PULAU PINANG
1. Kerajaan mewajibkan program 1 Murid 1 Sukan di
setiap sekolah.
Huraikan faedah-faedah yang anda peroleh dengan
menyertai aktiviti sukan di sekolah.
CATATAN :
Soalan ini hampir sama dengan sampel karangan cemerlang dalam modul saya edisi 2012.
Dengan ihsan saya lampirkan semula karangan penuh tersebut;
Pelaksanaan
dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) oleh Kementerian Pelajaran Malaysia merupakan
langkah positif untuk melahirkan rakyat yang sihat dan aktif.
Bincangkan
pendapat anda tentang faedah-faedah pelaksanaan dasar tersebut kepada para
pelajar dan negara.
Budaya bersukan
seolah-olah menjadi suatu fenomena di negara ini. Tanpa mengira siang atau
malam, minat terhadap aktiviti sukan semakin meningkat dalam kalangan rakyat
Malaysia. Bukti yang amat jelas apabila terdapat sebilangan besar yang rela
bersengkang mata semata-mata untuk menonton pertandingan bolak sepak di
peringkat antarabangsa. Dalam negara juga, penonton akan berpusu-pusu
membanjiri stadium apabila diadakan pertandingan sukan. Sungguhpun demikian,
budaya menggemari sukan dalam kalangan rakyat Malaysia masih belum mampu
mengangkat imej sukan negara terutama di persada antarabangsa. Menyedari
hakikat tersebut pelbagai inisiatif telah digemblengkan oleh pihak kerajaan.
Salah satu inisiatif yang cukup pragmatik ialah Pelaksanaan dasar 1 Murid 1
Sukan (1M1S). Memang tidak syak lagi dasar ini akan memberi banyak impak
positif kepada anak-anak muda negara.
Langkah yang pragmatik ini sudah pasti dapat melahirkan remaja yang
berperawakan sihat dan cerdas. Hal demikian amat nyata sekali kerana sukan
merupakan saluran yang terbaik untuk merangsangkan kecergasan mental dan
fizikal. Langkah ini dilihat amat praktikal sekali apabila semua aktiviti sukan
diuruskan secara terancang dan profesional oleh pihak sekolah. Lebih-lebih lagi
dengan pelaksanaan IMIS, sudah pasti setiap pelajar berpeluang mencuba bakat
masing-masing. Oleh itu, tiada pihak yang terasa diri terabai dan disisihkan.
Natijahnya, setiap individu berpeluang memperkembangkan semua potensi diri
dalam aspek mental, fizikal, dan sahsiah. Sesungguhnya, inilah wajah generasi
akan datang yang menjadi taruhan nusa selaras dengan kata-kata,, “Untuk melihat
bangsa pada masa depan lihatlah kepada remaja pada hari ini”.
Impak positif lain yang akan diperoleh remaja adalah dapat mengasah dan
mempertajam bakat mereka sejak awal usia lagi. Bertepatan dengan maksud
peribahasa, jikalau hendak melentur buluh hendaklah daripada rebungnya dan
belakang parang jikalau diasah pun akan tajam, jelas menunjukkan bakat yang
terpendam akan menyerlah apabila digilap sejak awal. Nyatalah bahawa dasar ini
menjadi medan untuk memupuk profesional sukan. Sementara itu, bagi yang
berbakat pula, boleh membina kerjaya dalam bidang sukan. Mereka pasti teruja
dengan pencapaian cemerlang jagoan-jagoan sukan seperti (masukkan nama-nama
idola sukan anda). Sesungguhnya, dasar ini boleh dianggap sebagai strategi
terancang untuk melahirkan lebih ramai jagoan dan tokoh sukan dalam tempoh satu
dekad lagi. Sesungguhnya, dasar 1M1S ini amat bertepatan dengan falsafah Tao
yang menyatakan, “Jikalau kamu mahu hidup setahun tanamlah gandum, jikalau kamu
mahu hidup setahun tanamlah pokok, dan jika kamu mahu hidup selama-lamanya
tanamlah manusia”.
Signifikan yang lain pula, matlamat 1M1S adalah untuk menjadi landasan
terbaik menyediakan pelapis-pelapis sukan yang terdiri daripada bakat-bakat
baru. Langkah ini amat tepat pada masanya kerana sudah menjadi resam dunia
bahawa yang lama akan berlalu. Oleh itu, usaha ini sangat bertepatan dengan
peribahasa patah tumbuh hilang berganti maka yang pergi perlulah diganti.
