Friday 26 October 2012

KARANGAN NO 8: PERCUBAAN SPM PULAU PINANG


PULAU PINANG

 

1. Kerajaan mewajibkan program 1 Murid 1 Sukan di setiap sekolah.

 

Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan menyertai aktiviti sukan di sekolah.

CATATAN : Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi 2012. Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;

 

Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.

 

Bincangkan pendapat anda tentang faedah-faedah pelaksanaan dasar tersebut kepada para pelajar dan negara.

 

Budaya bersukan seolah-olah menjadi suatu fenomena di negara ini. Tanpa mengira siang atau malam, minat terhadap aktiviti sukan semakin meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia. Bukti yang amat jelas apabila terdapat sebilangan besar yang rela bersengkang mata semata-mata untuk menonton pertandingan bolak sepak di peringkat antarabangsa. Dalam negara juga, penonton akan berpusu-pusu membanjiri stadium apabila diadakan pertandingan sukan. Sungguhpun demikian, budaya menggemari sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mampu mengangkat imej sukan negara terutama di persada antarabangsa. Menyedari hakikat tersebut pelbagai inisiatif telah digemblengkan oleh pihak kerajaan. Salah satu inisiatif yang cukup pragmatik ialah Pelaksanaan dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan memberi banyak impak positif kepada anak-anak muda negara.

 

                Langkah yang pragmatik ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang berperawakan sihat dan cerdas. Hal demikian amat nyata sekali kerana sukan merupakan saluran yang terbaik untuk merangsangkan kecergasan mental dan fizikal. Langkah ini dilihat amat praktikal sekali apabila semua aktiviti sukan diuruskan secara terancang dan profesional oleh pihak sekolah. Lebih-lebih lagi dengan pelaksanaan IMIS, sudah pasti setiap pelajar berpeluang mencuba bakat masing-masing. Oleh itu, tiada pihak yang terasa diri terabai dan disisihkan. Natijahnya, setiap individu berpeluang memperkembangkan semua potensi diri dalam aspek mental, fizikal, dan sahsiah. Sesungguhnya, inilah wajah generasi akan datang yang menjadi taruhan nusa selaras dengan kata-kata,, “Untuk melihat bangsa pada masa depan lihatlah kepada remaja pada hari ini”.

 

                Impak positif lain yang akan diperoleh remaja adalah dapat mengasah dan mempertajam bakat mereka sejak awal usia lagi. Bertepatan dengan maksud peribahasa, jikalau hendak melentur buluh hendaklah daripada rebungnya dan belakang parang jikalau diasah pun akan tajam, jelas menunjukkan bakat yang terpendam akan menyerlah apabila digilap sejak awal. Nyatalah bahawa dasar ini menjadi medan untuk memupuk profesional sukan. Sementara itu, bagi yang berbakat pula, boleh membina kerjaya dalam bidang sukan. Mereka pasti teruja dengan pencapaian cemerlang jagoan-jagoan sukan seperti (masukkan nama-nama idola sukan anda). Sesungguhnya, dasar ini boleh dianggap sebagai strategi terancang untuk melahirkan lebih ramai jagoan dan tokoh sukan dalam tempoh satu dekad lagi. Sesungguhnya, dasar 1M1S ini amat bertepatan dengan falsafah Tao yang menyatakan, “Jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah gandum, jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah pokok, dan jika kamu mahu hidup selama-lamanya tanamlah manusia”.

 

                Signifikan yang lain pula, matlamat 1M1S adalah untuk menjadi landasan terbaik menyediakan pelapis-pelapis sukan yang terdiri daripada bakat-bakat baru. Langkah ini amat tepat pada masanya kerana sudah menjadi resam dunia bahawa yang lama akan berlalu. Oleh itu, usaha ini sangat bertepatan dengan peribahasa patah tumbuh hilang berganti maka yang pergi perlulah diganti. Melalui strategi yang terancang seperti ini persediaan awal dapat digemblengkan dalam usaha melahirkan atlit muda yang lebih kompeten. Dengan yang demikian, negara tidak ketandusan wira-wira sukan. Para wira dan wirawati ini akan meneruskan misi menggalas tugas mengharumkan nama negara di persada antarabangsa. Sesungguhnya, kemampuan bersaing di arena antarabangsa bakal mengangkat martabat negara agar kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan gergasi-gergasi sukan dunia

 

