Friday 26 October 2012

KARANGAN NO 6: PERCUBAAN SPM MRSM


MRSM

 

1. Isu kebersihan terutamanya di kawasan sekolah perlu diberi perhatian serius.

 

Sebagai pelajar yang prihatin, kemukakan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk memastikan persekitaran sekolah anda sentiasa bersih.

 

Pendahuluan : Sekolah boleh diibaratkan sebagai taman-taman intelektual yang turut berperanan sebagai kilang yang mengeluarkan tenaga manusia yang berkaliber. Sekolah turut menjadi penyumbang pembinaan sebuah bangsa yang berperadaban dan lestari. Setiap insan yang keluar dari sesebuah institusi sekolah dengan jayanya pasti menjadi aset yang bernilai kepada masyarakatnya. Sebagai sebuah organisasi yang banyak menabur budi kepada manusia, sekolah seharusnya memiliki ciri-ciri yang boleh dibanggakan seperti cemerlang, kualiti disiplin, dan landskap yang cantik dan bersih. Dalam merealisasikan hajat tersebut, pihak pengurusan dan guru sahaja tidak mampu untuk melaksanakannya, melainkan usaha tersebut harus menerima sentuhan ajaib daripada para pelajar sendiri. Oleh itu, saya sentiasa terpanggil dan beriltizam untuk turut sama menyumbang tenaga dan idea agar sekolah saya sentiasa bersih dan ceria.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 : Sedar dan insaf bahawa disiplin adalah antara penyumbang paling penting – kekebalan disiplin mampu menghalang pelajar berbuat sesuatu yang tidak sesuai semasa di sekolah – menyebabkan nama sekolah jatuh - menyeru, mengajak dan menunjuk teladan yang baik kepada raka-rakan agar sama-sama menyayangi sekolah

 

Isi 2 : Membudayakan amalan 3K (Kebersihan, Keceriaan, dan Keselamatan) – program yang meletakkan sasaran supaya sekolah menjadi tempat yang selamat dan menyeronokkan pelajar – berganding bahu dengan semua warga sekolah

 

Isi 3 : Mencadangkan kepada pihak sekolah untuk mewujudkan kawasan angkat untuk pelajar – pelajar melalui persatuan dan kelab menjaga dan menghiaskan kawasan kebanggaan yang menjadi milik mereka

 

Isi 4 : Mencadangkan pihak sekolah menganjurkan pertandingan bersih dan indah – pertandingan termasuk bilik kelas dan kawasan angkat – melahirkan komitmen yang tinggi kepada pelajar untuk berbangga dengan kawasan angkat mereka

 

Isi 5 : Menganjurkan pertandingan yang berbentuk koakademik – pertandingan melukis mural, poster, kata-kata hikmat dan pertandingan mengarang – mencungkil bakat dan apresiasi pelajar terhadap sekolah yang dicintai

 

Kesimpulan : Pesanan daripada peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat belajar haruslah diterapkan ke dalam jiwa pelajar agar terus mencintai dan berbangga akan alma mater yang pernah mendidik mereka. Sebagai tanda sayang, saya akan terus komited untuk mengangkat imej sekolah saya dalam semua perkara termasuk menjadikan sekolah saya yang terbaik dan terindah landskap dan budayanya.

 

 

2. Kejayaan anak-anak berkait rapat dengan keperihatinan ibu bapa.

 

Ulaskan pernyataan di atas.

 

MAKLUMAN : Sila rujuk soalan yang hampir sama dengan soalan Johor

3. Kebiasaan mengambil makanan segera seperti burger, piza dan mi segera menjadi suatu trend dalam kalangan rakyat Malaysia. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis sebuah rencana yang akan disiarkan dalam akhbar tempatan yang bertajuk, “Kesan-kesan Buruk Pengambilan Makanan Segera Secara Berlebihan”.