Melalui strategi yang terancang seperti ini persediaan awal dapat digemblengkan
dalam usaha melahirkan atlit muda yang lebih kompeten. Dengan yang demikian,
negara tidak ketandusan wira-wira sukan. Para wira dan wirawati ini akan
meneruskan misi menggalas tugas mengharumkan nama negara di persada
antarabangsa. Sesungguhnya, kemampuan bersaing di arena antarabangsa bakal
mengangkat martabat negara agar kita mampu duduk sama rendah dan berdiri sama
tinggi dengan gergasi-gergasi sukan dunia
Peribahasa yang menyatakan gajah mati meninggalkan tulang, harimau mati
meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan jasa menunjukkan bahawa jasa dan
bakti menjadi sebab seseorang itu diingati walaupun sesudah mati. Setiap rakyat
yang berjiwa patriotik hendaklah bercita-cita untuk memahatkan nama mereka
sebagai rakyat yang berjasa kepada negara sesuai dengan laungan keramat di mana
bumi dipijak di situ langit dijunjung. Sesungguhnya, setiap warganegara
hendaklah menyumbangkan khidmat dan bakti kepada negara mengikut kemampuan
masing-masing. Oleh itu, seseorang jagoan sukan sentiasa dijulang namanya
sebagai wira yang mengharumkan nama negara. Tokoh ternama seperti Mokhtar
Dahari, Dr M Jegathesan, Rabuan Pit dan ramai lagi adalah antara tokoh
kesukanan yang sentiasa disebut-sebut. Di sebalik bakat dan kesungguhan mereka,
jiwa patriotik begitu menyala di dalam hati dan sanubari masing-masing.
Sesungguhnya, langkah memartabatkan sukan di peringkat sekolah dalam program
1M1S merupakan usaha murni untuk membentuk jiwa patriotik ketika masih di
bangku sekolah lagi.
“Sambil menyelam minum air”.
Demikianlah peribahasa yang boleh dipetik sebagai membuktikan sesutau usaha
yang dilakukan kadang-kadang boleh memberikan impak sampingan yang amat
berguna. Dalam hal ini, sukan bukan sekadar aktiviti riadah semata-mata,
sebaliknya mampu menyokong pertumbuhan
ekonomi negara. Impak positif yang turut diperoleh negara apabila sukan sudah
mula beralih arah menjadi sebuah industri mahupun kerjaya ialah pulangan dalam
bentuk wang ringgit. Di sebalik hadiah dan ganjaran yang lumayan, pelbagai
industri hiliran yang berasaskan sukan turut terjana. Apabila mengambil kira
sejumlah 20 bilion wang yang mengalir ke Afrika Selatan semasa penganjuran Bola
sepak Piala Dunia pada 2010, hujah tersebut boleh mengesahkan bahawa sukan
adalah antara penyumbang terpenting dalam mengisi kantung negara. Kini
penganjuran seperti EPL, EURO, dan Piala Dunia adalah antara industri sukan terpenting
yang berjaya mengaut keuntutngan besar. Selain itu, sukan-sukan ternama yang
lain seperti golf, tenis, dan kriket turut menjadi penyumang utama seseorang
jaguh cepat melonjak menjadi jutawan. Amat jelas sekali, pada era milenium
kini, sukan adalah antara industri yang mampu menjanakan pendapatan kepada
sesebuah negara mahupun kepada atlit yang terlibat.
Ibarat peribahasa, kalau tidak dipecahkan ruyung
masakan dapat sagunya haruslah diterapkan dengan sebenar-benarnya agar matlamat
melahirkan lebih ramai jaguh sukan tercapai. Sudah terlalu banyak modal yang
dibelanjakan, namun kejayaan atlit negara amatlah menyedihkan. Oleh hal yang
demikian, dengan dukungan semua pihak, insya-Allah hala tuju baru oleh KPM ini
boleh menatijahkan impak baru kepada dunia sukan untuk sekurang-kurangnya dalam
satu dekad akan datang.
2. Ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam usaha
menggalakkan anak-anak mementingkan keindahan alam sekitar.
Bincangkan langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh
ibu bapa untuk menggalakkan anak-anak menjaga keindahan alam sekitar.
