Wednesday 17 October 2012

CATATAN HIDUP NO.7 : SEPERTI TALI GITAR


Saya sukakan subjek keseimbangan dalam meniti arus kehidupan. Oleh itu, saya sangat bersetuju dengan apa yang diungkapkan oleh mentor saya meor yusuf aziddin (meor pestajiwa) tentang keseimbangan. Meor merupakan seorang pemuzik jalanan atau dipanggil Buskers yang bergiat aktif di pasar seni (central Market) dan kini mendapat permit secara sah untuk busking di KL Sentral. Keseimbangan hidup itu diibaratkan oleh meor seperti tali gitar kerana beliau merupakan seorang pemain gitar.  Jadinya, tali gitar harus dalam kondsis yang sesuai iaitu keseimbangan untuk dimainkan. Jika terlalu tegang tali gitar mungkin akan putus. Jika tali gitar terlalu kendur pun, bunyinya akan sumbang.Begitulah kehidupan kita, musim beralih dan waktu terus berjalan. Kita akan melaui musim–musim tegang dan kendur, namun untuk mencapai keseimbangan itu sukar apabila kita meletakkan dunia sebagai subjek utama kita menjalani hidup.

Menjalani hidup secara kendur memang mendatangkan masalah. Kita diibaratkan sebagai hidup segan mati tak mahu, kerana keghairahan terhadap hidup adalah ditahap minimum. Tiada pencapaian yang diperoleh dalam hidup kerana kita tidak pernah mengimpikan pencapaian yang melibatkan materi mahupun pencapaian jiwa itu sendiri.  Kehidupan yang kendur sebegini bagi saya memang bermasalah kerana jika kita meninggalkan subjek dunia dan materi itu adalah bagus, namun jika kita mengabaikan pencapaian yang melibatkan jiwa bagi saya sesuatu yang merugikan,

Kita juga akan mengahadapi musim tegang dalam kehidupan kerana gelora nafsu dan terlalu beremosi dalam menjalani kehidupan. Keghairahan terhadap hidup dan keinginan kita untuk mencapai sesuatu dalam hidup biasanya akan membawa kita ke tahap tegang. Kita hanya melihat diri kita adalah yang terbaik dan memandang orang di persekitaran seperti sampah. Bila bercakap suara kitalah yang paling kuat, bila berdebat tak pernah mengaku kalah walaupun mungkin kita dipihak yang salah dan sebagainya. Apa yang tak bagus tentang ketegangan adalah apabila kita melihat sesuatu secara objektif dan kiraan matematik.
Yang terbaik untuk kehidupan adalah keseimbangan. Keseimbangan hidup akan datang bila kita mengenal diri, usul dan asal serta ke mana arah kita. Tiada lagi basa-basi apabila kita mencapai tahap keseimbangan dalam hidup. Hidup kita akan semakin rendang, redup dan ranum. Cat steven (yusuf islam) adalah contoh manusia terpilih yang melalui proses sebegini. Apabila cat steven mengisytiharkan dirinya sebagai islam, beliau meninggalkan petikan gitarnya, memakai jubah dan berjambang seperti orang arab. Apabila timbul pula kes Salaman rushdee yang menulis satanic verse, cat steven telah terperangkap kerana kefahaman beliau tentang agama yang pada ketika itu agak tegang. Namun hari ini kita lihat cat steven mencapai keseimbangan dalam hidupnya. Kembali bergitar dan menjadi dirinya yang sebenar.

Oleh itu keseimbangan adalah penting dalam hidup terutamanya apabila umur kita semakin meningkat. Apabila umur kita sudah lanjut, namun kita masih lagi terkejar-kejar dan bahagia dengan dunia, pangkat, materi,  pencapaian dan sebagainya itu bagi saya satu masalah. Walau bagaimanapun setiap manusia ada ceritanya yang tersendiri..