 

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

 

CATATAN : Tiada rangka isi disediakan – (harap maaf)

 

4. Beberapa buah negara di dunia sedang mengalami pergolakan politik dan peperangan yang berlarutan sehingga menyebabkan rakyat hidup sengsara. Oleh itu, penglibatan Malaysia dan beberapa buah negara yang lain menganggotai misi keamanan dunia amatlah dipuji.

 

Jelaskan usaha-usaha yang dilaksanakan untuk menjayakan misi tersebut.

 

Pendahuluan : Gajah sama gajah berjuang pelanduk mati di tengah-tengah. Peribahasa tersebut benar-benar menggambarkan nasib malang yang ditanggung oleh rakyat jelata apabila kuasa-kuasa pemerintah bertelagah sesama sendiri. Korban rakyat Iraq yang sudah mencecah hampir sejuta orang berpunca daripada sikap angkuh mantan Presiden Amerika George W. Bush. Pada hari ini rakyat di rantau Timur Tengah sedang bertumpah darah demi menumbangkan regim kuku besi yang menzalimi mereka. Malahan malapetaka yang sudah sekian lama menimpa rakyat Palestin, Pakistan, Afghanistan, Kashmir, Darfur, dan pembersihan etnik yang berlaku di beberapa negara di Afrika telah menyaksikan sejarah peradaban manusia semakin ternoda. Oleh itu, selagi peluang masih ada, kita wajarlah menelusuri akan punca gejala tersebut membara dan seterusnya bertindak atas hemat untuk menyelesaikan krisis kemanusiaan tersebut.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 :   Misi keamanan melalui misi kebudayaan dan seni - menghormati kebudayaan, kesenian, adab, dan fahaman agama – menyampaikan mesej bahawa semua manusia mempunyai hak untuk hidup, untuk bernegara dan memiliki kebebasan

 

Isi 2 :   Duta kecil dalam bidang ilmu pengetahuan – membuka peluang belajar sama ada di IPTA atau IPTS untuk seluruh warga dunia – menyampaikan mesej melalui saluran ilmu pengetahuan – inspirasi daripada keamanan dan keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia - bertukar-tukar pengalaman tentang isu budaya, dan adab resam - menjalinkan hubungan mesra atas misi sebagai pelajar

 

Isi 3 :   Menghantar pasukan misi damai dan pasukan pengaman di bawah panji-panji PBB – menghalang perang saudara, memastikan genjatan senjata– tentera pengaman di Somalia, di Balkan dan Lebanon

 

Isi 4 : Misi kemanusiaan di wilayah yang sedang bergolak – bantuan keperluan asas (makanan, ubat-ubatan dan pakaian) – misi bantuan ke Palestin (Viva Palestina), Rohingya, Kemboja – bantuan diberi tidak memilih perbezaan ideologi politik, agama, atau wilayah

 

Isi 5 :   Menganjurkan persidangan untuk keamanan di peringkat antarabangsa – Kuala Lumpur sering dipilih sebagai tuan rumah – berusaha menyatukan pihak yang bertelagah untuk kembali ke meja rundingan

 

Isi 6:    Misi keamanan melalui khidmat tentera pengaman - dianjurkan di bawah payung misi keamanan PBB - untuk mengawal kawasan yang dilanda perang saudara - membantu menyelamatkan mangsa perang oleh pasukan perubatan, khidmat masyarakat, kaunseling, dan pendidikan - delegasi tentera dapat menjadi duta kecil menjalinkan hubungan kemanusiaan dan sosial dengan negara tempat bertugas – MALBAT dan MALCOM mendapat pujian dan pengiktirafan semasa di Bosnia

 

Kesimpulan : Sesungguhnya setiap insan mempunyai hak untuk hidup dan hak untuk memperoleh kebebasan. Maha kaya Tuhan telah menciptakan pelbagai bentuk bumi dan pelbagai bangsa dengan setiap bangsa diperuntukkan tanah air sendiri. Sudah sewajarnya bangsa tersebut memakmurkan bumi mereka sendiri. Secara tegas pula, mereka dilarang mengancam peluang orang lain untuk hidup selamat. Seyogia, angkara sombong yang mengganggu hak orang lain untuk hidup bebas perlu dibanteras sepenuhnya.