Pendahuluan : Memetik
sepotong peribahasa yang menyatakan, getah daun akan mengalir ke batang jua,
menunjukkan bahawa anak-anak sudah pasti menuruti ibu bapa dalam hal tingkah
laku dan sikap. Mengambil iktibar daripada peribahasa tersebut, amatlah penting
kepada ibu bapa untuk menanami anak-anak dengan segala bentuk amalan yang
positif seperti amalan berjimat cermat, kebersihan, dan budaya
hormat-menghormati. Kebersihan adalah antara elemen yang perlu diperkasakan
dari rumah sekiranya tingkah laku bersih hendak didominasikan dalam masyarakat.
Pelbagai langkah dan inisiatif perlu dilagangkan oleh ibu bapa agar anak-anak
akan lahir dari dalam acuan tingkah laku yang baik yang dijanakan oleh ibu
bapa. Hal sama pasti boleh dilaksanakan untuk melahirkan anak-anak yang
sentiasa mementingkan kebersihan dalam kehidupan seharian.
Isi 1 : Menanamkan dalam diri anak dengan sifat iman
dan takwa – orang beriman sentiasa percaya akan adanya Allah
dan percaya kepada ganjaran baik buruk – mengotori alam sekitar dan memusnahkan
sumber-sumbernya merupakan dosa besar – sebaliknya jikalau menjaga kebersihan
memperoleh pahala
Isi 2 : Melazimi anak-anak dengan persekitaran yang
bersih, sihat dan tenang – amalan
kebersihan bermula dari rumah – gaya hidup dalam rumah tangga yang mengutamakan
kebersihan – seluruh anggota keluarga memainkan peranan masing-masing
Isi 3 : Menjalankan aktiviti rutin harian dan mingguan
menghiaskan dan mencantikkan persekitaran rumah – penglibatan seluruh ahli keluarga – bergotong toyong
membersih kawasan, menanam pokok-pokok hiasan dan menjaga kebersihan
Isi 4 : Ibu bapa bertanggungjawab membawa anak-anak
berperawisata ke pusat-pusat pelancongan – membentuk sikap anak yang suka akan kebersihan dan
keindahan – memperoleh idea atau konsep baru untuk dibawa balik ke rumah
Isi 5 : Ibu
bapa menyediakan bahan-bahan bacaan, video dan gambar tentang tempat-tempat
yang indah dan menarik (Al Hamra di Sepanyol, Istanbul di Turki, dan
kawasan-kawasan indah di seluruh dunia)
Kesimpulan : Sesungguhnya, tepatlah kata-kata bahawa, anak-anak
apabila diajar erti kasih sayang mereka akan belajar mengasihi, apabila diajar
erti kebaikan mereka akan belajar bertanggungjawab, dan apabila mereka diajar
erti kebersihan mereka akan belajar menjadi harmoni. Oleh itu, ibu bapa
sentiasa menjadi sumber rujukan dan terminologi utama untuk menentukan jati
diri anak-anak. Baik perihal yang ditunjukkan, justeru baiklah anak-anak.
3. Industri pelancongan merupakan antara penyumbang terbesar
ekonomi negara. Anda ingin menulis rencana berkaitan dengan peranan pelbagai
pihak untuk memajukan industri pelancongan.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.
NOTA : Karangan ini dalam bentuk berformat rencana.
Pastikan anda mematuhi arahan format.
Pendahuluan
: Sudah
acap kali penganjuran tarikan pelancong ke luar negara oleh pelbagai agensi
sentiasa mendapat sambutan yang memberangsangkan. Penganjuran tersebut turut
disokong oleh pihak kerajaan dengan menganjurkan Kempen Tahun Melawat Malaysia.
Kini Malaysia mula dikenali di saentero dunia sebagai destinasi pelancongan
yang menarik, murah, dan eksotik. Sebagai contoh, pada tahun 2012, Malaysia
telah menyasarkan jumlah kemasukan pelancong kepada 30 juta orang dengan
anggaran tukaran asing sebanyak RM30 bilion. Sejajar dengan hasrat negara untuk
menjadikan sektor pelancongan sebagai penyumbang utama ekonomi negara, maka
semua pihak di Malaysia patut memainkan peranan aktif masing-masing.