                Peribahasa yang menyatakan gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa menunjukkan bahawa jasa dan bakti menjadi sebab seseorang itu diingati walaupun sesudah mati. Setiap rakyat yang berjiwa patriotik hendaklah bercita-cita untuk memahatkan nama mereka sebagai rakyat yang berjasa kepada negara sesuai dengan laungan keramat di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, setiap warganegara hendaklah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara mengikut kemampuan masing-masing. Oleh itu, seseorang jagoan sukan sentiasa dijulang namanya sebagai wira yang mengharumkan nama negara. Tokoh ternama seperti Mokhtar Dahari, Dr M Jegathesan, Rabuan Pit dan ramai lagi adalah antara tokoh kesukanan yang sentiasa disebut-sebut. Di sebalik bakat dan kesungguhan mereka, jiwa patriotik begitu menyala di dalam hati dan sanubari masing-masing. Sesungguhnya, langkah memartabatkan sukan di peringkat sekolah dalam program 1M1S merupakan usaha murni untuk membentuk jiwa patriotik ketika masih di bangku sekolah lagi.

               

                “Sambil menyelam minum air”. Demikianlah peribahasa yang boleh dipetik sebagai membuktikan sesutau usaha yang dilakukan kadang-kadang boleh memberikan impak sampingan yang amat berguna. Dalam hal ini, sukan bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya mampu menyokong pertumbuhan ekonomi negara. Impak positif yang turut diperoleh negara apabila sukan sudah mula beralih arah menjadi sebuah industri mahupun kerjaya ialah pulangan dalam bentuk wang ringgit. Di sebalik hadiah dan ganjaran yang lumayan, pelbagai industri hiliran yang berasaskan sukan turut terjana. Apabila mengambil kira sejumlah 20 bilion wang yang mengalir ke Afrika Selatan semasa penganjuran Bola sepak Piala Dunia pada 2010, hujah tersebut boleh mengesahkan bahawa sukan adalah antara penyumbang terpenting dalam mengisi kantung negara. Kini penganjuran seperti EPL, EURO, dan Piala Dunia adalah antara industri sukan terpenting yang berjaya mengaut keuntutngan besar. Selain itu, sukan-sukan ternama yang lain seperti golf, tenis, dan kriket turut menjadi penyumang utama seseorang jaguh cepat melonjak menjadi jutawan. Amat jelas sekali, pada era milenium kini, sukan adalah antara industri yang mampu menjanakan pendapatan kepada sesebuah negara mahupun kepada atlit yang terlibat.

 

                Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang dibelanjakan, namun kejayaan atlit negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang demikian, dengan dukungan semua pihak, insya-Allah hala tuju baru oleh KPM ini boleh menatijahkan impak baru kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam satu dekad akan datang.

 

 

2. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha menggalakkan anak-anak mementingkan keindahan alam sekitar.

 

Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekitar.

 

Pendahuluan : Memetik sepotong peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua, menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting kepada ibu bapa untuk menanami anak-anak dengan segala bentuk amalan yang positif seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, dan budaya hormat-menghormati. Kebersihan adalah antara elemen yang perlu diperkasakan dari rumah sekiranya tingkah laku bersih hendak didominasikan dalam masyarakat. Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak akan lahir dari dalam acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.

 

Isi 1 : Menanamkan dalam diri anak dengan sifat iman dan takwa – orang beriman sentiasa percaya akan adanya Allah dan percaya kepada ganjaran baik buruk – mengotori alam sekitar dan memusnahkan sumber-sumbernya merupakan dosa besar – sebaliknya jikalau menjaga kebersihan memperoleh pahala

 

Isi 2 : Melazimi anak-anak dengan persekitaran yang bersih, sihat dan tenang – amalan kebersihan bermula dari rumah – gaya hidup dalam rumah tangga yang mengutamakan kebersihan – seluruh anggota keluarga memainkan peranan masing-masing

 

Isi 3 : Menjalankan aktiviti rutin harian dan mingguan menghiaskan dan mencantikkan persekitaran rumah – penglibatan seluruh ahli keluarga – bergotong toyong membersih kawasan, menanam pokok-pokok hiasan dan menjaga kebersihan

 

Isi 4 : Ibu bapa bertanggungjawab membawa anak-anak berperawisata ke pusat-pusat pelancongan – membentuk sikap anak yang suka akan kebersihan dan keindahan – memperoleh idea atau konsep baru untuk dibawa balik ke rumah

 

Isi 5 : Ibu bapa menyediakan bahan-bahan bacaan, video dan gambar tentang tempat-tempat yang indah dan menarik (Al Hamra di Sepanyol, Istanbul di Turki, dan kawasan-kawasan indah di seluruh dunia)

 

Kesimpulan : Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, anak-anak apabila diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati diri anak-anak. Baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.

