 : Memperluas jalinan/jaringan sosial – berlaku transformasi gaya hidup apabila jalinan rangkaian kenalan melangkaui batas geografi dan batas etnik mahupun keluarga – meletakkan insan di dunia sebagai sama taraf

 

Negatif

Isi 4 : Pembaziran dalam aspek ekonomi dan masa – peningkatan drastik teknologi telefon bimbit memaksa masyarakat berlumba-lumba memperolehinya – pembaziran wang semata-mata untuk ‘kepuasan’ air liur dan telinga – masa banyak terbuang (golongan pelajar dan remaja yang banyak terbabit)

 

Isi 5 : Masyarakat (pengguna) semakin terdedah kepada gejala fitnah dan adu domba – maklumat palsu dan memburuk-burukkan peribadi orang menjadi ‘budaya’ dalam masyarakat moden

 

Isi 6 : Generasi Y sebagai mangsa teknologi – masih mentah untuk mencari manfaat daripada mudarat – tersepit antara kecanggihan teknologi dengan kemerosotan nilai moral, etika dan nilai agama

 

Kesimpulan : Sesungguhnya, revolusi telefon bimbit telah banyak mengubah transformasi dunia, namun masyarakat terpaksa membayar harga yang sangat mahal di sebalik kecanggihan teknologinya. Harga sama ada ekonomi, moral, mahupun keselamatan menjadi sangat mahal pada hari ini kerana ancaman berterusan daripada penggunaannya. Oleh itu, masyarakat pengguna hendaklah bijak dan berfikiran terbuka dalam mengendalikan sesuatu yang mempunyai kemungkinan sama rata antara positif dan negatifnya.

 

 

4. Pendidikan memainkan peranan yang sangat penting dalam memajukan sesebuah negara.

 

Huraikan kerjasama Malaysia dengan negara-negara dunia dalam meningkatkan mutu pendidikan negara.

 

MAKLUMAN : Merit soalan ini sama dengan Pulau Pinang. Sila rujuk

 

 

5. anda telah terpilih untuk mengulas sebuah novel yang bertemakan kegigihan sempena pelancaran program NILAM.

 

Tulis ulasan novel tersebut dengan lengkap.

 

MAKLUMAN : Tiada rangka isi disediakan untuk soalan ini – (harap maaf)

 
http://ishakmdshah.blogspot.com/