 

 

SARAWAK

1. Setiap remaja perlu mempersiapkan diri untuk menjayakan wawasan negara pada tahun 2020.

 

Jelaskan peranan anda sebagai remaja untuk menjayakan wawasan negara tersebut.

 

Pendahuluan : Limpahan warga asing yang dianggarkan mencecah empat juta orang di negara ini adalah berkaitan dengan keperluan tenaga kerja di Malaysia yang semakin kritikal. Pelbagai projek pembangunan terutama sekali dalam sektor pembinaan, perladangan, dan pembantu rumah akan terbantut sekiranya tiada suntikan daripada tenaga kerja asing. Fenomena tersebut menjadi lebih genting apabila anak-anak muda Malaysia enggan menggalas tugas negara dengan memberi pelbagai alasan. Persepsi tersebut hendaklah diubah segera dengan setiap remaja harus memperlengkap diri dengan segala keupayaan untuk menyelamatkan negara. Sebagai remaja anak wawasan, saya menyimpan iltizam untuk berusaha sedaya upaya demi menyahut seruan Wawasan 2020 yang bakal menjelang beberapa tahun sahaja lagi.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Membina kekuatan diri dengan beriman, bertakwa dan beramal – amat penting kerana iman dan takwa sebagai enjin penggerak penting seseorang itu berjaya – agama menggerak kesedaran dan semangat jihad demi negara – menjadi pengekang agar tidak terjerumus ke kancah moral

 

Isi 2 : Mengisi dada dengan ilmu pengetahuan – belajar dengan bersungguh-sungguh – ilmu sebagai penggerak tamadun manusia – contoh negara-negara yang sangat maju dan berjaya seperti Jepun, Korea, China dan negara-negara di Eropah (kerajaan silam seperti tamadun Islam sendiri) kerana kehebatan menguasai ilmu pengetahuan

 

Isi 3 : Memperlengkap ilmu yang diperoleh dengan kemahiran – kemahiran membuka peluang menceburi pelbagai kerjaya – mengambil kesempatan dengan adanya pelbagai institusi kemahiran seperti politeknik, Institut Belia Negara, IKM dan lain-lain

 

Isi 4 : Memperkukuh azam dan komitmen patriotik terhadap negara – menghayati sejarah negara – mendalami nilai perjuangan dan usaha mempertahankan negara

 

Isi 5 : Bersedia dengan ilmu dan bakat kepemimpinan – perlu untuk menguruskan diri – bersedia untuk menggalas tugas pemimpin yang telah pergi (patah tumbuh hilang berganti) – menyertai program kepimpinan dalam kokurikulum (menyertai persatuan, kelab dan sukan)

 

Kesimpulan : Remaja ibarat bunga bangsa yang akan mengharumkan nama negara. Seyogia, remaja tidak sewajar gugur di tengah-tengah medan perjuangan. Saya sedar, seandainya remaja gagal mempertahankan nusa ini, nescaya peluang tersebut akan digunakan oleh orang lain untuk menjajahi kita semula.

 

 

2. Pemupukan nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat lebih berkesan jika bermula di rumah.

 

Bincangkan peranan keluarga dalam usaha memupuk milai murni dalam diri anak-anak.

 

MAKLUMAN : Soalan ini hampir sama dengan beberapa negeri yang lain. Sila rujuk

 

 

3. Malaysia terkenal dengan keunikan masyarakat berbilang kaum dan hidup dalam keadaan aman dan sentosa. Sikap toleransi, saling menghormati, dan bekerjasama merupakan amalan hidup rakyat Malaysia yang telah mewujudkan perpaduan antara kaum.

 

Huraikan pendapat anda tentang pernyataan di atas.