 

 

3. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana berkaitan dengan peranan pelbagai pihak untuk memajukan industri pelancongan.

 

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

 

NOTA : Karangan ini dalam bentuk berformat rencana. Pastikan anda mematuhi arahan format.

 

Pendahuluan : Sudah acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia. Kini Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan yang menarik, murah, dan eksotik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, Malaysia telah menyasarkan jumlah kemasukan pelancong kepada 30 juta orang dengan anggaran tukaran asing sebanyak RM30 bilion. Sejajar dengan hasrat negara untuk menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.

 

Isi 1 :   Penglibatan aktif agensi kerajaan - Kementerian Pelancongan - agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan perlu aktif mempromosikan Malaysia ke peringkat global

 

Isi 2 :   Inisiatif hendaklah turut digerakkan oleh sektor swasta juga - menyokong dan mengambil bahagian dalam program galakan pelancongan di luar negara - membangunkan prasarana pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan

 

Isi 3 :   Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing - mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan - membangunkan tempat-tempat yang berpotensi menjadi daya tarikan pelancong

 

Isi 4 :      Minda masyarakat hendaklah lebih berfikiran terbuka dan positif terhadap industri pelancongan - melihat sektor pelancongan secara positif - menyokong usaha pihak kerajaan dan PBT menjaga alam sekitar - mengamalkan budaya sopan santun, peramah, dan berbudi bahasa

 

Isi 5 :   Penglibatan aktif duta-duta di luar negara - menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia

 

Kesimpulan : Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau Barat. Peluang harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan ditolak, aral jangan diraih.

 

 

4. Kerjasama antara negara di dunia dapat meningkatkan pembangunan pendidikan di sesebuah negara.

Bincangkan kerjasama antara negara di dunia untuk meningkatkan pembangunan pendidikan.

Pendahuluan : Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat yang sama iaitu untuk hidup bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak tersebut seperti hak untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam konteks mencari ilmu ada golongan yang masih tersisih dan terperap dalam kepompong buta huruf. Kalangan negara-negara miskin khususnya masih jauh ketinggalan dalam revolusi ilmu. Dalam dunia ilmu sebagai wahana perubahan, semua pihak harus proaktif mengadakan pelbagai kerjasama antara negara agar ilmu pengetahuan dan pembangunan pendidikan dapat dicambahsuburkan di seluruh pelosok alam.

 

 

Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan di bawah payung keamanan dunia tajaan PBB – menyingkirkan perasaan benci dan tamak haloba antara sesama manusia

 

Isi 2 : Menyumbangkan pelbagai prasarana dan logistik ilmu untuk negara-negara miskin – suatu pelaburan jangka panjang untuk memakmukan dunia

 

Isi 3 : Mengeksport tenaga pengajar sama ada secara sukarela ataupun kontrak – tenaga pakar dari negara-negara maju boleh berhijrah ke negara-negara miskin dan membangun

 

Isi 4 : Menjalinkan hubungan talian pintar antara cendekiawan dan ilmuwan – memanfaatkan kemudahan teknologi siber

 

Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan tenaga akademik – membolehkan peluasan ilmu pengetahuan berkembang secara global – sifat dengki dan busuk hati dan cemberu terhadap nilai ilmu harus diketepikan.

 

Isi 6 : Melaksanakan rangkaian institusi berkembar – jalinan kerjasama antara universi dan kolej dalam usaha memindahkan ilmu

 

Kesimpulan : Ilmu apabila dimanfaatkan pasti menjadi lautan rahmat bak kata Pendeta Za’ba,

 

Ilmu alat sangat berguna

Idaman orang yang bijaksana

Hamparnya luas amat saujana

Tepinya ajal sempadannya fana

 

Oleh itu, agenda peluasan ilmu tidak boleh tersekat dan tidak harus dijadikan milik peribadi orang tertentu. Ilmu perlu disebarluaskan agar manfaatnya dirasai insan sejagat.

 

 

5. Kini, karya kreatif seperti cerpen dan novel oleh penulis-penulis semakin berkurangan.

 

Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menggalakkan remaja melibatkan diri dalam penulisan kreatif.

 

MAKLUMAN : Soalan ini akan saya sediakan dalam bentuk jawapan penuh dan akan disiarkan dalam blog saya selepas ini. Sila ikuti dari semasa ke semasa

 
 
SUMBER
http://ishakmdshah.blogspot.com/