Friday 26 October 2012

KARANGAN NO 3: PERCUBAAN SPM KELANTAN


KELANTAN

 

1. Remaja kini berdepan dengan pelbagai tekanan dalam usaha memenuhi keinginan ibu bapa dan guru untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Tekanan yang dihadapi telah menyebabkan ada segelintir remaja mengambil tindakan tidak sesuai.

 Jelaskan usaha-usaha yang perlu anda lakukan untuk menangani tekanan.

 

Pendahuluan : ‘Lulus cemerlang dengan 10A+’, ‘Pergi Tuisyen’, ‘Masuk Kelas Qiraati atau belajar berenang’, dan ‘Masuk Summer Camp’ adalah antara ungkapan yang sudah basah di mulut para ibu bapa. Sebaliknya, ungkapan yang sama pula sudah menjadi mangli dan alergi kepada anak-anak. Antara anak-anak dan ibu bapa, malah guru juga kadang-kadang sudah tidak sealiran sekalipun berada dalam laras matlamat yang sama. Keinginan yang melampau dan impian tinggi menggunung oleh ibu bapa telah meninggalkan kesan fobia dan trauma dalam kalangan anak-anak. Mujurlah bagi yang berupaya, mereka dapat memenuhi hasrat ibu bapa, sebaliknya kepada yang kurang timbullah pelbagai kesan stres dan kemurungan. Bagi diri saya, isu ini ibarat ditelan mati bapa diluah mati emak kerana hakikatnya semua adalah penting. Oleh itu, saya memerlukan beberapa strategi yang berhemat untuk mengimbangi kedua-duanya.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 : Bersedia lebih awal – menjadikan agenda belajar mengatasi segala yang lain – cuba menuruti ikon-ikon cemerlang sebagai sumber rujukan

 
Isi 2 : Bawa berbincang dengan ibu bapa dan guru – jelaskan keupayaan sebenar kepada mereka – dapatkan bimbingan dan motivasi

 
Isi 3 : Mesti jelas matlamat dan hala tuju – cita-cita hendaklah diukur kepada minat dan kemampuan diri

 
Isi 4 : Bertemu guru-guru kaunseling – mereka mempunyai kelayakan untuk membuat konsultasi – kemukakan segala masalah yang terbuku di hati

 
Isi 5 : Banyak berdoa dan bermuhasabah diri – tidak melupai Tuhan yang sentiasa memberikan taufiq dan hidayah-Nya.

 
Kesimpulan : Memetik kata-kata dalam pepatah Arab, bahawa setiap penyakit ada ubatnya, jelas menunjukkan kita tidak boleh tenggelam punca dalam menangani sebarang masalah. Kita wajar berlapang dada dan dingin kepala untuk mencari langkah penyelesaian. Kebijaksanaan bukan terletak kepada jumlah A yang dikutip tetapi bijaksana dalam menguruskan diri umpama, sesat di hujung jalan baliklah ke pangkal jalan.

 

 
2. Banyak pendapat mengatakan masalah sosial dalam kalangan remaja berkaitan dengan keruntuhan institusi keluarga.

 Jelaskan peranan keluarga bagi menangani masalah sosial dalam kalangan remaja pada masa ini.

 
Pendahuluan: Gejala perbuatan sumbang antara remaja lelaki dan perempuan, ketagihan dadah, kemaruk hiburan, mat rempit, dan pelbagai ragam kemacetan remaja lagi sedang terpampang di hadapan mata kita. Pusat-pusat hiburan dan pusat beli-belah telah ‘ditakluki’ oleh golongan yang rosak akhlak terutama sekali pada waktu hujung minggu. Naik jeluak pada fikiran kita apabila melihat aksi remaja yang tidak segan melakukan aksi sumbang di tengah-tengah khalayak ramai itu. Apabila keadaan ini sudah semakin kronik, pelbagai pihak mula menuding jari antara satu sama lain. Masing-masing saling menuduh tentang angkara siapakah yang menyebabkan gejala ini semakin sukar dibendung? Jawapan kepada krisis ini, banyak pihak berpendapat, institusi keluarga masih diyakini memiliki kewibawaan untuk menanganinya.