 

MAKLUMAN : Soalan ini amat hampir dengan soalan nombor 3 SPM 2011. Sila rujuk

 

 

4. Ekonomi Malaysia yang sedang berkembang pesat telah menyebabakan Malaysia menjadi tumpuan pekerja asing. Sehubungan dengan itu, anda ingin menulis rencana untuk disiarkan dalam akhbat tempatan. Tajuk rencana tersebut ialah, “Kesan-kesan Kemasukan Buruh Asing Kepada Negara Kita”.

 

Tulis rencana itu selengkapnya.

 

Pendahuluan : ‘Malaysia’ suatu sebutan yang cukup berharga dalam kalangan pendatang asing di seluruh dunia. Bermula dari hujung dunia antara masyrik ke maghrib dan dari paksina ke daksina, rata-rata kaum pendatang amat terliur untuk memasuki Malaysia. Semua impian tersebut berpunca daripada kata-kata segolongan warga Indonesia di negara ini yang menyebut, “Di Malaysia Emas Boleh Dikutip Di kaki Lima” menunjukkan peluang mencari rezeki dan hidup senang lenang terbuka dengan seluar-luasnya di sini. Oleh itu, tidak hairanlah Malaysia menjadi destinasi pilihan warga asing. Memang benar kedatangan buruh asing telah membantu mempercepat pembangunan negara, namun turut menyumbang kepada kesan-kesan negatif juga.

 

Isi-isi penting :

Isi 1 : Sebagai pilihan majikan akibat kekurangan tenaga kerja tempatan – Jumlah penduduk Malaysia hanya 28 juta tidak mampu menampung permintaan buruh yang tinggi – taraf kemahiran dan kepakaran rakyat Malaysia masih lagi rendah

 

Isi 2 : Mengurangkan secara relatif upah buruh yang boleh mengurangkan kadar kos hidup – upah buruh asing masih rendah – kesungguhan mereka bekerja amat berbaloi

 

Isi 3 : Membantu memindahkan kepakaran teknologi dan kemahiran – masyarakat tempatan semakin sedar tentang pelbagai ilmu dan kemahiran yang dimiliki oleh orang asing – wujud kemahuan ingin bersaing – kemajuan negara akan diterajui oleh anak watan sendiri pada masa depan

 

Isi 4 : Timbul isu keselamatan dan jenayah – tidak semua warga asing yang datang dengan niat bekerja (terdiri daripada penjenayah yang sangat dikehendaki di negara mereka) – kes-kes samun dan rompak bersenjata banyak melibatkan warga asing – meningkatnya kes pembunuhan

 

Isi 5 : Timbul perebutan peluang ekonomi – warga asing yang mencuri peluang berniaga (rakyat Indonesia dan Nigeria) – tapak gerai peniaga kecil di sekitar Kuala Lumpur telah dimonopoli oleh warga asing

 

Isi 6 : Merampas peluang kerja rakyat tempatan – rakyat terpaksa bersaing untuk mendapat kerja – keutamaan majikan memilih pekerja asing dengan relatif gaji yang lebih rendah – hampir 100 peratus pasaran buruh kasar dimonopoli oleh warga asing

 

Isi 7 : Timbul konflik budaya dan moral – membawa masuk pengaruh asing yang tidak sesuai dengan budaya dan agama rakyat Malaysia – gejala pelacuran, bersekedudukan – membawa kesan yang amat buruk kepada generasi muda – berlaku masalah setinggan

 

Kesimpulan : Tuntasnya, peluang untuk hidup di muka bumi ini telah dibuka oleh Allah kepada semua manusia. Tinggal lagi apabila rakyat di sesebuah negara itu tidak merebut peluang yang Allah kurniakan, nescaya datanglah orang lain yang mencuri kesempatan. Mungkin analogi ini tepat dengan situasi di Malaysia sekarang. Seyogia rakyat Malaysia harus bangkit untuk menyelamatkan nusa ini daripada ancaman berterusan daripada warga asing. Ingatlah, “Di sini bumi yang kita pijak, justeru di sinilah langit yang kita junjung”.

 

SUMBER: 
http://ishakmdshah.blogspot.com/