Isi
1 : Penglibatan aktif agensi kerajaan
- Kementerian Pelancongan - agensi-agensi di bawah kementerian berkenaan perlu
aktif mempromosikan Malaysia ke peringkat global
Isi
2 : Inisiatif hendaklah turut digerakkan
oleh sektor swasta juga - menyokong dan mengambil bahagian
dalam program galakan pelancongan di luar negara - membangunkan prasarana
pelancongan seperti kemudahan penginapan dan pengangkutan
Isi
3 : Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)
hendaklah menjaga dan memperindah kawasan jagaan masing-masing -
mengutamakan aspek kebersihan dan keindahan - membangunkan tempat-tempat yang
berpotensi menjadi daya tarikan pelancong
Isi
4 : Minda masyarakat hendaklah lebih berfikiran terbuka dan positif
terhadap industri pelancongan - melihat sektor pelancongan secara positif -
menyokong usaha pihak kerajaan dan PBT menjaga alam sekitar - mengamalkan
budaya sopan santun, peramah, dan berbudi bahasa
Isi
5 : Penglibatan aktif duta-duta di luar
negara
- menyampaikan mesej yang jelas tentang Malaysia
Kesimpulan
:
Sebagai sebuah negara yang aman dan harmoni, Malaysia amat strategik untuk
dikunjungi oleh pelancong-pelancong sama ada dari Timur atau Barat. Peluang
harus dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya pada masa ini apabila Malaysia begitu
popular kepada pelancong dari Timur Tengah dan Asia Timur jauh. Peluang yang
sedia terhidang hendaklah bijak direbut, bak kata peribahasa rezeki jangan
ditolak, aral jangan diraih.
4. Kerjasama antara negara di dunia dapat meningkatkan
pembangunan pendidikan di sesebuah negara.
Bincangkan kerjasama antara negara di dunia untuk
meningkatkan pembangunan pendidikan.
Pendahuluan : Manusia pada dasarnya mempunyai impian dan matlamat
yang sama iaitu untuk hidup bebas dan berjaya. Sementara itu, setiap orang
dituntut agar menghormati hak asasi orang lain. Hak-hak tersebut seperti hak
untuk kebebasan, hak memperoleh kasih sayang dan hak untuk mencari ilmu
pengetahuan. Walau bagaimanapun, dalam konteks mencari ilmu ada golongan yang
masih tersisih dan terperap dalam kepompong buta huruf. Kalangan negara-negara
miskin khususnya masih jauh ketinggalan dalam revolusi ilmu. Dalam dunia ilmu
sebagai wahana perubahan, semua pihak harus proaktif mengadakan pelbagai
kerjasama antara negara agar ilmu pengetahuan dan pembangunan pendidikan dapat
dicambahsuburkan di seluruh pelosok alam.
Isi 1 : Menjalinkan hubungan diplomatik antara negara – jalinan di bawah payung keamanan dunia tajaan PBB –
menyingkirkan perasaan benci dan tamak haloba antara sesama manusia
Isi 2 : Menyumbangkan pelbagai prasarana dan logistik
ilmu untuk negara-negara miskin – suatu pelaburan jangka panjang untuk memakmukan dunia
Isi 3 : Mengeksport tenaga pengajar sama ada secara
sukarela ataupun kontrak – tenaga pakar
dari negara-negara maju boleh berhijrah ke negara-negara miskin dan membangun
Isi 4 : Menjalinkan hubungan talian pintar antara
cendekiawan dan ilmuwan – memanfaatkan
kemudahan teknologi siber
Isi 5 : Mengadakan program pertukaran tenaga pakar dan
tenaga akademik – membolehkan
peluasan ilmu pengetahuan berkembang secara global – sifat dengki dan busuk
hati dan cemberu terhadap nilai ilmu harus diketepikan.
Isi 6 : Melaksanakan rangkaian institusi berkembar – jalinan kerjasama antara universi dan kolej dalam
usaha memindahkan ilmu
Kesimpulan : Ilmu apabila dimanfaatkan pasti menjadi lautan rahmat
bak kata Pendeta Za’ba,
Ilmu alat
sangat berguna
Idaman orang
yang bijaksana
Hamparnya luas
amat saujana
Tepinya ajal
sempadannya fana
Oleh itu,
agenda peluasan ilmu tidak boleh tersekat dan tidak harus dijadikan milik
peribadi orang tertentu. Ilmu perlu disebarluaskan agar manfaatnya dirasai
insan sejagat.
5. Kini, karya kreatif seperti cerpen dan novel oleh
penulis-penulis semakin berkurangan.
Jelaskan usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk
menggalakkan remaja melibatkan diri dalam penulisan kreatif.
MAKLUMAN : Soalan ini akan saya sediakan dalam bentuk
jawapan penuh dan akan disiarkan dalam blog saya selepas ini. Sila ikuti dari
semasa ke semasa
http://ishakmdshah.blogspot.com/