 

Isi-isi penting :

 

Isi 1 :   Memperkasakan semula institusi keluarga - banyak institusi keluarga yang longgar, goyah, dan bermasalah - kurang persefahaman dan bersikap saling mementingkan diri sendiri - pengendali keluarga perlu faham akan fungsi masing-masing - anak-anak akan berasa lebih selamat untuk berada di rumah dan terselamat daripada gejala moral

 
Isi 2 :   Ibu bapa dan anggota keluarga sering mengambil tahu masalah - perlu lebih banyak berinteraksi dengan anak-anak terutama apabila mereka meningkat remaja - mesti menjadi jururunding profesional kepada masalah anak-anak

 
Isi 3 :   Menyediakan keperluan asas yang sewajarnya kepada anak-anak – menjadi tempat mengadu anak-anak - peka terhadap keperluan asas anak-anak sama ada mental, emosi mahupun fizikal

 
Isi 4 :   Mengutamakan pakej ilmu dan pendidikan keluarga melebihi agenda lain dalam keluarga - menjaminkan anak-anak menerima pendidikan yang secukupnya sama ada dunia atau akhirat - meminimumkan agenda hiburan terutama hiburan yang melalaikan - mendedahkan anak-anak dengan iklim kehidupan yang baik

 
Isi 5 :   Mewujudkan interaksi yang sihat dan mesra dengan jiran tetangga - untuk melahirkan semangat kerjasama dan saling bertanggungjawab terhadap segala masalah terutama yang melibatkan anak-anak remaja - bersama-sama menjadi mata dan telinga terhadap gelagat anak-anak remaja - sentiasa menaruh kepercayaan terhadap jiran tetangga dalam usaha menangani gejala kurang sihat dalam kalangan anak-anak

 
Kesimpulan : Kesempurnaan minda dan akhlak dalam kalangan anak-anak bermula di rumah. Oleh yang demikian, untuk melahirkan anak-anak yang baik seharusnya suasana dalam rumah tangga perlu menjadi baik terlebih dahulu. Dalam arus kebejatan sosial yang semakin rencam sekarang, wajarlah institusi keluarga diperkasakan agar menjadi benteng terawal dan terakhir untuk menyelamatkan remaja daripada terus tenggelam dalam gelombang ancaman wabak sosial.

 

 
3. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana tentang peranan yang perlu dimainkan oleh pelbagai pihak untuk memajukan industri palancongan.

 
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

 
MAKLUMAN : Rujuk rangka isi sama ada Pulau Pinang atau Perak

4. Penganjuran sukan bertaraf dunia seperti perlumbaan kereta Formula 1, perlawanan bola sepak piala AFC dan perlumbaan basikal le Tour de Langkawi wajar diteruskan kerana banyak faedah yang diperoleh melalui penganjurannya.

 Nyatakan faedah-faedah penganjuran sukan bertaraf dunia.

 MAKLUMAN : Dengan ihsan dilampirkan sampel karangan hak cipta saya sebagai rujukan anak-anak didik.

 
Para atlit negara ke peringkat antarabangsa sering disebut sebagai duta kecil. Mereka membawa mesej damai, menghulurkan salam silaturahim, dan pembawa obor keamanan sejagat. Ketika di atas gelanggang dan di atas trek, mereka berjuang demi maruah negara. Tiada perasaan dendam dan kebencian. Semuanya dengan falsafah ‘majulah sukan untuk negara’. Sesungguhnya, sukan mampu menjadi tonik untuk melegakan buat sementara waktu segala ketegangan dan perselisihan yang berpunca daripada perbezaan ideologi dan politik.

 

            Sejarah sukan peringkat antarabangsa telah bermula daripada pemujaan dewa Zeus. Di sinilah bermula suatu pertandingan memperagakan kekuatan dan kemahiran manusia. Sukan tersebut akhirnya dinamakan sukan Olimpik bersempena dengan nama Olympus. Olympus ialah pelari marathon yang paling ulung apabila berjaya membawa obor sukan dari Athen ke Sparta. Walau bagamanapun, beliau mati sebaik sahaja menyalakan obor sukan Olimpik. Demikianlah lambang semangat gigih dalam perjuangan sukan yang akhirnya diabadikan sebagai perlumbaan mempertahankan maruah bagi sesuatu bangsa dan negara. Pada zaman moden ini pelbagai temasya sukan lagi dianjurkan. Antaranya Sukan Komanwel, Sukan Asia, dan Bola Sepak Piala Dunia. Selain itu, acara-acara yang berprestij yang bertaraf dunia seperti lumba basikal, Formula 1, dan GP Motor mula menarik minat di seluruh dunia. Pendek kata semua acara sukan tersebut menjadi wadah mempertahankan maruah di samping sebagai deligasi keamanan sejagat.

 

            Walaupun kemenangan dan menjulang piala menjadi matlamat, namun penyertaan dalam sukan di peringkat antarabangsa membawa seribu harapan untuk menggerakkan warga dunia agar lebih cinta akan keamanan. Di gelanggang para atlit bersaing hebat, namun di luar gelanggang mereka menjalinkan silaturahim. Mereka pembawa mesej damai. Segala perbezaan politik dan perbezaan pendapat di peringkat pimpinan dapat dipadamkan apabila para atlit bertemu. Falsafah buang yang keruh ambil yang jernih benar-benar dianuti.

 

            Dalam kalangan atlet juga, mereka sentiasa berhubung dan mengikat tali persahabatan. Persahabatan tersebut terus berpanjangan sehingga ke luar gelanggang. Mereka mampu mewujudkan suatu rangkaian atlet dunia dan membuka lembaran baru dalam kehidupan yang realiti. Ada antaranya yang dapat mewujudkan rangkaian niaga di peringkat global. Ketika bergaul para atlet dapat mendalami tentang hal ehwal politik, sosial, dan ekonomi negara-negara peserta. Barangkali bagi sesetengah negara dalam gelanggang politik mereka berseteru, namun di atas gelanggang arena mereka bersaing secara sihat. Demikianlah falsafah dan ideologi yang amat tersirat dalam bidang sukan

 

            Sebagai tuan rumah, penghormatan yang diberikan dapat mengangkat imej sesebuah negara di mata dunia. Seluruh pelosok dunia akan mengalih perhatian kepada mana-mana negara yang telah terpilih menjadi tuan rumah. Kepercayaan yang diberi menandakan negara tersebut memiliki kredibiliti untuk menguruskan segala aspek teknikal, pengurusan, keselamatan, dan prasarana. Kejayaan Sukan Asia di Doha pada tahun 2006 telah dengan sepantas kilat mengangkat imej Qatar negara kecil di Teluk Farsi itu sebagai sebuah koloni yang disegani. Demikian pula, Afrika Selatan yang telah diamanahkan menjadi tuan rumah Bola Sepak Piala Dunia 2010 merupakan negara selatan Afrika yang paling istimewa menjadi tumpuan dunia amnya. Malahan tawaran yang sampai ibarat pucuk dicita ulam mendatang, orang mengantuk disorongkan bantal.

 

            Kelebihan juga turut diperoleh negara tuan rumah dalam hal tukaran wang asing. Sumber dana yang disumbangkan oleh Konfiderasi Sukan Internasional amat ditunggu-tunggu oleh setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah. Segala perbelanjaan yang bermula dengan penyediaan infrastruktur sukan dan kemudahan prasarana seperti tempat tinggal, pengangkutan, makanan, dan logistik lain menjadi lombong emas kepada negara tuan rumah. Nilai tukaran wang asing menjadi lebih besar apabila semua mata wang dunia bertumpu ke negara tersebut. Semasa Piala Dunia ke-19 yang berlangsung di Afrika Selatan pada 2010, negara pertemuan dua lautan itu turut menerima limpahan pelancong ‘segera’ yang turut membawa tukaran wang asing sebanyak 323 juta pound sterling dalam masa tiga puluh hari sahaja. Secara sambil menyelam minum air, negara-negara yang menjadi tuan rumah dapat mempertingkatkan industri pelancongan khususnya dalam bidang pelancongan sukan. Pendek kata, setiap negara yang dipilih menjadi tuan rumah pasti memperoleh habuan yang berlipat ganda.

 

            Kemeriahan sukan menjadi penglahiran hati nurani setiap peserta dan harapan kepada seluruh warga dunia. Mereka membawa mesej perjuangan suci dan mengangkat martabat negara masing-masing di mata dunia. Dengan hal yang demikian, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa hendaklah jangan diganggu gugat oleh mana-mana tangan politik berpengaruh demi mempertahankan keamanan sejagat.

 

5. Peribahasa ‘bukit sama didaki, lurah sama dituruni’ menggambarkan bahawa semangat hidup bermasyarakat penting dalam kehidupan seharian.

 

Bancangkan manfaat semangat tersebut kepad masyarakat.

 

MAKLUMAN : Tiada rangka isi untuk soalan ini – (harap maaf)

 
sumber :  ttp://ishakmdshah.blogspot.com/